Olahraga pupuk semangat juang warga SMK Kota Masai
Kejohanan olahraga ini menjadi medan buat para pelajar menonjolkan kebolehan dalam pelbagai acara sukan.
PASUKAN Kadet Bersatu Malaysia sedang membawa bendera kejohanan.
Oleh: ROZAK HADI
KUALA LUMPUR, 16 Februari 2026 – Kejohanan Sukan Tahunan kali ke-22 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai sekali lagi membuktikan peranannya sebagai platform penting dalam mencungkil bakat atlet muda serta memupuk nilai integriti, kerjasama dan semangat kesukanan dalam kalangan warga sekolah.
Kejohanan yang berlangsung meriah itu menjadi medan buat para pelajar menonjolkan kebolehan dalam pelbagai acara sukan, selain mempersembahkan kreativiti melalui perbarisan dan sorakan rumah sukan. Suasana penuh semangat dan persaingan sihat jelas dirasai sepanjang program berlangsung.
Pengetua SMK Kota Masai, Subramaniyan Dorasamy berkata kejohanan olahraga merupakan acara tahunan yang penting bagi mengenal pasti potensi serta bakat murid.
“Program ini bukan sahaja melahirkan atlet berkualiti, malah menggalakkan budaya persaingan sihat dan kesungguhan dalam kalangan warga sekolah untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Tiram, Aminah Sahak turut memuji semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh para peserta, khususnya kontinjen perbarisan, badan beruniform dan atlet sekolah.
“Kita berharap atlet SMK Kota Masai mampu melangkah lebih jauh hingga mewakili negeri dan negara pada masa hadapan,” ujarnya ketika merasmikan kejohanan yang berlangsung pada 11 Februari 2026.
Penolong Kanan Kokurikulum, Yatiman Kamsidin pula berkata kejohanan kali ini melibatkan lebih 500 peserta daripada enam rumah sukan, sembilan kontinjen badan beruniform serta enam pasukan sorak.
“Acara yang dipertandingkan merangkumi olahraga balapan dan padang, perbarisan, kawad kaki, pertandingan sorak serta sukan pendidikan khas,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan, sekali gus membantu membentuk murid yang berdisiplin, berdaya kepimpinan dan berkeyakinan tinggi.

Dalam kejohanan tersebut, Rumah Sukan Indigo muncul juara keseluruhan dengan kutipan 1,750 mata hasil 13 pingat emas, 22 perak dan 12 gangsa, selain memenangi anugerah pasukan sorak terbaik.
Anugerah Olahragawan dan Olahragawati disandang oleh Johan Jezzerie Jamil dan Sayvetaarshini Kalyanasundram. Manakala Olahragawan dan Olahragawati Harapan pula diberikan kepada Muhammad Umul Aiman Mohd Halim dan Alya Zahirah Zulkarnain.
Pemegang pingat emas lompat jauh MSSM Pendidikan Khas 2025 dan World Sport Education Open 2026, Haikal Mohd Khir dipilih sebagai pembaca ikrar kejohanan.
Anugerah peserta terbaik turut diberikan mengikut kategori umur kepada atlet yang mencatat pencapaian cemerlang dan memecahkan rekod kejohanan.
Dalam acara lain, Kontinjen Rumah Sukan Kuning menjuarai Perbarisan Lintas Hormat dan Maskot Terbaik, manakala Kontinjen St John Ambulance muncul juara acara kawad kaki badan beruniform.

Barisan guru SMK Kota Masai turut memeriahkan kejohanan melalui acara khas 6×30 meter, sebagai simbol kebersamaan dan sokongan terhadap budaya sukan yang sihat.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertua PIBG, Mohd Gahis Ahmad, ahli jawatankuasa PIBG, ibu bapa, komuniti setempat serta para pelajar.
Pihak sekolah menegaskan komitmen untuk terus memperkasa budaya kecemerlangan melalui pembangunan pendidikan yang holistik, tadbir urus berintegriti serta kerjasama strategik demi memastikan kemenjadian pelajar yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah.
