Masanya untuk memastikan keberhasilan strategi pendidikan kita
Adakah anak-anak kita betul-betul belajar apa yang mereka perlukan untuk masa depan mereka?

TAHUN akademik 2025 telah sampai kepada penutup ceritanya. Sepanjang 2025, kelas-kelas di sekolah penuh dengan pelajar, kadar keciciran dilihat semakin menurun dan para guru tanpa mengenal penat, bertungkus lumus untuk menstabilkan sesi pembelajaran selepas zaman pandemik. Di sebalik dewan peperiksaan SPM yang sibuk dan sambutan hujung tahun kelas yang meriah, sebenarnya ada satu pokok perbincangan yang terselindung, iaitu adakah anak-anak kita betul-betul belajar apa yang mereka perlukan untuk masa depan mereka?
Secara umum, cerita pendidikan di peringkat sekolah di Malaysia memberangsangkan, memberi banyak harapan dan inspirasi. Pada tahun 2023, Kementerian Pendidikan memaklumkan pendaftaran pelajar di peringkat sekolah rendah mencapai 99.11 peratus manakala bagi peringkat sekolah menengah, jumlahnya meningkat kepada 93.65 peratus. Ia dapat disimpulkan bahawa capaian kepada pendidikan di sekolah meliputi hampir semua kelompok daripada tahun satu sehingga ke tingkatan lima.
Seterusnya, pada tahun 2024, kadar keciciran pendidikan menurun, 0.06 peratus yang berhenti belajar di peringkat sekolah rendah, manakala 0.64 peratus di peringkat sekolah menengah. Yang lebih menggembirakan, lebih banyak sekolah peringkat rendah sehingga menengah rendah dirancang untuk didirikan bagi memastikan anak-anak di kawasan pedalaman dan masyarakat Orang Asli dapat turut serta dalam pentas pendidikan di negara kita.
Walau bagaimanapun, dari segi kualiti pendidikan, ia mencetuskan kebimbangan dan wajar ditangani secepat dan sebaik mungkin. Merujuk kepada Program Penilaian Pelajar Antarabangsa 2022 (Programme for International Student Assessment (PISA)), pelajar-pelajar yang berumur 15 tahun di Malaysia mencatatkan skor lebih bawah daripada purata OECD dalam matematik, membaca dan sains (Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD)). Keputusan ini menurun berbanding dengan keputusan PISA pada tahun 2018. Para pakar menganggarkan penurunan skor ketiga-tiga skop ini bersamaan dengan kehilangan pembelajaran lebih daripada satu tahun.
Dalam pada itu, pentaksiran terbaru seperti TIMSS 2023 (Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS)) menunjukkan jurang yang berterusan antara pelajar yang berasal daripada keluarga kaya dan pelajar yang kurang bernasib baik di mana golongan yang kedua mencapai skor yang lebih rendah dalam matematik dan sains. Rupanya, kebimbangan ini bukan hanya muncul di Malaysia, malah ia turut dibimbangi di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah.
Bank Dunia dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memaklumkan Kemiskinan Pembelajaran, iaitu anak-anak yang tidak mampu membaca dan memahami teks ringkas pada usia 10 tahun, telah terjadi kepada tujuh daripada 10 anak di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah. Selain itu, UNESCO mendesak supaya sistem pendidikan difikir semula sekiranya kita mahu mengubah masa depan anak-anak, bukan hanya terus menerus mengekalkan kaedah pembelajaran semasa.
Di Malaysia, misi pendidikan 2025 menuju kepada hala tuju yang sama. Di bawah tema ‘Sekolah Madani’, Kementerian Pendidikan menekankan pendekatan persekolahan yang holistik, berasaskan nilai dan bersifat inklusif di mana karakter, kesejahteraan dan kesamarataan dijunjung. Seperti yang sentiasa dicanang di media, iaitu tiada anak yang terpinggir dalam pendidikan dan bagi merealisasikan impian itu, pedagogi terbeza digunakan untuk memenuhi keperluan setiap anak.
