Kekalkanlah jati diri berbahasa Arab fusha

Dalam bidang fonetik dan fonologi, kekeliruan fonologi berlaku adalah disebabkan pengaruh dialek sesuatu bahasa.

Feature Image

KITA biasa mendengar ramai graduan bidang bahasa Arab atau Pengajian Islam seperti Syariah, Usuluddin, Hadith, Qiraat dan lain-lain keluaran universiti-universiti dari Timur Tengah menggunakan dialek negara masing-masing. Paling ketara ialah graduan Mesir yang sering kali juga dilihat menggunakan dialek Arab Mesir apabila bertutur dalam bahasa Arab di Malaysia. Fenomena ini kelihatan tidak mendatangkan keburukan kepada masyarakat Melayu.

Namun begitu, kesan buruk akan mula dirasai apabila golongan mereka terlibat dalam pengajaran bahasa Arab secara rasmi seperti di sekolah mahupun di pusat-pusat pengajian terpilih. Bahkan lebih parah lagi, apabila pengaruh dialek ‘Ammi’ tersebut mempengaruhi sebutan bacaan dalam al-Quran. Perkara seperti ini perlu dipandang serius lebih-lebih lagi kerana mereka juga lazimnya akan menjadi guru dan tenaga pengajar di sekolah mahupun institusi pendidikan di Malaysia.

Fenomena ini bukan sahaja menarik dari sudut linguistik tetapi ia juga membangkitkan persoalan besar. Adakah pengaruh dialek ini menjejaskan usaha kita mengekalkan jati diri bahasa Arab fusha di Malaysia, khususnya dalam konteks pengajaran formal dan bacaan al-Quran?

Kekeliruan fonologi

Dalam bidang fonetik dan fonologi, kekeliruan fonologi berlaku adalah disebabkan pengaruh dialek sesuatu bahasa. Jika bahasa Inggeris dipisahkan antara bahasa Inggeris British dan Amerika, begitu juga dengan bahasa Arab di mana dialek bahasa Arab lebih banyak daripada itu. Sebagai contoh, dialek Mesir dan Maghribi juga sangat berbeza. Perbezaan ketara antara dialek terhadap sistem bunyi bahasa Arab standard bukan sahaja akan menimbulkan kekeliruan fonologi terhadap masyarakat yang tidak mempelajari bahasa Arab, bahkan juga kepada yang mempelajari bahasa Arab secara formal.

Pendengar akan mengalami kesukaran dan kekeliruan dalam menanggapi bunyi-bunyi fonem yang direalisasikan termasuklah huruf vokal. Vokal yang tergolong dalam kategori fonologi yang berbeza dalam dua dialek yang berbeza tetapi berkongsi fonetik yang sama antara satu sama lain, boleh mendatangkan kekeliruan secara persepsi (perceptual confusability).

Kedudukan bahasa Arab fusha

Bahasa Arab fusha (Modern Standard Arabic / Classical Arabic) mempunyai kedudukan istimewa yang tersendiri. Ia adalah bahasa rasmi media, akademik dan paling penting ialah bahasa al-Quran serta karya klasik. Untuk generasi pelajar yang belajar Arab sebagai bahasa kedua atau bahasa agama, penguasaan fusha bukan sekadar soal sebutan; ia soal kefahaman teks, akses ilmu dan kemampuan berdialog dengan komuniti ilmiah global.

Apabila graduan yang sepatutnya menjadi pembawa ilmu lebih cenderung menggunakan dialek dalam pengajaran rasmi, beberapa implikasi praktikal dan simbolik mula muncul dan harus diberi perhatian serius.

Dalam konteks pendidikan formal, pengajaran yang disampaikan oleh guru yang bercampur dialek sesebuah wilayah boleh menimbulkan kekeliruan kepada pelajar. Pelajar sekolah rendah atau menengah yang masih ‘merangkak’ dalam mempelajari huruf, tatabahasa asas dan makna ayat memerlukan rujukan sebutan bunyi huruf yang konsisten.

Kalau guru kerap menggunakan ungkapan atau sebutan dialek ketika menerangkan konsep fusha, murid berisiko terdedah kepada variasi bentuk Bahasa yang tidak standard, lantas mendorong kepada kesilapan berterusan ketika membaca teks rasmi, menulis esei atau menjawab soalan peperiksaan. Malah untuk kesan dalam jangka panjang, standard penguasaan bahasa Arab fusha di peringkat sekolah juga boleh terbantut yang akhirnya menyebabkan mereka hilang minat kepada bahasa Arab.

