Wahana lunak warisan bangsa, kehalusan seni menerusi dialog
Ternyata dialog mampu menghidupkan sebuah karya dan penjelmaan mesej bagi menggerakkan pemikiran penonton serta dicipta dengan penuh maksud yang mendalam.

SIAPAKAH yang benar? Jebatkah yang benar atau akukah yang benar?
Itu antara petikan dialog yang paling berbekas hingga ke hari ini kepada sesiapa sahaja yang pernah menonton filem Hang Tuah lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Terdapat banyak nukilan dialog yang disulam senada dengan ketokohan yang dibawa oleh watak Hang Tuah di dalam filem berkenaan.
Deretan jalinan peribahasa, falsafah kehidupan dan kata-kata indah diadun dengan sempurna bagi menjelmakan makna yang puitis. Hal ini jelas terutama dengan keindahan lagu yang didendangkan dalam filem tersebut penuh dengan kelunakan kumpulan kata yang mempunyai makna yang mendalam.
Ternyata dialog mampu menghidupkan sebuah karya dan penjelmaan mesej bagi menggerakkan pemikiran penonton serta dicipta dengan penuh maksud yang mendalam. Kematangan olahan cerita bakal terbukti dengan dialog yang berkesan yang mampu difahami dengan jelas oleh penonton. Penerapan unsur falsafah misalnya membawakan satu peralihan kritis untuk merungkai makna yang mendalam dikalangan penonton.
Di sisi lain, dialog melalui filem dirasakan penting untuk dibicarakan apabila nilai budaya tradisi terutamanya keindahan bahasa Melayu untuk terus dihargai sebagai warisan turun temurun. Filem sebagai jambatan terbaik untuk menghubungkan bahasa budaya bangsa dengan masyarakat kini yang semakin moden di era globalisasi.
Ini kerana bahasa merupakan salah satu identiti masyarakat Malaysia yang kaya dengan unsur keindahan budaya adat Melayu. Ia seharusnya difahami, diperkukuhkan dan terus dikekalkan keutuhan terutama dikalangan generasi muda.
Keindahan bahasa dan falsafah yang terkandung menerusi dialog dapat mendidik, memberi pengalaman, menginspirasi dan menyentuh perjalanan penuh makna akar budaya. Dengan ini dapat menghidupkan warisan budaya untuk terus dihargai dan menjadikannya dekat dengan generasi muda.
Setiap drama atau filem banyak digerakkan oleh peranan dialog dalam mencitrakan sesuatu naratif penceritaan dan bertindak mengikut alur yang diinginkan oleh penulis skrip. Sejak babak awal lagi kita sudah diperkenalkan dengan gaya bahasa melalui lantunan dialog yang digunakan oleh watak menerusi skrip yang dihasilkan. Dialog bakal menjelmakan makna yang berbeza, emosi yang mendasari cerita dan taksiran yang terlazim dalam sesuatu situasi.
Setiap drama atau filem bakal mempunyai gaya dialog yang tersendiri bersesuaian dengan latar zaman yang diketengahkan, pengalaman watak dan jalinan yang senada dengan naratif yang diungkap. Dialog yang dibangunkan dalam skrip mempunyai ilustrasi tentang keadaan yang hendak dibawa kepada penonton.
Secara umumnya, skrip yang terhasil adalah idea kreatif dan sentuhan seni oleh si penulis yang memberi imaginasi kepada penonton yang mentafsir dan memahami menurut timbangannya dalam menyelami mesej yang cuba diangkat melalui drama atau filem. Oleh itu, dialog merupakan asas sandaran naratif penceritaan dalam menyampaikan idea dan bentuk pemikiran berlandaskan gaya tersendiri.
Maksudnya, tumpuan dialog adalah untuk mewarnai pemikiran penonton dan mesej yang bermakna untuk disampaikan. Justeru, adalah penting untuk memastikan keunggulan yang ada pada dialog bersesuaian dengan pemikiran penonton. Setiap gaya olahan kata-kata dan teknik lontaran suara membawa wahana tertentu.
