Modifikasi tingkah laku, rahsia guru mengawal pelajar

Keberkesanan modifikasi tingkah laku bergantung kepada penglibatan dan komitmen semua pihak termasuk guru, kaunselor, dan ibu bapa.

Feature Image (4)

MASALAH tingkah laku dalam kalangan pelajar sering menjadi cabaran utama di sekolah-sekolah di Malaysia. Isu seperti pelajar ponteng kelas, tidak menghormati guru, menimbulkan kekecohan atau gagal menyiapkan tugasan bukan sahaja menjejaskan prestasi akademik, malah turut mengganggu suasana pembelajaran secara keseluruhan. Situasi ini menimbulkan persoalan penting iaitu adakah pelajar yang bermasalah tingkah laku ini tidak boleh berubah atau sebenarnya mereka hanya memerlukan pendekatan yang lebih berkesan?

Dalam hal ini, kaedah modifikasi tingkah laku muncul sebagai satu strategi pendidikan yang terbukti mampu membantu pelajar memperbaiki diri dan menyesuaikan diri dengan lebih baik dalam persekitaran sekolah.

Modifikasi tingkah laku ialah pendekatan psikologi yang berasaskan teori pelaziman operan (operant conditioning) yang diperkenalkan oleh ahli psikologi terkenal, B.F. Skinner. Teori ini menjelaskan bahawa tingkah laku manusia boleh dibentuk melalui sistem ganjaran dan hukuman.

Dalam konteks pendidikan, guru boleh menggunakan prinsip ini untuk memperkukuh tingkah laku positif dan mengurangkan tingkah laku negatif dalam kalangan pelajar. Kaedah ini tidak menumpukan kepada menghukum, sebaliknya memberi peluang kepada pelajar untuk memahami kesan perbuatan mereka dan belajar memperbetulkannya secara bertanggungjawab.

Salah satu teknik utama dalam modifikasi tingkah laku ialah peneguhan positif. Kaedah ini melibatkan pemberian ganjaran apabila pelajar menunjukkan tingkah laku yang diingini. Contohnya, pelajar yang menyiapkan tugasan tepat pada masa atau menunjukkan sikap sopan boleh diberikan pujian, markah tambahan atau ganjaran simbolik seperti pelekat bintang.

Walaupun kelihatan kecil, pujian dan ganjaran ini memberi kesan besar terhadap motivasi pelajar. Ia membina keyakinan diri dan membantu mereka mengaitkan tingkah laku positif dengan pengalaman yang menyenangkan. Dalam jangka panjang, pelajar akan mula berkelakuan baik bukan kerana ingin ganjaran semata-mata, tetapi kerana mereka menyedari nilai dan kepuasan berbuat demikian.

Selain itu, peneguhan negatif turut memainkan peranan penting dalam mengubah tingkah laku pelajar. Dalam konteks ini, sesuatu yang tidak menyenangkan akan dikurangkan apabila pelajar menunjukkan tingkah laku positif. Misalnya, seorang pelajar yang sering tidak menyiapkan kerja sekolah mungkin diberi tugasan tambahan. Namun, apabila dia mula menunjukkan perubahan positif, tugasan tambahan itu boleh dikurangkan sebagai bentuk peneguhan negatif. Kaedah ini mengajar pelajar bahawa perubahan tingkah laku membawa kepada keadaan yang lebih baik dan menggembirakan.

Selain daripada peneguhan, guru juga boleh menggunakan teknik penghapusan (extinction) bagi mengurangkan tingkah laku negatif. Kaedah ini bermaksud menghentikan sebarang bentuk perhatian atau ganjaran terhadap tingkah laku yang tidak diingini. Sebagai contoh, jika pelajar suka membuat bising untuk menarik perhatian, guru boleh mengabaikannya sehinggalah pelajar berhenti. Lama-kelamaan, pelajar akan belajar bahawa tingkah laku tersebut tidak lagi memberi kesan yang diharapkan.

Dalam kes yang lebih serius, kaedah time-out juga boleh digunakan, iaitu menyingkirkan pelajar buat sementara waktu daripada situasi yang mencetuskan tingkah laku negatif. Pendekatan ini membolehkan pelajar menenangkan diri sebelum kembali ke aktiviti pembelajaran.

Keberkesanan modifikasi tingkah laku bergantung kepada penglibatan dan komitmen semua pihak termasuk guru, kaunselor, dan ibu bapa. Guru berperanan sebagai pengurus tingkah laku di bilik darjah dengan memantau perubahan pelajar dan melaksanakan strategi yang konsisten. Kaunselor sekolah pula membantu dalam aspek emosi dan sosial pelajar, terutamanya mereka yang menunjukkan masalah tingkah laku berulang.

Sementara itu, ibu bapa perlu bekerjasama dengan pihak sekolah dengan meneruskan pendekatan yang sama di rumah. Apabila pelajar menerima mesej yang konsisten daripada semua pihak, proses pembentukan tingkah laku positif akan menjadi lebih kukuh dan berkesan.

Modifikasi tingkah laku juga membantu guru melihat pelajar bukan sebagai ‘masalah’, tetapi sebagai individu yang masih boleh dibentuk. Ramai pelajar yang dianggap nakal sebenarnya mempunyai potensi besar yang belum diterokai. Dengan pendekatan yang betul, mereka boleh berubah menjadi pelajar yang berdisiplin, bertanggungjawab, dan berjaya. Contohnya, pelajar yang sering melanggar peraturan mungkin sebenarnya mencari perhatian atau pengiktirafan. Apabila mereka diberikan pujian atas usaha kecil yang positif, mereka mula berasa dihargai dan termotivasikan untuk terus berubah.

Walau bagaimanapun, penggunaan modifikasi tingkah laku perlu dilaksanakan secara beretika dan berhati-hati. Guru harus mengelakkan bentuk hukuman yang menjatuhkan maruah pelajar atau menimbulkan rasa takut. Fokus utama bukanlah untuk menghukum, tetapi untuk membimbing pelajar memahami kesan perbuatan mereka dan menggalakkan tanggungjawab kendiri. Pendekatan ini juga selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menekankan pembentukan sahsiah melalui kasih sayang, kepercayaan, dan komunikasi berkesan antara guru dan pelajar.

Secara keseluruhannya, modifikasi tingkah laku merupakan satu pendekatan yang bukan sahaja berkesan, malah sangat manusiawi dalam menangani masalah tingkah laku pelajar di Malaysia. Ia membina suasana pembelajaran yang lebih positif, mengurangkan konflik disiplin, serta membantu pelajar mengembangkan potensi diri mereka dengan cara yang sihat dan bermakna.

Apabila guru, kaunselor, dan ibu bapa bekerjasama menggunakan pendekatan ini secara konsisten, pelajar bukan sahaja berubah dari segi tingkah laku, tetapi turut berkembang sebagai individu yang lebih matang dan bertanggungjawab. Akhirnya, inilah matlamat sebenar pendidikan yang bukan sekadar melahirkan pelajar yang patuh, tetapi insan yang tahu memimpin diri sendiri dengan nilai dan integriti.

Dr. Syarifah Maisarah Syed Alwi ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya dan Ahli Klinikal Psikologi Malaysia. Beliau boleh dihubungi di symaisarah.alwi@um.edu.my