Seterusnya, dalam konteks pembacaan al-Quran pula, isu ini menjadi lebih sensitif apabila melibatkan ruang lingkup bidang Qiraat. Meskipun cara bacaan al-Quran (wajah Qiraat) mempunyai banyak riwayat dan keindahan lagu, namun sebutan huruf dan tajwid wajib menepati daerah dan cara artikulasi huruf sepertimana yang telah digariskan oleh ulama-ulama Qiraat yang muktabar.

Apabila sebutan dialek meresap ke dalam pembacaan yang melibatkan perubahan dari aspek suprasegmental seperti nada, tekanan, penggantian bunyi tertentu atau pelunakan huruf tekak, maka perubahan sebutan huruf berpotensi berlaku. Hal begini bukan sahaja menyentuh aspek estetika bacaan, bahkan juga boleh menjejaskan ketepatan lafaz yang menjadi tunjang dan asas hukum bacaan al-Quran. Justeru, pengamalan bacaan fusha dalam al-Quran mencerminkan integriti pembaca al-Quran yang menitikberatkan terhadap amanah ilmu.

Keseimbangan antara dialek dan fusha

Namun begitu, tidak dinafikan juga dialek Arab mempunyai peranan yang tersendiri dari segi budaya dan sosial. Kita dapat lihat apabila di kawasan tumpuan yang mempunyai ramai warga Arab dari pelbagai negara seperti Bukit Bintang, Seri Kembangan dan lain-lain lagi, penggunaan bahasa Arab ‘ammi’ sangat memberikan manfaat kepada pelancong asing tersebut. Mereka pasti akan berasa lebih selesa untuk berkomunikasi dengan kita disebabkan penguasaan dalam dialek ‘ammi’ kerana kebolehan bertutur dalam dialek Arab menunjukkan kita tidak asing dengan komuniti Arab itu sendiri.

Malah, dalam perbualan harian, dakwah santai atau aktiviti komuniti, penggunaan dialek boleh memudahkan hubungan emosi dan menjadikan mesej lebih akrab. Tidak salah sama sekali jika seorang penutur bahasa kedua mampu bertutur dalam dialek Mesir ketika bergaul dengan rakan-rakan atau ketika berdakwah secara santai. Sebaliknya, isu akan timbul ialah apabila percampuran itu menjadi norma dalam pengajaran rasmi dan pentafsiran teks suci.

Usaha mengekalkan jati diri berbahasa fusha

Jadi, bagaimana kita boleh mengekalkan jati diri fusha tanpa menafikan kebaikan dialek? Antara usaha yang boleh diterapkan ialah penekanan dalam latihan guru. Sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi mesti memastikan program latihan guru merangkumi modul fusha yang intensif, bukan sekadar teori tetapi latihan sebutan (artikulasi), latihan membaca al-Quran dengan tajwid serta latihan penyampaian dalam fusha. Guru yang dibentuk dengan tahap fusha yang mantap akan menjadi contoh yang konsisten bagi pelajar.

Seterusnya, kurikulum perlu jelas membezakan tujuan penggunaan fusha dan dialek. Kurikulum bahasa Arab harus menggariskan konteks penggunaan fusha serta wajib digunakan dalam kuliah, teks akademik, bacaan al-Quran, peperiksaan. Penekanan ini membantu pelajar memahami fungsi bahasa mengikut konteks dan mengelakkan kekeliruan.

Akhir sekali, pensyarah di universiti harus melaksanakan penilaian kompetensi berasaskan fusha dalam kebanyakan aspek akademik terutamanya dalam pembentangan lisan. Ini akan mendorong pelajar untuk menguasai penggunaan fusha yang betul bagi tujuan akademik dan profesional.

Kesimpulan

Graduan pengajian Islam atau bahasa Arab dari Timur Tengah perlu sedar bahawa mengutamakan fusha bukanlah menandakan penafian terhadap kegunaan dialek atau bahasa ‘ammi/ajam’ sebaliknya perlu mengetahui dan cakna tentang kesesuaian penggunaan dialek mengikut konteks yang berbeza.

Pengiktirafan terhadap ‘World Arabic’ atau kepelbagaian dialek tidak harus mengorbankan piawaian fusha yang menjadi rujukan ilmu dan agama. Justeru, mengekalkan jati diri bahasa Arab fusha di Malaysia bukan tindakan nostalgik semata-mata, bahkan langkah pragmatik demi kualiti pengajaran, ketepatan bacaan al-Quran, dan daya saing akademik.

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.