Kerajaan berpotensi rugi RM1.3b akibat sekatan iklan dan pembungkusan vape

KUALA LUMPUR, 16 Mei 2024 – Kerajaan berpotensi kehilangan penjimatan sebanyak RM1.3 bilion dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan bagi merawat penyakit berkaitan rokok menjelang tahun 2025 jika Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 memperkenalkan peraturan punitif ke atas industri vape seperti mengharamkan paparan produk vape dan syarat pembungkusan standard.

Penemuan ini dizahirkan oleh Pusat Penyelidikan dan Maklumat Datametrics Sdn Bhd (DARE) berdasarkan laporan “Clearing the Smoke: Tobacco Harm Reduction” yang dihasilkan oleh badan pemikir tersebut pada tahun 2022.

Bagi merealisasikan penjimatan ini, DARE mengesyorkan pelaksanaan peraturan yang wajar dan berkadar risiko untuk vape dengan strategi pengurangan kemudaratan sebagai teras.

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata: “Penemuan kami jelas menunjukkan bahawa Malaysia akan dapat meraih hasil yang ketara daripada menerima strategi pengurangan kemudaratan yang akan mengurangkan populasi merokok di Malaysia kepada 4 juta menjelang tahun 2025 berbanding peraturan menghukum produk vape.

“Tindakan drastik sedemikian akan menghantar mesej yang salah mengenai produk yang kurang memudaratkan dan akan menghalang perokok untuk beralih kepada produk yang kurang memudaratkan, yang seterusnya menyebabkan kerajaan tidak dapat memperoleh potensi penjimatan daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan untuk merawat penyakit berkaitan rokok.”

Pada Mac 2024, Timbalan Menteri Kesihatan dilaporkan memberitahu bahawa Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan pelbagai langkah ke atas produk vape termasuk pembungkusan standard pada produk vape dan kawalan terhadap perisa.

Pemain industri tempatan juga telah mendedahkan, berikutan langkah-langkah ini, Kementerian Kesihatan telah bertemu mereka untuk membincangkan hasrat untuk turut mengharamkan paparan produk vape secara runcit dan menyeragamkan bentuk untuk semua produk vape.

“Melalui strategi pengurangan kemudaratan, Malaysia mempunyai peluang untuk mengurangkan populasi perokok dan seterusnya mengurangkan bilangan penyakit berkaitan merokok.

“Adalah penting bagi kerajaan Malaysia untuk mempertimbangkan model yang terbukti secara global di mana pendekatan pengurangan kemudaratan telah berkesan dalam mengurangkan kelaziman merokok.

“Kami menggesa kerajaan untuk meneroka model pengurangan kemudaratan dari negara seperti United Kingdom dan Sweden, di mana pengurangan kemudaratan adalah sebahagian daripada strategi mereka dalam mengurangkan kelaziman merokok.

“Mencontohi pendekatan ini boleh membawa kepada hasil kesihatan awam yang positif dan menyumbang kepada mengurangkan beban penyakit berkaitan tembakau di Malaysia,” tambah beliau.

Pankaj juga memberitahu bahawa kumpulan pemikir global, We Are Innovation, baru-baru ini telah mengeluarkan laporan 2024 Effective Anti-Smoking Policies Global Index yang sangat komprehensif.
Laporan itu menyatakan bahawa tiga negara maju yang mempunyai polisi anti-rokok paling efektif ialah United Kingdom, Sweden dan Slovakia, di mana strategi pengurangan kemudaratan diterima dan dilaksanakan.

“Laporan itu mendapati bahawa negara-negara yang berjaya dalam mengurangkan kelaziman merokok telah menyepadukan pendekatan pengurangan kemudaratan tembakau untuk membolehkan perokok mempunyai akses kepada alternatif dan produk nikotin yang kurang memudaratkan di samping langkah-langkah tradisional lain, manakala negara-negara di ranking lebih rendah cenderung mengamalkan pendirian yang lebih ketat, menumpukan perhatian penuh pada larangan.

“Malaysia berada di kedudukan ke-49 dalam senarai itu dan ini menunjukkan masih ada ruang untuk penambahbaikan untuk negara. Jika Malaysia mahu mencapai aspirasi bebas asap rokok, adalah penting untuk melihat ke dalam menerima pendekatan pengurangan kemudaratan yang telah terbukti berjaya di negara lain,” katanya.