Tibi kembali mengancam kita

Tibi disebabkan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara.

Feature Image

IA bermula dengan batuk kecil. Mungkin dianggap batuk biasa, mungkin disangka kesan jerebu atau perubahan cuaca. Namun apabila batuk itu berlarutan berminggu-minggu, tanpa sedar seseorang mungkin sedang membawa bakteria yang mampu menjangkiti ramai.

Tuberkulosis (Tibi) kembali menjadi ancaman. Pada awal Februari 2026 sahaja, Kementerian Kesihatan merekodkan 2,571 kes Tibi dalam tempoh sebulan iaitu peningkatan hampir 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Lebih membimbangkan, 10 kluster aktif dikesan di seluruh negara. Ini bukan sekadar statistik. Ini amaran.

Penyakit lama yang tidak pernah hilang

Ramai menganggap Tibi sebagai penyakit zaman dahulu. Hakikatnya, ia masih wujud dan terus menular secara senyap. Tibi disebabkan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara. Apabila pesakit batuk, bersin atau bercakap, titisan halus yang mengandungi bakteria boleh terapung dalam ruang tertutup dan disedut orang lain.

Gejala utama penyakit ini termasuklah batuk yang melebihi dua minggu, demam yang berpanjangan, berpeluh pada waktu malam, hilangnya selera makan dan penurunan berat badan tanpa sebab jelas.

Namun bahaya sebenar Tibi ialah sifatnya yang “senyap”. Seseorang boleh dijangkiti tanpa menunjukkan tanda jelas. Apabila daya tahan badan menurun akibat usia, diabetes, kanser atau penyakit kronik lain, bakteria boleh menjadi aktif dan menjangkiti orang sekeliling.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, sekitar 10 juta kes Tibi dilaporkan setiap tahun di seluruh dunia dengan lebih sejuta kematian. Selepas pandemik COVID-19 reda, Tibi kembali menjadi pembunuh utama penyakit berjangkit global. Malaysia tidak terkecuali.

Tibi pernah menjadi pembunuh utama negara pada era 1940-an dan 1950-an. Ribuan nyawa terkorban setiap tahun sebelum Program Kawalan Tibi Kebangsaan dilancarkan pada 1961. Pemberian vaksin BCG kepada bayi dan rawatan pemantauan (DOTS) berjaya menurunkan kadar kematian secara drastik.

Namun sejak sedekad lalu, kes kembali meningkat. Urbanisasi, kepadatan penduduk, peningkatan warga emas dan pesakit diabetes serta gangguan saringan ketika pandemik COVID-19 menjadi antara faktor penyumbang. Walaupun rawatan Tibi disediakan secara percuma, penyakit ini tetap boleh menular jika dikesan lewat.

Bagaimana pula satu kes boleh menjadi kluster?. Kluster berlaku apabila dua atau lebih kes berkait dari segi lokasi, masa atau hubungan rapat. Ia biasanya bermula dengan satu kes indeks yang tidak dikesan awal.

Bayangkan seorang pelajar di asrama yang batuk berpanjangan tetapi tidak mendapatkan pemeriksaan. Dalam ruang tertutup dan kurang pengudaraan, bakteria boleh tersebar kepada rakan sebilik atau sekelas. Tanpa rawatan segera, satu kes boleh bertukar menjadi kluster.

Lebih membimbangkan, individu dengan jangkitan terpendam mungkin kelihatan sihat dan aktif dalam komuniti. Apabila penyakit menjadi aktif, rantaian jangkitan sudah pun berlaku tanpa disedari.

Jangan tunggu sehingga terlambat

Tibi boleh dicegah dan dirawat. Namun ia memerlukan tindakan awal. Jika batuk berlarutan lebih dua minggu, jangan tunggu sehingga semakin teruk. Segera ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan. Pengesanan awal bukan sahaja menyelamatkan diri sendiri, malah melindungi keluarga dan rakan sekerja.

Pastikan rumah dan tempat kerja mempunyai pengudaraan baik. Buka tingkap dan pintu supaya udara segar masuk. Cahaya matahari membantu mengurangkan bakteria dalam ruang tertutup. Amalkan etika batuk. Tutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin. Jika bergejala, pakai pelitup muka terutama di tempat awam.

Bagi pesakit yang disahkan menghidap Tibi, patuhi rawatan sepenuhnya sekurang-kurangnya enam bulan. Jangan berhenti ubat walaupun sudah berasa sihat. Rawatan tidak lengkap boleh menyebabkan kuman menjadi kebal dan lebih sukar dirawat. Golongan berisiko tinggi seperti warga emas, pesakit diabetes, HIV atau kanser perlu lebih berwaspada kerana imuniti yang lemah meningkatkan risiko jangkitan.

Malaysia menyasarkan status bebas Tibi menjelang 2035 selaras strategi global “End TB”. Namun sasaran ini hanya boleh dicapai jika masyarakat tidak memandang ringan gejala awal. Batuk berpanjangan bukan sekadar gangguan kecil.

Ia mungkin isyarat awal kepada penyakit yang boleh menular secara senyap. Tibi bukan lagi cerita lama dalam buku sejarah. Ia sedang berlaku di sekeliling kita. Jangan tunggu sehingga satu batuk menjadi wabak. Bertindak awal. Lindungi diri. Selamatkan komuniti.