Strategi serampang tiga mata “Mencari Hati Emas” di Gunung Everest

KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2024 – Pendekatan strategi serampang tiga mata bakal dilaksanakan dalam Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025.

Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa berkata, projek yang sudah diilhamkan sejak beberapa tahun itu bertujuan untuk menambah dana bagi membantu anggota bomba kurang bernasib baik.

Selain itu, beliau juga berhasrat untuk menjadikan bomba sebagai pasukan badan beruniform negara yang berjaya menjejakkkan kaki ke puncak, sekali gus membuktikan pasukan badan beruniform di Malaysia setanding dengan pasukan-pasukan badan beruniform negara maju yang lain.

“Projek pendakian ke puncak gunung ketinggian 8,848 meter dari aras laut ini adalah ilham saya sendiri rentetan daripada projek kayuhan solo berbasikal sejauh 2,400 kilometer serta melawat 105 balai bomba dan penyelamat di Semenanjung pada tahun 2020.

“Projek kali ini dianjurkan oleh Kelab Kembara Kosmopolitan dengan kerjasama Summit Attack Resources (SAR) bagi menambah dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba.

“Projek yang mendapat sokongan penuh dan persetujuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ini bertujuan membantu mereka yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas atau yang masih dalam perkhidmatan,” kata anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) ini.

Mohd. Fakhrul Munir atau dikenali sebagai Loe yang bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Subang Jaya juga berkata, projek pendakian Gunung Everest ini tidak mengutip derma daripada rakyat Malaysia atau menggunakan wang kerajaan.

Sebaliknya, beliau yang akan mengambil cuti tanpa gaji sudah menggerakkan jualan amal alat pemadam api (edisi khas) satu kilogram berserta barangan kombo (baju-T eksklusif dan topi tahan lasak) bagi mengumpul dana.

Alat pemadam api ini boleh dibeli dengan harga RM139 seunit manakala baju-T eksklusif (RM59) dan topi (RM39) atau pembelian secara kombo untuk ketiga-tiga item tersebut pada harga RM199.

Pembelian boleh dibuat di https://twh.yezza.store/

Nor Hisham (dua kiri) bersama Mohd. Fakhrul Munir (tengah), Ketua Pengajian Keselamatan Kebakaran, ABPM Wilayah Tengah, Noorhisham Kamal (kiri), pendaki Everest negara, Zainuddin Lot (dua kanan) dan Pengarah Bahagian Korporat JBPM, Azmi Saadon menunjukkan alat pemadan api (edisi khas) yang dijual sempena Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025 di Pejabat Ketua Pengarah JBPM di Putrajaya baru-baru ini.

“Antara objektif utama jualan amal ini adalah mendidik orang ramai tentang pentingnya untuk sentiasa cakna dan bersiap siaga dengan alat pemadam api.

“Ia bagi mengawal kebakaran agar dapat menurunkan statistik seminimum yang mungkin sama ada melibatkan kediaman, pejabat atau kenderaan.

“Sebab itu, saya anggap projek ini sebagai strategi serampang tiga mata,” tambah beliau.

Setakat ini, Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025 telah mendapat “lampu hijau” daripada Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad selain sokongan padu Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, ahli-ahli perniagaan dan rakan-rakan pendaki.

“Sebaik projek ini dilancarkan, saya mendapat sokongan penuh daripada banyak pihak. Kata-kata positif mereka menyuntik semangat untuk saya merealisasikan projek ini.

“Sebenarnya, ‘Hati Emas’ itu ada dalam diri kita. Sokongan kecil anda dengan membeli alat pemadam api ini dapat beramal dan membantu orang yang memerlukan,” katanya.