Generasi Z ubah landskap latihan industri maya
Gen Z sering dianggap kurang fokus, namun realitinya mereka membesar dalam ekosistem digital yang pantas dan interaktif.

PERALIHAN ke dunia kerja hibrid bukan sekadar perubahan lokasi bekerja. Ia menuntut gaya kepimpinan dan pendekatan bimbingan yang lebih fleksibel agar selari dengan cara kerja generasi baharu. Dalam sektor perakaunan, perubahan ini semakin ketara apabila pelajar generasi Z menjalani latihan industri secara maya dan berinteraksi dengan penyelia yang terbiasa dengan gaya komunikasi tradisional.
Generasi Z sering dianggap kurang fokus, namun realitinya mereka membesar dalam ekosistem digital yang pantas dan interaktif. Mereka lebih responsif terhadap maklum balas segera, komunikasi yang ringkas serta arahan yang jelas. Keperluan ini bukan berpunca daripada sikap manja tetapi merupakan cara kerja dan proses memahami tugasan yang lebih efektif bagi mereka.
Latihan industri maya juga menuntut penyelia menguasai empati digital. Keupayaan memahami pelajar melalui skrin, memberikan tunjuk ajar dengan nada yang sesuai dan menyokong emosi interns menjadi elemen penting dalam mengekalkan motivasi. Sesetengah penyelia memilih untuk mengadakan sesi ringkas secara dalam talian seperti perbualan pagi atau semakan mingguan bagi memastikan pelajar kekal berhubung dan tidak berasa terasing.
Model penilaian kerja turut mengalami perubahan. Dahulu kehadiran fizikal menjadi ukuran disiplin. Kini profesionalisme lebih dinilai melalui ketepatan hasil kerja, konsistensi tugasan dan cara interns mengurus masa secara berdikari. Pendekatan berasaskan hasil ini semakin diterima dalam industri profesional kerana ia mencerminkan kemampuan sebenar pelajar.
Konsep kepercayaan digital juga semakin penting. Penyelia tidak dapat memantau interns sepanjang masa, maka tumpuan diberi kepada kualiti tugasan dan kefahaman kerja. Sikap ini membantu membina keyakinan pelajar, selain mewujudkan hubungan kerja yang lebih matang dan produktif.
Generasi Z terbukti mampu memberikan prestasi yang baik apabila diberikan bimbingan yang sesuai, ruang autonomi serta komunikasi yang jelas. Mereka bukan generasi lemah. Mereka hanya bekerja dengan cara yang berbeza dan lebih selari dengan teknologi.
Jika firma perakaunan bersedia menyesuaikan gaya bimbingan dengan keperluan semasa, latihan industri maya mampu menjadi platform strategik untuk melahirkan akauntan masa depan yang lebih cekap digital, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran kerja global.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
