Pentingnya kesihatan selepas bersara

Persaraan adalah satu fasa perubahan besar dalam hidup yang mempunyai kesan yang sangat kuat terhadap diri seseorang.

Feature Image (3)

PERSARAAN sering kali dibayangkan sebagai waktu keemasan untuk berehat sepenuhnya setelah berpuluh tahun membanting tulang dalam dunia kerjaya.

Sebenarnya, persaraan adalah satu fasa perubahan besar dalam hidup yang mempunyai kesan yang sangat kuat terhadap diri seseorang (Giacomo Pietro Vigezzi, et al. 2025).

Walau bagaimanapun, ramai yang terlepas pandang bahawa fasa ini sebenarnya menuntut perhatian yang lebih serius terhadap penjagaan kesihatan berbanding sebelumnya.

Tanpa rutin kerja yang tetap, seseorang individu cenderung untuk terjebak dalam gaya hidup sedentari, yang mana ia boleh menjadi ancaman tersembunyi terhadap kesejahteraan diri dalam jangka masa panjang.

Bagi memastikan usia emas dilalui dengan bertenaga, langkah utama yang perlu diambil adalah mengekalkan aktiviti fizikal secara konsisten. Apabila seseorang berhenti kerja, tahap pergerakan harian biasanya akan menurun secara drastik.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa penglibatan dalam aktiviti fizikal mula merosot selepas bersara (Kauppi et al., 2021). Oleh itu, amat penting untuk membina rutin senaman yang sesuai dengan kemampuan tubuh seperti senaman intensiti rendah termasuk berjalan kaki di taman, berenang atau melakukan tai chi.

Aktiviti sebegini bukan sahaja baik kesihatan jantung, malah membantu kelenturan sendi dan mengekalkan jisim otot bagi mengelakkan risiko jatuh atau kecederaan yang sering berlaku kepada warga emas.

Selain aspek fizikal, pengurusan pemakanan yang seimbang dan terancang juga menjadi tunjang utama memandangkan kadar metabolisme badan akan menurun seiring dengan peningkatan usia. Sepatutnya pengurusan pemakanan yang betul perlu dilakukan sejak di awal usia bukannya di usia tua (Oydis Ueland, Ida Synnove Grini, Ine Schillinger & Paula Varela, 2022).

Para pesara dinasihatkan untuk mula mengurangkan pengambilan gula dan garam bagi mengawal tekanan darah serta tahap glukosa. Sebaliknya, lebihkan pengambilan serat dan protein yang berkualiti untuk menyokong sistem penghadaman dan pemulihan tisu badan termasuk otot. Di samping itu, pengambilan air kosong yang mencukupi setiap hari adalah wajib bagi memastikan hidrasi badan sentiasa berada pada tahap yang optimum.

Akhir sekali, penjagaan kesihatan yang menyeluruh haruslah dilengkapi dengan pemeriksaan kesihatan berkala dan hubungan sosial yang mampan. Pencegahan adalah kunci utama; maka pemeriksaan tekanan darah, kolesterol dan tahap gula perlu dilakukan secara konsisten melalui rundingan pakar.

Pada masa yang sama, sokongan sosial daripada keluarga dan komuniti memainkan peranan besar dalam menjaga kesihatan emosi. Meluangkan masa berkualiti bersama anak cucu serta aktif dalam aktiviti kemasyarakatan akan memberikan rasa kepunyaan yang tinggi, menjadikan hari-hari persaraan lebih bermakna.

Kesimpulannya, persaraan bukanlah sebuah penutup kepada kehidupan yang aktif tetapi merupakan permulaan kepada masa yang lebih tenang dan berkualiti. Dengan mengamalkan gaya hidup yang holistik, anda bukan sahaja mampu memanjangkan usia, malah berupaya menikmati hasil titik peluh selama bertahun-tahun dengan tubuh badan yang sihat dan jiwa yang tenteram.