Kenny G kembali ke Malaysia untuk malam persembahan instrumental memukau
Persembahan anjuran Everbeat Entertainment dengan kerjasama CEOMAN Entertainment itu dijadualkan berlangsung pada pukul 6 petang.
KUALA LUMPUR, 13 Mei 2026 – Pemain saksofon terkenal dunia dan pemenang Anugerah Grammy, Kenny G bakal kembali ke Malaysia menerusi persembahan “King of Saxophone” Kenny G 2026 World Tour in Malaysia di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 12 Julai ini.
Persembahan anjuran Everbeat Entertainment dengan kerjasama CEOMAN Entertainment itu dijadualkan berlangsung pada pukul 6 petang.
Kenny G, yang dikenali sebagai antara pemuzik jazz paling tersohor sepanjang zaman, telah memikat peminat di seluruh dunia selama lebih empat dekad menerusi karya klasik seperti “Songbird”, “Forever in Love” dan “Silhouette”.
Dengan jualan melebihi 75 juta album studio di seluruh dunia, beliau merupakan antara pemuzik instrumental paling laris dalam sejarah muzik.

Sepanjang kerjayanya, beliau turut berkolaborasi dengan beberapa artis terkenal antarabangsa termasuk Celine Dion, Andrea Bocelli, Andy Lau, Kanye West, The Weeknd dan Charlie Puth.
Selain dokumentari “Listening to Kenny G” yang diterbitkan pada 2021, beliau juga memegang rekod dunia bagi note berterusan paling panjang iaitu note E-flat selama hampir 46 minit.
Persembahan itu dijangka menampilkan melodi ikonik serta susunan muzik yang menyentuh perasaan, digabungkan dengan produksi pentas elegan yang menjanjikan pengalaman persembahan secara langsung yang memukau.
Tiket persembahan boleh didapati menerusi MAISEAT dan Resorts World Genting dengan harga RM668 (VIP), RM558 (PS1), RM458 (PS2), RM358 (PS3) dan RM258 (PS4).
Maklumat lanjut dan perkembangan terkini boleh diperoleh menerusi laman Facebook Everbeat Entertainment serta Instagram @everbeat_entertainment.
