Tonjolkan sifat ihsan bagi memaknai kemerdekaan
Kesediaan untuk mendahulukan kepentingan negara yang lebih besar berbanding kepentingan peribadi kita.

SEBAGAI sebuah masyarakat yang merdeka kita diajak meniti kehidupan dengan sifat ihsan dan menghapuskan sikap rakus dalam diri.
Setiap hari, manusia digalakkan menjadi individu yang baik. Ini boleh ditunjukkan dengan berbuat baik kepada makhluk hidup yang lain.
Contohnya dengan membantu saudara atau rakan yang memerlukan, menjaga alam sekitar, tidak merosakkan alam, tidak memburu binatang buas dan sebagainya.
Kita kini berada dalam keadaan yang amat sesuai untuk kita usahakan suasan masyarakat yang merdeka dengan menitik beratkan pengertian ihsan. Ihsan boleh dikonsepkan sebagai konsep penerima dengan penuh kesyukuran. Ingatlah, kemerdekaan sebenar adalah dengan memerdekakan diri sendiri dari sikap kerakusan kita.
Kesediaan untuk mendahulukan kepentingan negara yang lebih besar berbanding kepentingan peribadi kita. Ini semua kita lakukan dengan penuh ihsan, dengan penuh bertanggung jawab dan keindahan dan dengan penuh rahmah.
Ihsan Meliputi Pemeliharaan Keamanan Negara dan Kesejahteraan Alam Sekitar
Memelihara keamanan negara dan kesejahteraan alam sekitar adalah antara peranan penting bagi kita sebagai manusia, khususnya kita sebagai masyarakat yang berbilang kaum. Kita juga bertindak sebagai pemegang amanah atau khalifah di bumi ini.
Sifat rakus, tamak, mementingkan diri sendiri dan mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan menjadi penyebab kemusnahan terhadap kehidupan dan masyarakat.
Sifat ihsan yang sentiasa menekankan kepentingan mengasihi, menghormati dan menghargai sesama warga nusa dan bangsa perlu terus dijulang dalam memacu pembangunan bersama-sama dalam mengisi suasana merdeka yang aman.
Dalam mengejar arus pembangunan, keharmonian dan perpaduan perlu diutamakan dan tidak dilupakan bagi membentuk kestabilan pentadbiran sesebuah negara agar makmur.
Sifat Ihsan Menyokong Keadilan Sosial
Sifat ihsan sebenarnya akan menyokong prinsip keadilan sosial. Pengendalian ekonomi dan mekanisme dalam mengatur kegiatan ekonomi sesebuah negara dapat menuju ke arah wujudnya keadilan sosial.
Keadilan sosial bernegara dapat difahami sebagai suasana di mana sesebuah negara dapat menyedia keperluan hidup asasi masyarakat melalui pencapaian beberapa faktor-faktor tertentu.
Menaikkan taraf daya fikir untuk kesemua lapisan masyarakat supaya bebas dari buta huruf dan memiliki mutu ilmu yang munasabah untuk mereka menjalankan kehidupan secara berkesan dengan keadaan perubahan masa merupakan fokus utama.
Sifat ihsan juga menyokong prinsip keadilan sosial dengan memberi kebebasan dan jaminan perundangan kepada masyarakat sesebuah negara berkaitan hak menyuarakan pandangan dalam semangat yang beradab dan bertanggungjawab semoga negara ditadbir menepati prinsip syura.
Sifat ihsan juga mendidik masyarakat untuk memberi jaminan kepada kesemua ahli masyarakat semoga mereka bebas untuk menentu atau berusaha bersama dengan pihak swasta dan kerajaan, untuk berkecimpung dalam kegiatan ekonomi di dalam dan luar negara.
Justeru, sumber harta negara khususnya harta modal perlu sentiasa mengalir dalam sistem sosio-ekonomi untuk mencetus peluang kegiatan ekonomi untuk kesemua lapisan masyarakat.
Sifat Ihsan Teras Tamadun Yang Kukuh
Dengan menghidupkan sifat ihsan sesebuah negara akan melalui usahanya membina sebuah tamadun yang utuh semoga dapat memberi keyakinan dan sikap optimis kepada masyarakat bahawa generasi masa hadapan negara akan terus mengecapi suasana yang cemerlang. Bahkan kita juga percaya kecemerlangan adalah sesuatu yang mampu dipertingkatkan dari masa ke semasa dalam suasana merdeka.
Konsep ihsan menjurus kepada dua matlamat utama. Pertama, ihsan dalam ibadah dan kedua, ihsan dalam muamalat. Perlu diingat konsep ihsan bukan sekadar memelihara hubungan baik dalam urusan keagamaan semata-mata tetapi ihsan juga amat penting merangkumi setiap perlakuan sesama manusia sama ada bersangkutan perkara duniawi mahupun ukhrawi.
Malahan, kepentingan nilai murni Ihsan ini semakin diutamakan apabila negara Malaysia sendiri telah menjadikannya sebagai rukun untuk merubah masyarakatnya menjadi komuniti yang sejahtera, berdaya saing, saling menghormati sesama insan serta bekerja dengan berkualiti tinggi.
Semoga dengan penghayatan nilai murni Ihsan ini mampu mendidik jiwa manusiawi ke arah membentuk karamah insaniyah yang disegani seantero dunia dan juga dirahmati Ilahi sepanjang zaman.
Walaupun bercakap tentang kemerdekaan tetapi kemerdekaan yang kita garapkan mestilah berpandu. Kesedaran bahawa diri sentiasa diawasi tuhan pastinya membuatkan seseorang itu menghindari perkara buruk seperti rasuah kerana perbuatan ini akan mengakibatkan kemurkaan-Nya.
Ihsan menurut ajaran Islam bukan hanya setakat menyeru seseorang untuk melaksanakan amalan baik, malah setiap amalan dan pekerjaan dituntut supaya dilaksanakan dengan cara terbaik kerana kebaikan memberikan manfaat kepada kesejahteraan dan kepentingan semua pihak lain dan akhirnya membina sebuah negara makmur.
Dengan itu, memahami konsep ihsan mendorong seseorang rakyat meningkatkan kualiti keperibadiannya menerusi peningkatan ilmu pengetahuan dan keterampilan kemahiran.
Apabila sesuatu pekerjaan direncanakan dengan niat untuk mendapat keredaan tuhan dan dilakukan dengan cara terbaik, pasti unsur rasuah dapat dihindari. Seterusnya, produktiviti pekerjaan juga mampu dicapai secara optimum.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.