Populasi burung gagak beri kesan kepada kebersihan kita
Spesies ini yang dikenali secara saintifik sebagai Corvus splendens, terkenal sebagai burung yang cekap menyesuaikan diri.
Oleh: MUHAMMAD FARID ARIFFIN DAN HASMAHZAITI OMAR
BURUNG gagak ialah antara hidupan liar yang paling mudah ditemui di kawasan bandar dan telah menjadi sebahagian daripada landskap kehidupan manusia moden.
Kisah burung yang menggunakan batu untuk menaikkan paras air di dalam bekas sering dijadikan lambang kecerdikan dan kisah ini mencerminkan keupayaan sebenar burung gagak untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran sekeliling.
Spesies ini yang dikenali secara saintifik sebagai Corvus splendens, terkenal sebagai burung yang cekap menyesuaikan diri, pintar serta mampu hidup bergantung kepada aktiviti manusia.
Dalam konteks persekitaran bandar, kehadiran burung gagak memberi kesan langsung terhadap pengurusan kebersihan dan sisa, sama ada secara positif mahupun negatif.
Pada dasarnya, burung gagak berfungsi sebagai ‘pembersih semula jadi’ dengan membantu mengurangkan jumlah sisa organik dan lebihan makanan di kawasan bandar.
Namun demikian, sifat burung gagak yang bertindak mengikut naluri tanpa pertimbangan rasional turut menyumbang kepada pelbagai masalah kebersihan. Populasi burung gagak yang tidak terkawal sering mengoyakkan plastik sampah, menyebabkan sampah sarap bertaburan dan mencemarkan persekitaran.
Dietnya yang sangat fleksibel membolehkan burung gagak memakan hampir apa sahaja sisa makanan yang terdapat di dalam tong sampah mahupun di jalanan.
Selain itu, najis burung gagak juga membawa kesan negatif yang serius walaupun sering dipandang remeh oleh segelintir masyarakat. Ancaman utama daripada najis ini bukan sekadar bau busuk atau kekotoran, malah melibatkan bakteria seperti Salmonella, kulat dan virus yang berpotensi menyebabkan penyakit zoonotik seperti histoplasmosis.
Najis burung gagak juga mengandungi asid urik yang boleh menghakis permukaan cat kenderaan sehingga menyebabkan cat menjadi pudar dan kusam. Keadaan ini amat merugikan kerana memerlukan kos, masa dan tenaga yang tinggi hanya untuk kerja pembersihan.
Persoalannya, adakah perlu lebih banyak pihak menjadi mangsa keburukan burung gagak sebelum tindakan tegas diambil?. Populasi burung gagak di kawasan bandar yang semakin meningkat dari hari ke hari kian membimbangkan. Hakikatnya, peningkatan populasi ini tidak berlaku tanpa sebab.
Seperti peribahasa ada asap, ada api. Pertambahan populasi manusia di sesuatu kawasan merupakan antara faktor utama kerana semakin ramai penduduk, semakin banyak sisa makanan dihasilkan sekali gus menyediakan sumber makanan yang melimpah untuk burung invasif ini.
Tambahan pula, kawasan bandar yang dipenuhi restoran, pasar dan aktiviti manusia menjadi tarikan utama burung gagak untuk mendapatkan ‘bufet percuma’ setiap hari.
Sisa makanan yang dibuang merata-rata, tong sampah yang tidak bertutup serta tapak pelupusan terbuka memberikan peluang mudah kepada burung gagak untuk mencari makanan. Oleh itu, pihak berwajib perlulah mengambil inisiatif yang sewajarnya dengan mengamalkan sistem pengurusan sisa yang lebih teratur, cekap dan berkesan.
Di samping itu, sikap masyarakat yang bersifat ‘prihatin tidak bertempat’ turut memburukkan keadaan apabila ada yang sengaja memberi makan burung gagak dengan membuang sisa makanan di jalanan. Tindakan ini bukan sahaja mengotorkan persekitaran, malah mengundang kehadiran haiwan perosak lain.
Tabiat memberi makan kepada haiwan liar ini perlulah dihentikan kerana boleh mengganggu diet semula jadi haiwan, menjejaskan kebersihan bandar serta meningkatkan risiko penyebaran penyakit.
Bagi membendung masalah ini, kerajaan boleh mengambil inspirasi daripada negara Sweden yang melatih burung gagak untuk mengutip puntung rokok dan sampah di jalanan. Burung-burung ini dilatih untuk memasukkan sampah ke dalam mesin khas yang seterusnya menyalurkan makanan sebagai ganjaran.
Usaha ini bukan sahaja mengurangkan kekotoran yang sering dikaitkan dengan burung gagak, malah memanfaatkan kebijaksanaan haiwan tersebut untuk membantu membersihkan kawasan bandar.
Di Malaysia, usaha mengawal populasi burung gagak juga telah dijalankan. Setiap negeri mempunyai pendekatan tersendiri, misalnya di Pulau Pinang, sangkar khas yang diubah suai digunakan untuk menangkap burung gagak. Namun begitu, usaha ini perlu diperkasakan lagi melalui pelaksanaan yang lebih sistematik dan menyeluruh.
Hal ini demikian kerana punca utama peningkatan populasi burung gagak iaitu pengurusan sisa makanan yang tidak teratur, masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
Seterusnya, pendidikan awal berkaitan hidupan liar amat penting bagi memastikan setiap individu memahami perkara yang wajar dan tidak wajar dilakukan terhadap haiwan. Seperti peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan sejak usia muda mampu membentuk sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Oleh itu, pihak sekolah disarankan untuk menganjurkan kempen kesedaran, ceramah atau bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mendidik generasi muda tentang kepentingan menyantuni hidupan liar dengan betul.
Akhir kata, inisiatif pelbagai pihak amat diperlukan dalam usaha menjaga kebersihan bandar dan menangani isu yang berpunca daripada kehadiran burung gagak.
Dengan kerjasama erat antara kerajaan, masyarakat dan institusi pendidikan, persekitaran bandar yang bersih, selesa dan harmoni mampu diwujudkan. Usaha ini hendaklah dimulakan dari sekarang, walaupun kecil kerana sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit.
* Muhammad Farid Ariffin ialah Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekologi & Biodiversiti di Program Ekologi & Biodiversiti, Institut Sains Biologi, Universiti Malaya manakala Profesor Madya Dr Hasmahzaiti Omar ialah Pensyarah Program Ekologi & Biodiversiti di Institut Sains Biologi, Universiti Malaya.

