Tanah penentu masa depan makanan negara
Walaupun tanah kita kelihatan subur dan hijau, tekanan terhadap sumber ini semakin meningkat akibat sifat tanah itu sendiri, pembangunan, pencemaran serta perubahan corak cuaca yang ketara.

TANAH adalah asas keterjaminan makanan dan pertahanan negara terhadap kesan perubahan cuaca. Setiap individu mempunyai peranan dalam memastikan tanah terus dipelihara melalui amalan lestari.
Kesedaran dan tindakan bersama akan menentukan sama ada tanah kita kekal subur dan produktif untuk generasi yang akan datang. Tanpa tanah yang sihat dan subur, negara akan berdepan cabaran besar dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat.
Dalam konteks Malaysia, walaupun tanah kita kelihatan subur dan hijau, tekanan terhadap sumber ini semakin meningkat akibat sifat tanah itu sendiri, pembangunan, pencemaran serta perubahan corak cuaca yang ketara.
Amalan pengurusan tanah lestari memainkan peranan penting dan strategi utama untuk menjamin kestabilan sistem makanan dan kelangsungan hidup rakyat Malaysia.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO), krisis kesihatan tanah semakin menjadi isu global yang mendesak. Berikut ialah 10 fakta penting mengenai tanah yang perlu difahami oleh rakyat Malaysia:
1. 95 peratus makanan kita bergantung kepada tanah
Tanah yang sihat membekalkan nutrien, air, oksigen serta sokongan fizikal kepada akar tanaman. Ia juga melindungi akar daripada perubahan suhu yang mendadak, sekali gus menyumbang kepada kestabilan hasil pertanian.
2. Satu pertiga tanah di dunia telah merosot kualitinya
Sebanyak 33 peratus tanah dunia mengalami degradasi akibat hakisan, pencemaran dan amalan pertanian yang tidak mampan. Ini mengurangkan keupayaan tanah untuk menyokong pertumbuhan tanaman dan mengancam keterjaminan makanan.
3. Tanah terbentuk sangat perlahan – 1,000 tahun untuk hasilkan 2 hingga 3cm tanah
Pembentukan dua hingga tiga sentimeter tanah boleh mengambil masa sehingga seribu tahun. Oleh itu, tanah merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui dalam tempoh hayat manusia dan perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab.
4. Tanah membekalkan 15 daripada 18 unsur nutrien penting untuk tumbuhan
Antara unsur tersebut termasuk nitrogen, fosforus dan kalium yang sangat penting untuk proses tumbesaran, fotosintesis dan pembentukan protein dalam tumbuhan. Kesuburan tanah dan pengurusan yang berkesan adalah kritikal untuk memastikan tanah dapat terus menyediakan nutrien-nutrien ini.
5. Satu sudu tanah mengandungi lebih banyak organisma hidup daripada jumlah manusia di bumi
Mikroorganisma seperti bakteria, kulat, nematod dan protozoa memainkan peranan penting dalam memastikan kesuburan dan keseimbangan ekosistem tanah.
6. Kandungan vitamin dan nutrien dalam makanan telah menurun dalam 70 tahun terakhir
Amalan pertanian moden yang menumpukan kepada kuantiti dan ketahanan tanaman telah menurunkan kandungan nutrisi dalam hasil tanaman. Ini memberi kesan langsung terhadap kesihatan manusia kerana nutrien dalam makanan penting untuk kesejahteraan dan pencegahan penyakit. Penggunaan berlebihan baja kimia dan racun perosak telah mengakibatkan tanah menjadi kurang subur, sekali gus mengurangkan kandungan nutrien yang boleh diserap oleh tanaman.
7. Dua bilion penduduk dunia alami kekurangan mikronutrien (kelaparan tersembunyi)
Kekurangan zat atau dikenali sebagai kelaparan tersembunyi seperti zat besi, vitamin A dan zink memberi kesan kepada kesihatan, terutama dalam kalangan wanita hamil dan kanak-kanak. Kelaparan tersembunyi sering tidak disedari kerana tanda-tandanya kurang jelas berbanding kekurangan makanan yang ketara. Namun, ia boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti anemia, rabun dan penurunan sistem imun. Tanah yang sihat menyumbang kepada tanaman yang lebih berkhasiat.
8. Pengeluaran makanan perlu meningkat 60 peratus menjelang 2050
Pertumbuhan populasi yang pesat, perubahan diet dan peningkatan pendapatan adalah faktor utama yang mendorong peningkatan permintaan makanan. Peningkatan ini perlu dicapai tanpa menambah tekanan kepada tanah dan sumber air yang terhad. Maka, amalan pertanian mampan menjadi semakin penting.
9. Pengurusan tanah lestari boleh tingkatkan pengeluaran makanan sehingga 58 peratus
Pengurusan tanah yang lestari melibatkan amalan yang menjaga kesuburan tanah, mengurangkan hakisan, meningkatkan kandungan bahan organik, dan memelihara ekosistem tanah. Kaedah seperti penambahan bahan organik, putaran tanaman dan pengawalan hakisan dapat meningkatkan hasil pertanian dan menjamin kesuburan tanah untuk jangka panjang.
10. Sehingga separuh sisa rumah boleh dikomposkan untuk menyuburkan tanah
Amalan pengkomposan bahan organik seperti sisa dapur dapat menghasilkan kompos yang kaya dengan nutrien dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.