Memulai tahun baharu dengan intipati Surah al-Asr

Masa bukan sekadar latar kepada peristiwa tetapi aset utama yang menentukan sama ada seseorang itu beruntung atau berada dalam kerugian yang sebenar.

Feature Image (4)

SETIAP kali tirai tahun baharu dibuka, masyarakat lazimnya menyambutnya dengan azam dan harapan yang segar. Ada yang melihatnya sebagai peluang memperbaiki kehidupan, namun tidak kurang juga yang meraikannya tanpa menyedari makna sebenar di sebalik pertambahan usia.

Hakikat yang sering dielakkan ialah setiap tahun baharu membawa kita selangkah lebih dekat kepada penghujung perjalanan hidup. Dalam suasana inilah surah al-Asr tampil sebagai peringatan Ilahi yang ringkas tetapi sangat mendalam untuk dijadikan pedoman memulakan lembaran hidup yang baharu.

Surah al-Asr merupakan antara surah terpendek dalam al-Quran, namun para ulama menyatakan bahawa kandungannya merangkumi keseluruhan falsafah kehidupan manusia. Allah SWT memulakan surah ini dengan sumpah demi al-Asr, satu penegasan yang menunjukkan betapa penting dan kritikalnya masa dalam kehidupan insan.

Masa bukan sekadar latar kepada peristiwa tetapi aset utama yang menentukan sama ada seseorang itu beruntung atau berada dalam kerugian yang sebenar.

Dari sudut bahasa Arab, asas makna al-Asr ialah memerah sesuatu sehingga menitis. Ibn Faris dalam Mu‘jam Maqayis al-Lughah menjelaskan bahawa akar kata ini membawa makna tekanan yang menghasilkan inti.

Atas dasar inilah Allah menggunakan perkataan mu‘siraat dalam surah al-Naba’ ayat 14, merujuk kepada awan yang diperah sehingga menghasilkan hujan yang memberi manfaat kepada kehidupan. Awan yang tidak diperah tidak akan menurunkan hujan, sebagaimana umur yang tidak dimanfaatkan tidak akan menghasilkan iman dan amal.

Dalam kerangka ini, al-Asr menggambarkan umur manusia yang sedang diperah hari demi hari. Setiap detik yang berlalu menuntut usaha agar terhasil nilai dan kebaikan.

Secara jelas manusia faham bahawa masa tidak menunggu sesiapa. Apabila Allah bersumpah dengan al-Asr, ia merupakan teguran halus bahawa kehidupan sedang bergerak meninggalkan manusia tanpa henti.

Setiap pertambahan tahun bukan sekadar ruang untuk diraikan, tetapi isyarat bahawa baki usia semakin berkurang. Dalam perspektif iman, pertambahan usia seharusnya melahirkan kesedaran bahawa semakin berusia semakin dekat dengan Allah SWT.

Ayat kedua surah al-Asr menyatakan bahawa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kerugian ini bersifat menyeluruh kerana masa yang berlalu tidak akan kembali dan setiap detik yang hilang membawa implikasi terhadap amal dan kehidupan akhirat.

Rasulullah SAW menegaskan hakikat ini melalui sabdanya bahawa dua nikmat yang ramai manusia tertipu dengannya ialah kesihatan dan masa lapang.

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari ini, menggambarkan bagaimana manusia sering mensia-siakan peluang yang diberikan oleh Allah tanpa disedari. Mereka yang lalai terhadap masa dan kesihatan akan menyesal apabila peluang itu hilang, sedangkan mereka yang menggunakan masa dengan bijak akan memetik hasil pahala dan kebaikan yang berpanjangan.

Namun surah al-Asr tidak berhenti pada peringatan semata-mata. Ayat ketiganya mengemukakan jalan keluar yang jelas daripada kerugian iaitu beriman, beramal soleh, saling berpesan kepada kebenaran dan saling berpesan kepada kesabaran. Empat prinsip ini membentuk satu rantaian kekuatan.

Iman melahirkan amal, amal memerlukan istiqamah dan istiqamah hanya mampu dipelihara melalui nasihat dan kesabaran secara bersama. Sebagai contoh, beriman bermakna meletakkan keyakinan sepenuh hati kepada Allah dalam kehidupan seharian, manakala beramal soleh boleh diaplikasikan melalui ibadah, membantu jiran, menunaikan tanggungjawab keluarga, dan menjaga integriti kerja.

Saling menasihati kepada kebenaran dapat dilakukan dengan menegur sahabat atau keluarga yang lalai dengan hikmah, dan saling menasihati kepada kesabaran pula bermaksud saling memberi dorongan dan sokongan ketika menghadapi ujian hidup, serta sentiasa istiqamah dalam iman serta amal.

Dengan cara ini, manusia tidak mudah terleka dan dapat memerah masa hidupnya sebaik mungkin bagi menghasilkan kebaikan yang kekal.

Kesedaran tentang usia dan masa ini diperkukuhkan lagi oleh hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang umurnya ke mana dihabiskan…”. Sabda ini mengingatkan kita bahawa umur bukan sekadar angka yang berlalu, tetapi setiap detik kehidupan akan dipersoalkan secara terperinci di hadapan Allah.

Menafikan pertambahan usia atau memandang remeh masa tidak akan mengubah hakikat bahawa setiap detik yang dilalui membawa tanggungjawab dan peluang untuk beramal. Dengan menyedari hakikat ini, setiap pertambahan tahun sepatutnya menjadi dorongan untuk lebih produktif dalam ketaatan, memperbanyak amal soleh, dan memanfaatkan masa hidup sebelum ia berakhir.

Islam tidak memandang pertambahan usia sebagai sesuatu yang negatif. Rasulullah SAW bersabda, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang panjang umurnya dan baik amalannya. Sabda ini mengingatkan bahawa setiap pertambahan usia sepatutnya menjadi peluang untuk memperbanyak kebaikan, meningkatkan ketaatan kepada Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya, bukannya sekadar penambahan angka pada umur.

Usia yang bertambah seharusnya menjadikan seseorang lebih dekat dengan Allah, lebih matang dalam membuat keputusan, dan lebih bersungguh memerah sisa kehidupan agar terhasil iman dan amal yang berkualiti, ibarat seorang penjual ais yang perlu segera menjual dagangannya sebelum ia cair dan hilang manfaatnya.

Kesimpulannya, memulakan tahun baharu dengan intipati surah al-Asr bermakna berani melihat kehidupan sebagai rantaian masa yang sedang diperah. Al-Asr mengajar bahawa umur adalah amanah yang mesti dimanfaatkan sepenuhnya sebelum ia berakhir.

Tahun baharu bukan alasan untuk menafikan pertambahan usia, tetapi peluang untuk mensyukuri masa yang masih berbaki dengan memperbanyak amal soleh, melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Semoga setiap pertambahan tahun menjadikan kita insan yang lebih sedar, lebih beriman, dan lebih tekun memerah sisa hidup untuk kebaikan, agar kita tidak tergolong dalam kalangan manusia yang rugi tetapi termasuk dalam golongan yang beruntung di sisi Allah SWT.