TVET dan pengurusan operasi perlu bersatu

Dalam dunia yang semakin kompleks dan saling berkait, penyatuan TVET dan pengurusan operasi adalah kunci kepada kelangsungan daya saing industri negara.

Poster Terkini (4)

S
DALAM era persaingan global dan tekanan kelestarian, keupayaan syarikat atau perusahaan untuk mengurus operasi secara cekap dan berkesan menjadi faktor penentuan daya saing industri.

Namun, kecekapan mengurus ini tidak hanya terletak pada keupayaan organisasi untuk merangka strategi korporat yang baik atau penerapan teknologi yang canggih semata-mata tetapi ia turut ditentukan oleh kesiapsiagaan tenaga kerja.

Di sinilah TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) memainkan peranan yang sangat besar. Malah, apa yang terjadi adalah TVET seringkali dilihat sebagai laluan ‘kedua’ berbanding pendidikan akademik.

Pada masa sama, sebagai negara membangun, Malaysia memerlukan gabungan mantap antara pendidikan teori dan latihan praktikal untuk memastikan rantaian bekalan, pengeluaran dan perkhidmatan dijalankan dengan piawaian tertinggi.

Ini adalah penting bagi memastikan syarikat pengeluaran tempatan tidak tergelincir daripada rantaian bekalan global. Bidang pengurusan operasi pula menjadi tulang belakang dalam menyelaras input, proses dan output dalam semua sektor, daripada pembuatan hinggalah kepada logistik dan hospitaliti.

Justeru, TVET memainkan peranan kritikal dalam menyediakan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara teknikal tetapi juga memahami keperluan standardisasi, kecekapan proses dan penyesuaian teknologi.

Di sini, dapat dilihat kedua-duanya saling memerlukan iaitu TVET perlu mengintegrasikan ilmu pengurusan operasi, sementara pengurusan operasi tidak akan berkesan tanpa tenaga kerja mahir daripada aliran TVET.

Apabila kita bercakap tentang pengurusan operasi moden, ia kini tidak terhad kepada pengeluaran fizikal semata-mata. Ia melibatkan automasi, pengeluaran secara ‘lean’, rantaian bekalan digital dan pematuhan piawaian seperti ISO atau HACCP. TVET berperanan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang boleh membumikan konsep-konsep ini ke dalam amalan sebenar di tempat kerja.

Apa sebenarnya yang terkandung dalam kurikulum TVET? Secara umum, ia merangkumi tiga komponen utama iaitu kemahiran teknikal seperti operasi mesin, kawalan kualiti dan penyelenggaraan; kemahiran generik seperti komunikasi, etika kerja dan literasi komputer serta latihan industri yang memberi pendedahan kepada operasi sebenar di tempat kerja.

Namun, aspek seperti asas pengurusan operasi contohnya perancangan kapasiti, aliran proses, pengurusan inventori dan penggunaan data untuk membuat keputusan masih kurang diberi penekanan. Inilah jurang yang perlu dirapatkan agar lulusan TVET bukan sahaja cekap dari segi teknikal tetapi juga memahami logik dan strategi operasi industri moden.

Penyepaduan antara TVET dan pengurusan operasi perlu dirapatkan. Program TVET boleh disuntik dengan elemen pengurusan asas seperti pemetaan proses, pemikiran ‘lean’ dan pengenalan kepada digitalisasi seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin. Dalam masa sama, pelajar pengurusan boleh mendapat manfaat melalui lawatan industri atau latihan teknikal secara langsung.

Dalam kajian yang saya jalankan bersama penggiat industri makanan, mereka menyatakan bahawa kecekapan pekerja TVET yang faham asas pengurusan memberi kesan langsung kepada produktiviti, pengurangan pembaziran dan pematuhan kepada audit kualiti.

Elemen-elemen ini amat penting dalam usaha kerajaan untuk selari dengan pembangunan kelestarian. Malah, permintaan terhadap pekerja berkemahiran yang boleh mengurus proses secara efisien semakin meningkat, terutamanya dalam industri yang berdepan cabaran ESG (environmental, social, governance), automasi dan tekanan kos.

Justeru, TVET bukan sahaja perlu dilihat sebagai pengeluar tenaga kerja teknikal tetapi sebagai pencorak barisan hadapan dalam pelaksanaan strategi operasi sesebuah organisasi.

Dalam dunia pascapandemik yang semakin dipacu oleh automasi dan teknologi pintar, kemahiran teknikal semata-mata tidak lagi mencukupi. Komponen literasi komputer dalam kurikulum TVET perlu ditambah baik, di mana golongan TVET juga perlu diberi pendedahan terhadap teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, analitik data, dan internet kebendaan (IoT) yang semakin digunakan dalam operasi industri seperti pengurusan inventori, perancangan pengeluaran dan logistik.

Sebagai contoh, seorang juruteknik hari ini bukan sahaja perlu tahu cara mengendalikan mesin tetapi juga mentafsir data prestasi mesin melalui papan pemuka analitik atau menyesuaikan tetapan mengikut unjuran permintaan yang dijana oleh sistem ramalan AI.

Jika tidak diberi pendedahan awal, golongan TVET mungkin ketinggalan dalam revolusi perindustrian baharu (IR 4.0) dan ini akan memberi kesan kepada kemampanan kerjaya serta daya saing negara.

Negara-negara maju seperti Jerman, Korea Selatan dan Singapura telah lama mengarusperdanakan pendidikan TVET sebagai laluan utama, bukan sekadar pilihan kedua.

Di Jerman, sistem ‘dual training’ yang menggabungkan latihan industri dan pembelajaran akademik menjadikan lulusan TVET begitu dihargai oleh majikan. Di Singapura, pelajar TVET dilatih dengan teknologi terkini seperti automasi industri, analitik data dan sistem pintar, menjadikan mereka bersedia untuk peranan penting dalam industri 4.0.

Malaysia masih berada di landasan yang baik, namun perlu mempercepatkan integrasi teknologi baharu dan komponen pengurusan dalam latihan TVET, agar kita tidak terus ketinggalan.

Kita tidak boleh lagi melihat TVET sebagai laluan teknikal semata-mata, sebaliknya sebagai platform untuk melahirkan tenaga kerja strategik yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global.

TVET dan pengurusan operasi bukan dua entiti yang terpisah. Dalam dunia yang semakin kompleks dan saling berkait, penyatuan kedua-duanya adalah kunci kepada kelangsungan daya saing industri negara.

Inilah masanya yang tepat kita mengangkat TVET bukan sahaja sebagai laluan teknikal tetapi sebagai pemacu transformasi digital dan kemahiran pintar dalam operasi industri negara.

Penyatuan antara kemahiran teknikal, pengetahuan pengurusan dan literasi digital akan menjadikan tenaga kerja Malaysia kekal kompetitif, walaupun berada di aliran TVET.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.