Memperbaiki perkhidmatan awam, tolak rasuah

Gejala rasuah paling kritikal dan memberikan kesan paling parah dalam ekosistem perkhidmatan awam.

Feature Image (2)

SERING kali bergema dalam wacana awam negara tentang memerangi rasuah dan meningkatkan integriti masyarakat. Namun, perlu difahami bahawa perjuangan ini memerlukan fokus yang lebih mendalam, khususnya pada barisan hadapan tadbir urus negara, iaitu Perkhidmatan Awam Malaysia.

Meskipun seruan ini ditujukan kepada masyarakat umum, hakikatnya gejala rasuah paling kritikal dan memberikan kesan paling parah dalam ekosistem perkhidmatan awam. Mengapa? Kerana perkhidmatan awam sering dilihat sebagai ‘lubuk peluang’ yang menjadi pusat di mana keputusan penting dibuat, lesen diluluskan, projek diagihkan dan perkhidmatan diberikan.

Setiap peluang ini menjadi rebutan pelbagai pihak yang mahu mengambil kesempatan, ada yang menggunakan taktik tidak beretika, termasuklah rasuah. Fenomena ini tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi dalam sebuah institusi yang sepatutnya menjadi tunjang kedaulatan negara.

Timbul persoalan, mengapa masih ada amalan rasuah sedangkan kerajaan telah melakukan pelbagai usaha meningkatkan kesejahteraan penjawat awam? Pertama, peralihan dari Skim Saraan Malaysia (SSM) kepada Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada tahun 2025 membawa kenaikan gaji sehingga 15 peratus.

Penambahan pendapatan ini sepatutnya menjadi peluang untuk penjawat awam meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga secara berhemah. Ukurlah baju di badan sendiri. Kedua, pelbagai faedah, insentif dan inisiatif kesejahteraan sentiasa ditambahbaik untuk memastikan persekitaran kerja yang selesa dan kondusif.

Ketiga, usaha berterusan kerajaan meringankan beban rakyat, seperti penyelarasan harga minyak sepatutnya membantu mengurangkan tekanan perbelanjaan harian. Prinsipnya mudah, berjimatlah jika ingin berbelanja besar. Dengan kata lain, alasan kesempitan hidup semakin kurang kukuh untuk dijadikan justifikasi mengambil rasuah.

Perkhidmatan awam adalah sektor yang mulia. Ia menjadi tulang belakang yang menyokong pentadbiran Kerajaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dan membangun di mata antarabangsa juga banyak bergantung kepada kecekapan dan integriti institusi awamnya.

Memelihara imej ini adalah satu kewajipan kolektif. Meruntuhkan reputasi yang dibina puluhan tahun adalah mudah tetapi membina dan memulihkannya semula adalah satu proses yang sukar dan memakan masa.

Pada dasarnya, rasuah adalah penyakit yang berpunca daripada sifat tamak. Seorang penjawat awam perlu mempunyai sifat reda dan kesedaran tentang misi perkhidmatannya. Jika impiannya adalah gaya hidup mewah yang melampau, mungkin industri swasta atau bidang keusahawanan adalah kerjaya yang lebih sesuai. Tiada jalan pintas menuju kejayaan yang murni dan berkat. Jalan integriti mungkin kelihatan lebih mencabar tetapi ia membawa ketenangan dan kemuliaan yang berkekalan.

Tidak dapat dinafikan, tekanan persekitaran atau ‘sub-budaya’ organisasi juga menjadi faktor. Alasan seperti, ‘Semua orang di pejabat saya melakukannya, saya terpaksa ikut’ sering dijadikan tamparan. Di sinilah kekuatan prinsip dan keteguhan diri diuji.

Islam, sebagai agama Persekutuan, mengajar kita cara menghadapi kemungkaran untuk cegah dengan tangan (kuasa/tindakan), jika tidak mampu, cegahlah dengan lisan (teguran/nasihat) dan jika masih tidak mampu, cegahlah dengan hati (benci kepada kemungkaran), kerana itu adalah selemah-lemah iman (Hadis Riwayat Muslim). Prinsip ini selari dengan ajaran semua agama. Tiada satu pun agama di dunia yang membenarkan rasuah. Lantas, mengapa ikrar ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ yang sering dilaungkan dalam perhimpunan rasmi mudah dilupakan dan diabai? Sudah tiba masanya untuk bermuhasabah dan menghayati kembali intipati ikrar suci tersebut.

Membangunkan ekosistem berintegriti dalam perkhidmatan awam bukan sekadar soal gaji dan ganjaran. Ia adalah soal pembinaan nilai dan ketahanan moral. Ia memerlukan komitmen daripada setiap individu untuk memilih kebenaran, walaupun pilihan itu pahit. Memang mudah bagi mereka yang belum diuji untuk berkata ‘tidak’ kepada rasuah.

Namun, bagi yang pernah berdepan dengan godaan halus atau tekanan langsung, menolaknya memerlukan kekuatan dalaman yang luar biasa. Kekuatan ini hanya dapat dibina dengan pegangan nilai yang kukuh, disokong oleh amalan kerohanian yang mendalam serta sokongan rakan sejawat dan kepimpinan yang telus dan berakauntabiliti.

Marilah kita bersama-sama berdoa dan berusaha agar setiap warga perkhidmatan awam dikurniakan kekuatan untuk menolak rasuah. Setiap penolakan, walau kecil, adalah satu kemenangan bagi negara. Setiap keputusan yang berintegriti adalah satu batu bata untuk membina kembali kepercayaan rakyat.

Lindungilah perkhidmatan awam sebagai medan amal jariah, sebagai sumbangan suci kepada negara. Pilihlah jalan kebenaran, kerana kebenaran itu tidak pernah menipu. Ia mungkin tidak selalu menjanjikan kemewahan segera tetapi pasti membawa ketenangan dan kemuliaan yang hakiki, di dunia dan di akhirat.

Negara yang kita cintai ini memerlukan perkhidmatan awam yang bersih, untuk memastikan kemakmurannya dinikmati oleh semua rakyat secara adil dan saksama.