Puasa proses membentuk jiwa bertakwa

Ibadah puasa, khususnya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Poster Terkini


DALAM Islam, manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan tujuan utama beribadah kepada-Nya, sebagaimana firman Nya dalam Al-Quran: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” (Surah Az-Zariyat, 51:56)

Setiap ibadah yang disyariatkan mempunyai matlamat yang khusus. Ibadah bukan sekadar satu amalan fizikal semata-mata tetapi satu proses yang membentuk keperibadian dan kerohanian manusia.

Tanpa penghayatan yang mendalam, ibadah yang dilakukan boleh menjadi rutin kosong yang tidak memberikan kesan kepada kehidupan. Meskipun seseorang telah menunaikan kewajipan ibadahnya, tanpa pemahaman dan kesedaran, ia mungkin gagal mencapai matlamat sebenar yang dikehendaki oleh syarak.

Ibadah puasa, khususnya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Ia juga bukan sekadar mengekang pancaindera daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa.

Sebaliknya, matlamat utama puasa adalah untuk mencapai ketakwaan seperti yang dinyatakan dalam firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, 2:183)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa puasa adalah proses untuk membentuk ketakwaan dalam diri seorang Muslim. Mungkin ada yang melihat puasa sebagai peluang untuk berdiet dan meningkatkan kesihatan fizikal.

Namun, hikmah terbesar puasa jauh melampaui manfaat jasmani. Ia adalah satu latihan spiritual yang mendidik hati dan jiwa untuk lebih dekat kepada Allah SWT.

Ketakwaan yang dibentuk melalui ibadah puasa bukan sekadar untuk bulan Ramadan tetapi seharusnya terus diamalkan dalam kehidupan seharian.

Sebagai contoh, jika seseorang yang sedang berpuasa tanpa sengaja termakan sesuatu, dia akan serta-merta meludah dan membasuh mulut kerana bimbang puasanya terbatal, meskipun tiada sesiapa yang melihatnya.

Rata-rata daripada kita akan mempunyai respons yang sama dalam situasi tersebut. Tindakan ini bukan sekadar kerana takutkan batalnya puasa tetapi kerana takut ibadahnya tidak diterima oleh Allah SWT. Inilah antara manifestasi ketakwaan yang lahir daripada ibadah puasa.

Dalam situasi lain, seorang peniaga yang sedang berpuasa didatangi pelanggan yang ingin membeli barangan dagangannya. Barang yang dijual mempunyai sedikit kecacatan dan peniaga itu menyedari pelanggan tidak mengetahuinya.

Namun, kerana mengejar keuntungan, dia memilih untuk berdiam diri dan tidak memberitahu pelanggan tentang kecacatan tersebut. Setelah urusan jual beli selesai, dia merasa puas kerana berjaya menjual barangan tersebut tanpa sebarang kerugian.

Persoalannya, mengapa orang yang begitu takut termakan di bulan puasa, tetapi tanpa rasa bersalah mengabaikan nilai kejujuran dalam perniagaan?

Ada kemungkinan apa yang diproses dalam puasanya tidak menghasilkan takwa untuk dibawa keluar puasa dan meresap dalam kehidupan seharian.

Jika seseorang begitu berhati-hati menjaga puasanya daripada terbatal, maka sikap yang sama harus diterapkan dalam hal lain.

Seorang pekerja yang amanah akan melaksanakan tugasnya dengan penuh dedikasi, bukan sekadar memenuhi tuntutan majikan tetapi kerana menyedari bahawa tanggungjawabnya adalah amanah daripada Allah.

Begitu juga dalam soal integriti, seseorang yang benar-benar bertakwa tidak akan tergamak menerima rasuah atau melakukan penipuan kerana memahami bahawa kejujuran dan ketelusan adalah sebahagian daripada nilai Islam yang perlu dijaga, bukan hanya di bulan Ramadan tetapi sepanjang hayat.

Ibadah dalam Islam bukan sekadar menyuruh kita beribadah dan tugas kita terhenti di situ. Ibadah ialah proses untuk menghasilkan sesuatu yang lebih besar iaitu membina insan yang bertakwa secara holistik, baik dari segi luaran mahupun dalaman.

Tugas kita ialah mengenal pasti apa yang hendak diproses dalam Ibadah.

Oleh itu, marilah kita semua berusaha untuk menghayati ibadah puasa dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan.

Jadikan Ramadan sebagai madrasah untuk melatih diri agar nilai ketakwaan yang dipupuk dapat terus diamalkan sepanjang hayat.

Dengan cara ini, ibadah puasa bukan sahaja menjadi satu kewajipan yang ditunaikan tetapi juga satu proses yang benar-benar membentuk diri kita sebagai insan bertakwa di sisi Allah SWT.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.