Antara usaha yang telah dilakukan ialah pelaksanaan Sekolah Terapung di Tasik Banding, Gerik, Perak yang merupakan inisiatif pembelajaran di atas bot bagi membawa pendidikan terus ke komuniti Orang Asli. Melalui inisiatif ini, pengajaran disesuaikan mengikut umur dan kemampuan anak-anak dan melibatkan aktiviti didik hibur.
Di samping itu, Malaysia sentiasa dengan komitmen yang sama tetapi membina, iaitu membangunkan tenaga pengajar profesional. Hampir sembilan daripada 10 guru sekolah rendah dikategorikan sebagai terlatih dan statistik ini meletakkan Malaysia pada kedudukan atas daripada purata global.
Namun demikian, penyelidikan masih menunjukkan bahawa ramai guru menghadapi kesusahan apabila pengajaran itu bersandarkan motif peperiksaan semata-mata. Ternyata, pembelajaran aktif yang memupuk pemahaman yang mendalam, kreativiti dan pemikiran aras tinggi di kalangan pelajar lebih digemari untuk dilaksanakan dalam persekitaran bilik darjah.
Pelan Tindakan Pendidikan 2013-2025 telah berada dalam fasa akhir. Oleh itu, tahun 2026 bukan hanya berfokus kepada lakaran polisi baharu tetapi tahun untuk melaksanakan tiga misi di bawah:
Pertama, kita perlu kembalikan fokus kita semula kepada asas kemahiran literasi dan numerasi di seluruh negara. Ini bermaksud kita perlu menyediakan sokongan kepada murid-murid yang masih belum boleh membaca apabila berada di hujung darjah dua, terutamanya anak-anak yang berada di kawasan luar bandar dan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.
Antara sokongannya adalah lakukan pengesanan tahap membaca lebih awal, letakkan anak-anak ini dalam kumpulan kecil untuk menyokong pembelajaran dan juga lakukan aktiviti pembelajaran yang banyak. Kini, pemulihan pembelajaran melebihi misi lisan, iaitu wajib dimasukkan dalam jadual waktu mahupun takwim setiap sekolah.
Seterusnya, pertimbangan profesional seorang guru perlu dititik beratkan. Program pembangunan profesional yang berterusan seharusnya mengutamakan pentaksiran bersifat formatif, pengajaran terbeza dan kemahiran merentas kurikulum seperti penyelesaian masalah dan komunikasi, berbanding menyediakan sistem atau peralatan baru mahupun silibus baharu. Apabila para guru dianggap sebagai profesional, maka para pelajar mudah mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna dan mendalam, lebih daripada aktiviti latih tubi yang biasa dilakukan.
Yang ketiga, kita seharusnya menjadikan sekolah sebagai lokasi komuniti yang penyayang, bukan sekadar tempat untuk hadir bagi memenuhi keperluan peperiksaan mahupun pendapatan. Di peringkat global, banyak bukti mengaitkan kehadiran ke sekolah, kesihatan mental dan kemahiran sosial emosi dengan pencapaian akademik manakala di negara kita, fokusnya sekarang tertumpu kepada pendidikan karakter dan ianya bertepatan dengan aliran dan isu semasa persekolahan.
Walau bagaimanapun, usaha ini perlu dilaksanakan pada setiap masa dan tempat, di dalam bilik darjah, menerusi aktiviti kokurikulum dan hubungan antara guru dengan pelajar dan ibu bapa.
Penutup tahun 2025 bukan sekadar penghujung satu tahun akademik. Ia juga mengingatkan kita bahawa ada tugas berat yang menanti iaitu memastikan setiap jam yang dihabiskan di sekolah dipenuhi dengan pembelajaran yang bermakna dan perkembangan insaniah pelajar. Jika perancangan 2013-2025 adalah untuk menaik taraf sistem pendidikan, maka 2026 ialah tahun peralihan untuk memastikan kualiti keseluruhan pendidikan dapat dicapai, lebih daripada mengejar kelajuan pendidikan.
Lebih banyak sokongan diberikan kepada para guru dan lebih tumpuan diberikan kepada apa yang berlaku kepada guru, pelajar dan pembelajaran itu sendiri. Dengan itu, kita dapat melahirkan anak-anak muda Malaysia yang seimbang, berketerampilan dan berdaya tahan tinggi.