Dalam mana-mana drama atau filem, dialog banyak mengajar tentang erti kehidupan dalam ideanya dan diungkap secara kreatif bagi memacu jalan cerita yang baik. Dialog digunakan dengan bijak untuk berkongsi keindahan kata-kata dalam menyampaikan maksud tersebut. Kesan akan bertambah nyata dengan sentuhan budaya bahasa dan falsafah yang sarat dengan nilai adat serta kesantunannya.
Berpandukan filem atau drama yang mengutarakan pengkisahan masyarakat Melayu terdahulu, dialog berfungsi sebagai medium pengucapan yang efektif untuk menyatakan sesuatu hasrat dengan gaya dan nada yang indah bersesuaian dengan nilai kesopanan masyarakat. Gambaran yang diberikan melalui dialog dapat diamati melalui kehalusan seni bicara dengan penggunaan kiasan atau perumpamaan yang menyantuni pemikiran penonton.
Kata-kata disusun rapi bersesuaian dengan latar pemikiran masyarakat zaman dahulu yang kaya dengan nilai-nilai kesopanan dan kesusilaan. Setiap ungkapan disisipkan dengan pembawaan yang tersendiri malah memerlukan kebijaksanaan untuk mentelaah maksud yang ingin disisipkan.
Seperti yang umum mengetahui masyarakat Melayu amat terkenal dengan keunikan memacu kata-kata berupa nasihat dan pesanan dengan gaya atau bentuk yang pelbagai. Antaranya seperti syair, pantun, seloka, gurindam dan pelbagai bentuk lagi yang setiap satunya mempunyai ketrampilan penyampaian tersendiri. Tidak terikat dengan tajamnya makna yang terarah malah ia dialunkan dengan gaya pengucapan yang berlagu dan irama tersendiri bersesuaian dengan maksud yang ingin dijelmakan.
Demikianlah keunikan dan ketulusan lisan masyarakat zaman dahulu yang bukan sahaja mementingkan dari sudut maksud yang terbina malah kelembutan penyampaian menjadi wadah ekspresi perasaan manusia. Melaluinya, penonton akan berfikir secara kreatif untuk mentafsir makna yang dibawa dan dicerap melalui penglihatan serta pemerhatian ketika menonton.
Tuntasnya, penghasilan skrip bukan perkara mudah apabila membicarakan tentang pembikinan filem atau drama yang berkisar masyarakat dahulu. Kematangan daya pemikiran, kearifan bahasa, penyusunan plot, kemuncak konflik dan peleraian persoalan memerlukan kepakaran dan pengalaman yang mendalam.
Dengan kata lain, seorang penulis skrip perlu menguasai asas kukuh dari sudut bahasa dalam merungkai makna, kebolehan menyusun imaginasi kreatif dan menyerap daya pemikiran serta kehidupan zaman tersebut sebagai panduan penting untuk mencipta karya yang bermutu tinggi.
Hal ini bermakna, kita perlu memikirkan langkah untuk meneruskan penghasilan karya seni filem atau drama yang mempunyai keindahan dan keunikan dialog yang mencerminkan ketinggian ilmu dan falsafah budaya kehidupan serta kehalusan pertuturan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.
Usaha untuk menghidupkan kembali keasyikan bahasa melalui penulisan skrip amat didambakan demi mempertahankan kelestarian warisan khazanah dari kian terhakis dek zaman.
Walau dengan kewujudan teknologi AI (kecerdasan buatan) yang dikatakan mampu untuk mengolah skrip yang baik namun tatkala menbicarakan tentang keindahan bahasa yang puitis, penuh makna tersirat dan tersurat yang indah, ternyata tiada aplikasi teknologi yang mampu untuk menggantikan kehalusan seni nukilan manusia.
Mungkin teknologi AI mampu untuk menyediakan skrip dengan cepat dan lengkap dengan strukturnya namun natijahnya teknologi AI tidak dapat menandingi akal manusia. Tidak mampu mengatasi keupayaan manusia untuk menghasilkan yang sempurna dari sudut rima harmoni, kehalusan idea, gaya bahasa yang menyentuh nurani dan rasa estetika serta lebih menyentuh jiwa manusia. Akal manusia adalah anugerah Allah yang terbaik.

