KUALA LUMPUR, 15 April 2024 – Suspek lelaki yang diburu polis selepas melepaskan tembakan dengan mensasarkan isterinya di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada awal pagi semalam sudah ditahan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan, suspek iaitu Hafizul Harawi, 38, ditangkap di Kota Bahru, Kelantan.
Namun, tidak memaklumkan tepat lokasi penahanan suspek tersebut.
“Ya, saya sahkan, suspek ditangkap jam 3 petang tadi di Kota Bharu di Kelantan (Isnin).
“Satu sidang akhbar akan diadakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman atau Ketua Polis Negeri dalam masa terdekat,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Semalam, Razarudin memaklumkan foto wajah suspek itu telah diedarkan ke sempadan negara dan di negara jiran untuk menjejaki suspek yang diyakini masih berada di Malaysia.
Dalam kejadian 1.20 pagi itu, suspek telah membaling mercun mencederakan dua awam di Balai Ketibaan Terminal 1 sebelum menghampiri isterinya yang dikawal dua pengawal peribadi lalu melepaskan dua das tembakan ke arah wanita tersebut.
Salah satu das telah terkena perut pengawal peribadi isterinya sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang meninjau lokasi kejadian berkata, punca suspek bertindak demikian dipercayai kerana dendam dan agenda peribadi. – MalaysiaGazette