Bendera keramat bomba berkibar di puncak Gunung Kilimanjaro

Mohd Fakhrul Munir berjaya menawan gunung tertinggi di benua Afrika itu bersama dua lagi rakan pendaki pada pukul 9.45 pagi waktu tempatan 14 Februari 2025.

Poster Terkini (10)

Mohd Fakhrul Munir mengibarkan bendera bomba di puncak Gunung Kilimanjaro, Tanzania yang berketinggian 5,895 meter dari aras laut.

KUALA LUMPUR, 16 Februari 2024 – “Tahniah PBK II Fakhrul Munir @ Loe, kibarkan bendera keramat jabatan di puncak Kilimanjaro. Tumpang bangga.”

Itu hantaran ringkas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad di Facebooknya di atas kejayaan seorang anggota mengibarkan bendera bomba di puncak Gunung Kilimanjaro, Tanzania yang berketinggian 5,895 meter dari aras laut.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berjaya menawan Gunung Kilimanjaro bersama dua lagi rakan pendaki pada pukul 9.45 pagi waktu tempatan 14 Februari 2025.

Bagaimanapun, dua lagi pendaki tidak dapat meneruskan pendakian ke puncak kerana menghadapi masalah kesihatan.

Mohd Fakhrul Munir bergambar bersama dua lagi rakan pendaki yang sampai ke puncak.

“Alhamdulillah. Latihan pendakian ke Everest di Gunung Kilimanjaro berjaya didaki. Bendera bomba berkibar di puncak gunung tertinggi di benua Afrika,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Mohd Fakhrul Munir yang dalam misi menawan puncak gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest kini melancarkan Projek Pendakian Amal Bomba de Everest “Mencari Hati Emas” 2025.

Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) yang bertugas di Pangkalan Udara Wilayah Tengah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Subang Jaya itu berkata projek pendakian amal berkenaan bukannya sekadar untuk mencapai impian peribadi tetapi ia lebih kepada membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Projek berkenaan merupakan ilham dan atas kerelaan beliau sendiri rentetan daripada projek kayuhan solo berbasikal sejauh 2,400 kilometer serta melawat 105 balai bomba dan penyelamat di Semenanjung pada tahun 2020.

Bendera Kelab Kembara Kosmopolitan dan SAR turut berkibar di puncak.

Projek yang telah mendapat sokongan penuh dan persetujuan daripada pengurusan tertinggi JBPM itu bertujuan membantu mereka yang tersedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas atau yang masih dalam tempoh perkhidmatan.

Beliau yang mengambil cuti tanpa gaji sudah menggerakkan jualan amal alat pemadam api (keluaran khas) satu kilogram berserta barangan kombo (baju-T eksklusif dan topi tahan lasak) bagi mengumpul dana bersama jawatankuasa khas dan sukarelawan.

Alat pemadam api ini boleh dibeli dengan harga RM139 seunit manakala baju-T eksklusif (RM59) dan topi (RM39) atau pembelian secara kombo untuk ketiga-tiga item tersebut pada harga RM199.

Projek anjuran bersama Kelab Kembara Kosmopolitan, Gedung Penawar Sdn. Bhd., dan Kumpulan AL Baghdadi Group Sdn, Bhd., ini bertujuan menambah dana untuk Tabung Kebajikan Anggota Bomba.

Mohd Fakhrul Munir yang dalam misi menawan puncak gunung tertinggi di dunia, Gunung Everest.