Perlukah pesakit kanser berpuasa pada bulan Ramadan?

Dr Matin Mellor menekankan pendekatan pragmatik yang menyeimbangkan antara aspek praktikal, keselamatan dan kerohanian.

Feature Image (2)

WALAUPUN ada rukhsah atau kelonggaran hukum syarak yang mengecualikan mereka yang sakit atau sedang menerima rawatan bagi penyakit serius daripada berpuasa, namun keimanan yang teguh mendorong ramai pesakit untuk menunaikan ibadat ini.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal di OncoCare Malaysia, Dr Matin Mellor Abdullah memberikan pencerahan sama ada ia wajar dilakukan.

Bulan Ramadan sememangnya cukup istimewa. Bulan yang khusus untuk melaksanakan rukun Islam keempat ini boleh dikatakan bulan ‘pesta ibadat’ kerana umat Islam di seluruh dunia berlumba menggandakan amalan bagi menyempurnakan puasa mereka.

Ia juga waktu terbaik untuk melatih disiplin diri dan dan melakukan pembersihan rohani. Meskipun semua Muslim yang mukallaf (baligh dan berakal) diwajibkan berpuasa daripada terbit fajar hingga matahari terbenam, namun pengecualian diberikan kepada beberapa golongan, termasuk mereka yang sakit, sedang menerima rawatan atau dalam proses pemulihan daripada penyakit serius, kecederaan atau pembedahan.

Bagaimanapun, keinginan yang kuat untuk bersama-sama dalam perjalanan rohani ini menyebabkan ramai pesakit kanser masih mahu berpuasa. Persoalannya, patutkah mereka berbuat demikian?

Dr Matin Mellor menekankan pendekatan pragmatik yang menyeimbangkan antara aspek praktikal, keselamatan dan kerohanian.

“Ramai pesakit yang saya temui menyatakan hasrat mereka untuk berpuasa. Saya boleh memberi nasihat dari sudut perubatan tetapi oleh kerana setakat ini tiada garis panduan rasmi mengenainya, jadi saya sarankan mereka berbincang dengan ustaz untuk mendapat kepastian dan ketenangan hati tentang pelaksanaan ibadat ini,” katanya.

Apabila membabitkan soal kesihatan, pesakit kanser perlu mempertimbangkan perkara berikut sekiranya mereka ingin berpuasa pada bulan Ramadan ini.

1. Setiap pesakit kanser berada pada tahap berbeza dalam perjalanan rawatan mereka.

“Bagi pesakit yang telah menjalani rawatan atau berada dalam fasa penyelenggaraan, sepatutnya tiada halangan untuk berpuasa. Bagaimanapun, mereka yang sedang menjalani pemeriksaan mungkin menghadapi kesukaran kerana ada banyak ujian yang diperlukan. Bagi pesakit yang sedang menerima terapi pula mungkin perlu membuat penyesuaian terhadap jadual pengambilan ubat mereka,” jelas Dr Matin Mellor.

Selain itu, Dr Matin Mellor juga memberitahu, mereka yang menerima rawatan kuratif boleh meninggalkan puasa dan mematuhi jadual rawatan yang dirancang bagi memaksimumkan peluang untuk sembuh, manakala pesakit yang menerima rawatan paliatif pula boleh menangguhkan rawatan selepas Ramadan.

Namun beliau berkata, penilaian ini mestilah dibuat mengikut kes, dengan mengambil kira keadaan kesihatan dan kesejahteraan setiap pesakit.

2. Terdapat pelbagai jenis rawatan, dan tindak balas setiap pesakit terhadap rawatan juga berbeza.

Pesakit kanser mungkin menjalani radioterapi, kemoterapi atau terapi bersasaran dan setiap pesakit mengalami kesan sampingan yang berbeza. Sesetengah pesakit mengalami kesan yang lebih teruk berbanding orang lain.

Sebagai contoh, “Kemoterapi kekal sebagai asas utama dalam rawatan kanser dan memang biasa untuk pesakit berasa tidak sihat selama beberapa hari, bahkan sehingga seminggu selepas rawatan. Kesan sampingan ini termasuklah hilang selera makan, berasa lemah, mendapat ulser dalam mulut dan mengalami ketidakselesaan gastrousus seperti cirit-birit atau gastritis.

“Kadangkala, kesan sampingan ini begitu teruk sehingga memerlukan ubat untuk mengawal loya atau cirit-birit. Faktor-faktor inilah yang membezakan daya toleransi setiap pesakit terhadap rawatan dan kemampuan mereka untuk berpuasa,” katanya.

3. Jadual rawatan boleh diubah suai, di bawah pemantauan perubatan.

“Sekiranya anda ingin berpuasa semasa menjalani rawatan, pastikan anda berbincang terlebih dahulu dengan doktor supaya kami boleh membantu anda menyesuaikan jadual pengambilan ubat dan menangani sebarang kebimbangan yang mungkin timbul,” katanya.

Beliau menambah, pilihan rawatan juga berbeza mengikut jenis kanser, lokasi dan tahapnya.

a. Ubat oral. Ini termasuklah kemoterapi oral dan ubat-ubatan untuk mengawal loya dan rasa sakit, yang biasanya perlu dimakan dua kali sehari dan pengambilannya boleh diubah ke waktu sahur dan iftar.

b. Terapi hormon. Lazimnya ia diambil sekali sehari dan pesakit yang sudah biasa dengan kesan sampingannya boleh menyesuaikan waktu pengambilannya supaya ubat loya boleh dimakan apabila perlu. Bagi pesakit yang telah menjalani beberapa kitaran rawatan, pengalaman dan kefahaman terhadap kesan sampingan dapat membantu mereka merancang puasa dengan lebih baik.

c. Prosedur radioterapi dan perubatan nuklear. Ia diberikan di hospital dan boleh dijadualkan mengikut kesesuaian, berdasarkan kekosongan slot dan atas nasihat doktor.

4. Utamakan kesejahteraan anda.

“Ramai pesakit berusaha untuk berpuasa demi menunaikan ibadat, namun berasa kecewa apabila tidak dapat menyempurnakannya. Nasihat saya, tangguhkanlah dahulu hasrat untuk berpuasa jika mereka masih dalam proses penyembuhan daripada pembedahan atau yang kekurangan nutrien kerana badan tidak dapat bertahan jika berpuasa dalam keadaan demikian,” kata Dr Mellor.

Bagi yang berpuasa, beliau menasihatkan pesakit untuk memastikan badan terhidrat (dengan minum air secukupnya) dan makan sajian seimbang yang mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran serta protein supaya mereka mendapat nutrisi yang diperlukan.

“Ia sebenarnya adalah pilihan peribadi dan saya sentiasa mengingatkan semua pesakit saya bahawa penting untuk mengetahui batas kemampuan diri kerana tiada ubat untuk keletihan dan kadang kala, badan anda cuma perlukan rehat dan menjalani proses pemulihan.

“Oleh itu, renungkan keputusan anda, berbincang dengan doktor, dengar isyarat tubuh anda dan ambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.