Nilai masa dalam bulan Ramadan
Setiap detik yang berlalu merupakan peluang untuk meraih keredaan Allah dan merebut ganjaran pahala yang dijanjikan oleh-Nya.

MASA merupakan suatu perkara yang amat berharga dalam kehidupan seorang yang bergelar insan.
Oleh kerana itu, Allah SWT telah bersumpah dengan masa di dalam Surah al-‘Asr: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Ibn Kathir menukilkan pandangan Imam Syafie, katanya:“Sekiranya manusia mentadabbur (apa yang terkandung dalam) surah ini (al-Asr), nescaya sudah memadai bagi mereka.”
Mereka akan menghargai dan memanfaatkan masa yang dianugerahkan Allah SWT. Berdasarkan ayat di atas, terang lagi bersuluh menjelaskan tentang kepentingan masa, lebih-lebih lagi jika seseorang itu berada di dalam bulan-bulan yang mulia seperti Ramadan yang amat diberkati ini.
Setiap detik yang berlalu merupakan peluang untuk meraih keredaan Allah dan merebut ganjaran pahala yang dijanjikan oleh-Nya.
Tambahan pula, ganjaran pahala dalam bulan ini dilipatgandakan sehingga 70 kali ganda.
Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “… Barangsiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan satu perkara sunat (maka ganjarannya) seolah-olah dia telah melaksanakan satu kefarduan pada bulan yang lain. Barangsiapa yang melaksanakan satu kewajipan, (maka ganjarannya) seolah-olah dia telah melaksanakan 70 kefarduan pada bulan yang lain.” (HR Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi)
Hadis ini dengan jelas memberikan galakan kepada orang yang berpuasa pada bulan Ramadan untuk berlumba-lumba mengerjakan amalan saleh pada bulan yang mulia ini. Amatlah rugi jika umat Islam tidak mengambil peluang ini sebaiknya.
Secara umumnya, umat Islam dapat dikategorikan kepada tiga kelompok apabila berbicara tentang nilai masa di bulan Ramadan.
Golongan pertama ialah golongan beriman yang mengetahui kepentingan masa di bulan ini, lalu menghargai dan menjaganya dengan penuh teliti.
Golongan kedua pula ialah golongan lalai yang mengetahui kepentingan masa, akan tetapi mereka mensia-siakan peluang dan ganjaran yang diberikan.
Golongan ketiga pula ialah golongan jahil yang tidak mengetahui kepentingan masa dan terus mengabaikannya.
Golongan pertama ialah golongan yang terbaik kerana telah menggunakan masa dengan efisien, manakala golongan yang kedua, perlu diberikan peringatan agar mereka kembali menjaga masa sebaiknya.
Begitu juga dengan golongan ketiga yang memerlukan pengetahuan terhadap kepentingan ini sebagai panduan agar tidak mensia-siakan peluang yang amat berharga di bulan Ramadan.
Bagi golongan yang beriman, mereka menyedari akan nilai masa bahawa ia sangat berharga dan menggunakannya dengan sebaiknya. Mereka menyusun masa dengan baik pada bulan Ramadan ini dengan pelbagai amal ibadat dan amal kebaikan.
Bermula daripada bangun tidur untuk bersahur sehinggalah tidur semula, siang mereka dipenuhi dengan amal saleh seperti bertadarus al-Quran serta menghayati maknanya, membaca hadith Nabi SAW, melazimi solat sunat serta berqiyamullail di malam hari dan sentiasa berzikir kepada Allah SWT.
Bagi seorang pelajar misalnya, mereka akan mengisi masa dengan menuntut ilmu, program tafaqquh, mengulangkaji pelajaran dan membaca buku. Bagi seorang pekerja pula, mereka akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan.
Selain itu, jika terdapat masa lapang, mereka akan mengisinya dengan perkara yang bermanfaat seperti mendengar ceramah agama, membaca buku atau bahan Islamik dan berfaedah, berdiskusi ilmu dan sebagainya.
Mereka juga suka melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti bergotong-royong dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan melaksanakan sunat tarawih di masjid.
Kebaikan yang mereka lakukan pada bulan ini sangat luar biasa berbanding bulan yang lain, ini kerana mereka memuliakan bulan ini seperti mana Rasulullah SAW apabila tiba bulan Ramadan, baginda akan menjadi sangat pemurah berbanding bulan yang lain berdasarkan sepotong hadis yang bermaksud:”… Apabila Jibril AS menjumpai beliau, maka beliau sangat dermawan pada kebaikan melebihi angin yang menghembus.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)
Bagi golongan yang kedua pula iaitu golongan lalai yang mengetahui kelebihan dan kepentingan masa pada bulan ini, namun tetap mensia-siakan peluang ini. Hakikatnya, bulan Ramadan sepatutnya mendidik seseorang untuk lebih menghargai kepentingan masa.
