Intervensi krisis moral remaja dan peningkatan kes HIV

Sebanyak 222 kes HIV dilaporkan berlaku pada tahun 2024 melibatkan pelajar IPT dalam aktiviti berisiko seperti seks tanpa perlindungan, perkongsian jarum dan penyalahgunaan barang terlarang.

Poster Terkini (2)


KERUNTUHAN akhlak dan moral yang berlaku dalam kalangan remaja telah menjadi antara isu yang sering dibincangkan kerana ia melibatkan nilai sahsiah remaja yang bakal menjadi tunjang kepada masa depan negara.

Penglibatan remaja dalam pelbagai aktiviti tidak bermoral seperti seks bebas, penyalahgunaan dadah dan ketagihan menonton video lucah telah memberi impak negatif kepada peningkatan indeks kesihatan dalam kategori penyakit berbahaya seperti HIV, AIDS dan kesihatan mental.

Peningkatan kes HIV bagi tempoh 2020 sehingga 2024 sebagaimana yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang sangat membimbangkan, iaitu sebanyak 1,091 kes HIV melibatkan pelajar dari peringkat sekolah sehingga universiti atau Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Malah, sebanyak 222 kes HIV telah dilaporkan berlaku pada tahun 2024 dengan melibatkan penglibatan pelajar IPT dalam aktiviti berisiko seperti seks tanpa perlindungan, perkongsian jarum dan penyalahgunaan barang terlarang.

Berdasarkan data daripada Yayasan AIDS Malaysia, peningkatan ini bukan sahaja melibatkan golongan remaja yang berusia sekitar 18 sehingga 19 tahun, lebih membimbangkan apabila jangkitan HIV ia turut melibatkan pelajar berusia 13 tahun dengan lapan kes baharu direkodkan dalam kegiatan seksual.

Normalisasi maksiat dalam kalangan remaja menjadi antara punca utama berlakunya pelbagai kegiatan aktiviti yang tidak bermoral, terutama melibatkan hubungan seks bebas yang dianggap sebagai satu kebiasaan dalam kehidupan di zaman moden.

Pengaruh media sosial serta kebebasan remaja melayari video lucah turut menyumbang kepada peningkatan kes HIV yang direkodkan sebagai membimbangkan kerana ia melibatkan golongan remaja dalam kalangan pelajar IPT yang berpotensi untuk menjadi belia yang cemerlang terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

Pendedahan peningkatan kes HIV dalam kalangan pelajar oleh pihak KKM dan Yayasan AIDS Malaysia pada awal Julai 2025 perlu dilihat sebagai tanggungjawab sosial yang perlu diterjemahkan dalam bentuk langkah-langkah intervensi untuk mengawal dan mencegah salah laku dalam kalangan remaja.

Antara institusi yang berperanan penting sebagai sistem sokongan adalah institusi kekeluargaan yang merupakan kelompok yang paling rapat dengan golongan remaja.

Sikap remaja di era teknologi yang lebih banyak menggunakan gajet sebagai medan komunikasi dan eksplorasi perlu diseimbangkan dengan komunikasi fizikal dengan ahli keluarga.

Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting untuk mengukuhkan nilai-nilai moral dan agama sebagai asas penting kehidupan serta mewujudkan interaksi mesra tanpa gajet dalam kalangan anak-anak.

Sikap mengambil mudah untuk memahami, mendalami dan mempraktikkan asas agama dalam kehidupan menjadi punca kepada peningkatan salah laku dalam kalangan remaja.

Justeru, peranan ibu bapa adalah sangat penting sebagai CCTV dalam mengenal pasti perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak dari peringkat kanak-kanak sehingga remaja.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah memperkenalkan langkah-langkah pencegahan HIV iaitu dengan penggunaan Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) yang boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV sekiranya diambil dengan konsisten.

Malah, pelbagai bentuk penerangan berkaitan bahaya salah laku seks dan kesan negatif terhadap pengambilan barang terlarang telah dilakukan oleh pihak KKM.

Intervensi paling signifikan dalam menangani gejala tidak bermoral dalam kalangan remaja ialah melalui pemantapan kesedaran keberagamaan yang berfungsi sebagai benteng diri daripada terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.

Kehidupan beragama merupakan asas penting yang membimbing tingkah laku manusia kerana setiap agama yang diiktiraf menekankan prinsip etika seperti berbuat kebaikan dan menjauhi kemudaratan terhadap diri serta masyarakat.

Justeru, kefahaman terhadap ajaran dan peraturan agama perlu sentiasa diteliti, difahami dan dihayati agar menjadi panduan yang berkesan dalam membentuk keperibadian yang luhur.

Dalam konteks Islam, syariat telah menetapkan garis panduan yang jelas mengenai perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT. Hal ini selaras dengan Maqasid al-Shari‘ah yang bertujuan menjaga kemaslahatan dan mencegah kemudaratan ke atas individu, keluarga dan agama itu sendiri.

Sikap segelintir remaja yang menganggap kebebasan peribadi sebagai hak mutlak tanpa perlu diambil peduli oleh masyarakat sekeliling akhirnya membawa implikasi negatif yang serius.

Ia bukan sahaja mencemarkan maruah mereka sebagai penuntut institusi pengajian tinggi yang sepatutnya menonjolkan nilai intelektual yang tinggi, malah turut memberi kesan buruk terhadap anugerah kesihatan yang merangkumi aspek jasmani, rohani dan mental.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.