Hidupkan semula semangat Dasar Pandang ke Timur

Bukan bermakna kita meniru sistem pendidikan Jepun secara membuta tuli tetapi mengajak kita mengambil inspirasi daripada amalan yang sesuai dan terbukti berkesan.

Poster Terkini


LEBIH empat dekad lalu, Malaysia memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur yang memberi fokus kepada nilai-nilai positif dari negara seperti Jepun, khususnya etika kerja, disiplin dan semangat kolektif.

Walaupun dasar ini banyak diterapkan dalam sektor ekonomi dan pentadbiran, nilai yang dibawa turut menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang berdaya tahan dan berintegriti.

Kini, dalam dunia yang berdepan pelbagai cabaran pendidikan dan sosial, mungkin sudah tiba masanya untuk kita menghidupkan semula semangat dasar ini dalam bentuk yang lebih dekat dengan pelajar melalui konsep ‘Jepun dalam kelas kita’.

Konsep ini bukan bermakna kita meniru sistem pendidikan Jepun secara membuta tuli. Sebaliknya, ia mengajak kita mengambil inspirasi daripada amalan yang sesuai dan terbukti berkesan dan menyesuaikannya dengan konteks pendidikan Malaysia.

Pendekatan ini penting untuk memperkukuh nilai-nilai sejagat dalam membina pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berjiwa besar dan berperibadi mulia.

Antara nilai yang wajar diketengahkan ialah ketepatan masa. Di Jepun, pelajar dilatih sejak kecil untuk hadir ke sekolah tepat pada waktu dan bersedia sebelum kelas bermula.

Ia bukan sekadar rutin tetapi satu bentuk penghormatan terhadap masa, guru dan rakan. Budaya ini telah wujud dalam sistem kita, namun perlu diperkukuh melalui sokongan kolektif daripada warga sekolah dan ibu bapa agar menjadi norma yang dihargai, bukan sekadar arahan.

Nilai tanggungjawab terhadap persekitaran turut menjadi elemen penting. Di kebanyakan sekolah di Jepun, pelajar sendiri membersihkan bilik darjah mereka setiap hari.

Amalan ini menyemai sikap peduli dan rasa memiliki terhadap ruang bersama. Dalam konteks Malaysia, pendekatan jadual bertugas di bilik darjah boleh dijadikan asas dalam membentuk karakter pelajar yang bertanggungjawab secara praktikal.

Budaya pendidikan Jepun juga banyak menitikberatkan pembangunan emosi dan refleksi diri. Konsep wabi-sabi iaitu menghargai kesederhanaan dan ketidaksempurnaan, diterjemahkan melalui aktiviti seperti haiku (penulisan puisi Jepun), origami dan seni taman.

Ia mendorong pelajar menilai diri, menghargai alam dan membina kepekaan estetik. Dalam sistem kita yang kadangkala terlalu berorientasikan pencapaian, aktiviti reflektif seperti ini boleh menjadi sokongan penting kepada kesejahteraan mental pelajar.

Falsafah kaizen atau penambahbaikan berterusan, turut berkait rapat dengan pendidikan. Ia menekankan proses pembelajaran berasaskan percubaan, kesilapan dan penyesuaian.

Di Jepun, pelajar digalakkan untuk terus mencuba tanpa takut gagal. Pendekatan ini bukan sahaja membina daya tahan, malah melatih pelajar untuk melihat kesilapan sebagai peluang memperbaiki diri, satu kemahiran penting dalam dunia moden.

Hubungan guru dan pelajar di Jepun pula dibina atas rasa hormat dan kepercayaan. Guru atau sensei, bukan hanya dilihat sebagai penyampai ilmu tetapi juga pembimbing kehidupan.

Di Malaysia, nilai ini juga telah lama berakar, namun dalam era digital yang serba pantas, usaha memperkukuhkan hubungan berdasarkan hormat ini perlu diberi perhatian agar suasana pembelajaran yang harmoni terus terpelihara.

Perlu diakui bahawa setiap sistem pendidikan ada kekuatan dan cabaran tersendiri. Malaysia sebagai negara majmuk yang kaya dengan budaya dan tradisi tersendiri tidak memerlukan acuan luar untuk dijadikan model mutlak.

Namun, dalam era dasar yang berkembang secara dinamik, cabaran peningkatan prestasi akademik pelajar dan harapan tinggi terhadap masa depan pelajar, kita boleh mengambil inspirasi daripada nilai-nilai luar yang terbukti berkesan dan menyesuaikannya dengan realiti semasa.

Apa yang lebih utama ialah mewujudkan keseimbangan. Pendidikan bukan sekadar mengejar gred atau bergantung sepenuhnya kepada hala tuju dasar yang bersifat responsif terhadap keadaan semasa, tetapi membina asas nilai yang konsisten dan lestari.

‘Jepun dalam kelas kita’ merupakan satu gagasan pendidikan berasaskan nilai-nilai yang mengasuh dengan jiwa, membentuk dengan hikmah dan membimbing melalui teladan.

Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk menyokong gagasan ini. Para guru dan ibu bapa sentiasa berpegang kepada nilai murni dalam usaha mendidik pelajar.

Apa yang diperlukan kini ialah kerangka yang lebih tersusun dan inklusif bagi memperkukuh usaha tersebut, agar nilai seperti disiplin, tanggungjawab, hormat dan ketekunan terus dipelihara dan tidak terhakis oleh arus perubahan arus masa.

Akhirnya, pendidikan holistik tidak bergantung kepada satu model semata-mata. Ia terbina melalui kerjasama pelbagai pihak dan kesediaan untuk menilai, menyesuaikan dan memperkukuh amalan yang membawa kebaikan.

Dalam dunia yang semakin terhubung dan mencabar, nilai-nilai sebeginilah yang akan menjadi asas kukuh kepada pendidikan yang benar-benar berteraskan kemanusiaan.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.