Michael Learns To Rock kembali hidupkan nostalgia
Ribuan peminat menyaksikan sendiri bagaimana Michael Learns To Rock (MLTR) mengembalikan kenangan cinta dan zaman remaja.
KUALA LUMPUR, 12 November 2025 – Jika muzik mampu menjadi mesin masa, maka konsert Michael Learns To Rock di Arena of Stars, Resorts World Genting baru-baru ini adalah buktinya.
Ribuan peminat menyaksikan sendiri bagaimana Michael Learns To Rock (MLTR) mengembalikan kenangan cinta dan zaman remaja menerusi konsert Michael Learns To Rock Encore All The Hits in Malaysia, yang dianjurkan oleh MMIC Entertainment Group.
Meskipun lebih tiga dekad berlalu sejak kemunculan mereka, daya tarikan MLTR masih kekal utuh. Dari generasi 90-an yang membesar dengan balada lembut mereka, hingga anak muda era TikTok yang mengenali Take Me To Your Heart melalui platform digital semuanya bersatu di bawah satu nostalgia yang sama.
Dari sebalik tabir, terserlah karisma tiga insan yang membentuk tunjang utama MLTR yang ditunjangi Jascha Richter, Mikkel Lentz,dan Kåre Wanscher, masing-masing memainkan peranan penting dalam mencipta magis muzik yang melangkaui masa dan sempadan bahasa.
Jascha, sang vokalis dan pemain kibod, tampil sederhana namun berwibawa. Suaranya yang jernih dan mendayu masih sama seperti tiga dekad lalus eolah-olah masa berhenti setiap kali dia menyanyikan baris pertama lagu Someday.

Di sisi pentas, Mikkel, gitaris dengan senyuman tidak lekang, menjadi wajah tenang yang memegang melodi dan harmoni. Setiap petikan gitarnya dalam Blue Night dan It’s Gonna Make Sense membuktikan bahawa jiwa romantic MLTR bukan hanya pada lirik tetapi juga pada nada-nada yang dimainkan penuh perasaan.
Sementara itu, Kåre, si pemain dram yang menjadi nadi utama kumpulan, kekal konsisten dan tenang mengetuk setiap irama dengan disiplin yang menjadi asas kepada keserasian trio ini. Walau tanpa persembahan dramatik, ketukan dram Kåre menjadi detak jantung sebenar MLTR.
“Malaysia will always be special to us. This is where our journey in Asia began,” ujar Jascha
disambut sorakan gemuruh penonton satu pengakuan jujur yang membuktikan hubungan erat mereka dengan peminat tempatan sejak awal 90-an.
MLTR mendodoi jiwa-jiwa yang dahagakan wirama romantis dengan Sleeping Child, Complicated Heart, I still Carry On dan The Actor.
Mereka juga bijak ‘menjampi’ khalayak dengan untaian kata-kata cinta yang dipersembahkan secara kustik. Antara lagu yang dipersembahkan adalah I’m Gonna Be Around, Out of The Blue dan Nothing To Loose.
Setiap lagu membawa penonton melalui perjalanan panjang MLTR dari era kaset dan walkman hingga dunia penstriman masa kini. Susunan lagu yang teratur mencipta aliran emosi yang naik turun, mengimbau rasa cinta, kehilangan dan harapan.
Suasana berubah menjadi syahdu ketika Paint My Love, 25 Minutes dan Love Will Never Die dimainkan. Lampu-lampu telefon berkelip seperti bintang di langit dan penonton menyanyi seirama dengan penuh perasaan. Ada yang menitiskan air mata, ada yang berpelukan itulah kuasa nostalgia
yang hanya MLTR mampu cipta.
Tidak seperti kebanyakan band moden yang sarat efek visual, MLTR memilih kesederhanaan. Pentas mereka ringkas tetapi setiap lagu hadir dengan kejujuran. Kekuatan utama terletak pada tight management, vokal tulus dan komunikasi mesra antara band dan peminat.
Jascha beberapa kali turun ke bahagian penonton, menghulurkan mikrofon kepada peminat yang kemudian menyanyikan dengan penuh semangat. Di belakangnya, Mikkel dan Kåreter senyum jelas terharu melihat bagaimana lagu-lagu ciptaan mereka masih menjadi nadi kenangan ramai.
Pencahayaan lembut dalam tona biru dan ungu melengkapkan suasana aromantik, sementara paparanskrin latar memaparkan visual awan dan cahaya malam yang mengiringi lagu-lagu cinta mereka.
Mereka menutup persembahan kali ini dengan lagu dengan That’s Why dengan bersaksikan 4,000 peminat yang setia sekaligus melengkapkan konsert Michael Learns To Rock Encore All The Hits in
Malaysia untuk tahun 2025.
“It’s like coming home,” ucap Jascha sebelum menutup persembahan kata-kata ringkas namun sarat makna buat peminat Malaysia yang setia menanti mereka sejak awal perjalanan di Asia.