Namun, realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Masa yang sepatutnya diisi dengan amal saleh dan perkara berfaedah seperti membaca al-Quran, berzikir mengingati Allah, menuntut ilmu dan sebagainya diabaikan begitu sahaja. Keadaan mereka sebelum kedatangan Ramadan dan selepasnya langsung tidak berubah.
Mereka terus mengisi masa dengan perkara yang tidak disukai Allah SWT seperti menonton perkara yang melalaikan, ketagih media sosial, melepak sambil sembang kosong dan sebagainya.
Tambahan pula, sebahagian daripada kalangan mereka berpuasa tetapi telah meninggalkan kewajipan solat. Situasi ini berlaku selepas berbuka puasa, ramai meninggalkan solat fardu Maghrib kerana keasyikan menjamah hidangan makanan dan berbual-bual.
Alangkah ruginya penat lelah mereka menahan lapar dan dahaga ketika berpuasa tetapi mereka meninggalkan kewajipan solat. Dalam hal ini, hadis Nabi SAW telah mengingatkan: “Betapa ramainya orang yang berpuasa, tetapi tidak ada pahala puasa baginya, melainkan hanya berlapar sahaja”. (HR Ibn Majah).
Seterusnya, bagi golongan ketiga iaitu orang jahil yang tidak mengetahui akan kepentingan dan kelebihan bulan ini. Bagi mereka, tiada istimewanya hari-hari di bulan Ramadan, sama seperti hari yang lain.
Mereka menghabiskan masa tanpa mengisinya dengan amal ibadat dan amal saleh. Mereka langsung tidak tertarik dengan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sedangkan sewajarnya mereka perlu menyedari akan kepentingan masa terutama di bulan yang barakah ini.
Sepatutnya seseorang itu lebih menjaga masa di dalam bulan ini kerana terdapat pelbagai ganjaran yang diganjarkan bagi orang yang beramal, akan tetapi masa tersebut mereka habiskan dengan perkara yang langsung tidak mendatangkan faedah dan pahala.
Sebagai misal, ramai anak-anak muda lebih memilih untuk mengisi masa mereka dengan bermain permainan video berbanding perkara yang lebih menguntungkan dunia dan akhirat mereka seperti menuntut ilmu dan membaca buku. Siang dan malam dihabiskan dengan perkara yang tidak bermanfaat.
Tambahan pula, terdapat dalam kalangan mereka yang menghabiskan masa dengan menonton drama bersiri sehingga berjam-jam dan melayari laman sosial dalam tempoh yang lama.
Mereka mampu menghabiskan masanya berjam-jam melayani telefon pintar untuk menonton video yang tidak berfaedah tetapi tidak ada usaha untuk melakukan kebaikan dan memanfaatkan masa di bulan Ramadan.
Lebih parah lagi, perbuatan ini dilakukan sehingga menyebabkan mereka terlewat dalam melaksanakan kewajipan bahkan meninggalkannya tanpa rasa salah dan dosa.
Perkara ini tidak sewajarnya berlaku lebih lebih lagi dalam bulan yang diberkati ini. Jika mereka berterusan dalam keadaan begini, sudah pasti mereka akan kerugian di dunia dan di akhirat.
Tegasnya, umat Islam perlulah kembali menghayati kepentingan penjagaan masa dalam bulan Ramadan. Isikanlah dengan perkara yang boleh mendapat keredaan Allah SWT seperti membaca al-Quran dan menghayatinya, berzikir, menuntut ilmu dan membantu orang di sekeliling di samping menjauhi segala perkara yang dilarang oleh-Nya.
Berusahalah untuk menjadi golongan pertama yang beriman dan menghargai masa kerana merekalah orang-orang yang diredai Allah SWT.
Sedangkan, ramai orang yang berkeinginan untuk menyambut Ramadan dan beribadat padanya akan tetapi ajal mereka terlebih dahulu menjemput mereka pulang.
Maka sewajarnya peluang keemasan ini direbut oleh semua umat Islam agar dapat menjadi insan yang lebih baik, mendapat keampunan, mencapai takwa kepada Allah SWT dan dibebaskan dari api neraka kelak.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.