Ejen Ali The Movie 2 didik masyarakat risiko, bahaya penggodaman

Melakar sejarah baharu selepas dinobatkan sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pawagam Malaysia, mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan

Poster Terkini (5)


FENOMENA Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus diperkatakan meskipun telah lebih sebulan sejak ia ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Ia melakar sejarah baharu apabila secara rasmi dinobatkan sebagai filem animasi dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pawagam Malaysia, mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan.

Jumlah kutipan terkini dilaporkan telah menghampiri RM60 juta. Sasaran untuk mencapai kutipan RM65 juta mungkin bakal menjadi kenyataan apabila ia kini telah mula memasuki pasaran negara jiran, Indonesia.

Saya melihat kejayaan ini dipacu oleh jalan cerita yang mampu menarik perhatian segenap peringkat umur, daripada kanak-kanak yang mungkin sekadar terpukau dengan watak dan visual, remaja yang melihat perjuangan identiti dan pilihan hidup, malah golongan dewasa yang turut mencerna sindiran politik, kepincangan kepimpinan serta isu etika yang berlapis.

Ia bukan sekadar hiburan animasi penuh aksi tetapi sebuah cerminan kepada dunia masa kini yang semakin dikuasai oleh teknologi dan terdedah kepada ancaman siber.

Di sebalik kehebatan visual dan jalan cerita yang mendebarkan, filem ini membuka satu perbincangan yang jauh lebih mendalam iaitu apa yang berlaku apabila teknologi canggih digodam dan dimanipulasi oleh individu berkepentingan?

Dalam EATM2, kita menyaksikan bencana yang melanda apabila teknologi yang sepatutnya membantu dan melindungi, akhirnya membawa kemusnahan. Mesej ini sangat jelas iaitu teknologi tanpa kawalan moral dan keselamatan yang kukuh boleh menjadi senjata makan tuan.

Fenomena ini bukan lagi fiksyen. Dalam dunia sebenar, sejarah telah beberapa kali menyaksikan bagaimana sistem digital yang kompleks dapat diceroboh dan kesannya nyata besar.

Pada tahun 2014, dunia dikejutkan dengan serangan siber ke atas syarikat Sony Pictures oleh kumpulan penggodam ‘Guardians of Peace’. Kebocoran e-mel dalaman, maklumat peribadi dan filem yang belum ditayangkan menimbulkan krisis besar kepada syarikat itu.

Malah, ia turut melibatkan tekanan geopolitik kerana dipercayai berpunca daripada kemarahan terhadap kandungan filem yang menyentuh sensitiviti politik antarabangsa.

Situasi semasa dalam negara pula, sebuah portal berita tempatan pernah melaporkan bahawa badan perniagaan dan organisasi di Malaysia berdepan sebanyak 19.62 juta serangan berasaskan web hanya dalam separuh pertama tahun 202, antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Oleh itu, kita tidak boleh terus selesa. Semua pihak termasuk sistem pendidikan perlu bertindak bagi memupuk kesedaran tentang bahaya penggodaman dan seterusnya mengekang aktiviti ini daripada terus membarah. Warga pendidik tidak boleh sesekali membiarkan pelajar menguasai teknologi tanpa memahami etika dan bahaya yang terkandung di dalamnya.

Sudah tiba masanya kita menyemai kesedaran ini bermula dari peringkat awal persekolahan. Antara langkah awal yang boleh diambil adalah memperkenalkan modul asas Kesedaran Siber di peringkat sekolah, sama ada sebagai sebahagian daripada subjek Reka Bentuk dan Teknologi atau pendidikan sivik yang dimodenkan.

Pelajar bukan sahaja belajar cara menggunakan teknologi tetapi juga cara mempertahankan diri dalam dunia digital. Mereka perlu didedahkan kepada simulasi situasi seperti bagaimana mengenal pasti serangan siber, cara melaporkan serta akibat dari sudut etika dan undang-undang jika terlibat dalam aktiviti penggodaman.

Di peringkat universiti pula, silibus mata pelajaran umum seperti subjek Jati Diri perlu memberi penekanan terhadap tajuk Cabaran Jati Diri di Alam Siber. Program pengajian khusus berkaitan teknologi seperti Sains Komputer, Kejuruteraan Perisian dan Teknologi Maklumat pula perlu memasukkan kursus Etika Siber sebagai keperluan wajib, bukan pilihan.

Begitu juga dalam program pendidikan guru, bakal pendidik perlu dilatih bukan hanya dalam kemahiran teknologi, tetapi juga dalam mendidik pelajar tentang tanggungjawab digital.

Pada masa sama, kolaborasi antara institusi pendidikan dan agensi keselamatan siber seperti CyberSecurity Malaysia harus digiatkan. Latihan kendiri, kempen kesedaran dan pertandingan inovasi keselamatan siber boleh menjadi platform untuk memupuk kesedaran serta membina kecekapan murid dan pelajar dalam aspek ini.

Sebagai pengajar subjek Sains yang turut mengajar subjek Jati Diri, saya percaya pendidikan nilai tidak lagi boleh terpisah daripada pendidikan teknologi.

Jika dahulu kita hanya berbicara tentang akhlak dalam pergaulan atau tanggungjawab sosial, hari ini kita perlu berbicara tentang etika ketika memiliki kuasa teknologi, tanggungjawab tatkala memiliki akses maklumat dan pilihan moral semasa berdepan situasi kelabu dalam dunia digital.

Apa yang dipaparkan dalam EATM2 adalah tentang bagaimana teknologi yang canggih boleh dieksploitasi oleh individu yang berdendam atau pemimpin yang angkuh, mengingatkan kita bahawa penguasaan teknologi tanpa integriti boleh membawa bencana.

Justeru, pendidikan masa kini tidak boleh hanya tertumpu kepada apa yang boleh pelajar cipta tetapi juga kenapa mereka mencipta dan untuk siapa ia digunakan. EATM2 telah berjaya membuka naratif penting ini dalam medium yang menghiburkan namun penuh peringatan.

Ia memberi kita peluang untuk memulakan perbualan kritikal dengan anak-anak, pelajar dan pemimpin pendidikan. Kini, giliran pendidikan untuk bertindak. Dunia tidak menanti penggodam muncul sebelum kita bersedia, sebaliknya menanti pendidik, pembuat dasar dan masyarakat untuk membentuk generasi yang celik teknologi, celik etika dan bersedia memikul amanah masa depan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.