Penceritaan digital dalam bilik darjah masa kini
Penceritaan digital boleh didefinisikan sebagai satu kaedah hasil gabungan teknik penceritaan dan aplikasi digital seperti gambar, audio, video, animasi, grafik dan teks bagi tujuan memberitahu sesuatu cerita.

SEDAR tidak sedar, penceritaan digital dengan mantap, beransur-ansur menghiasi taman pendidikan negara kita. Para pelajar dewasa ini, belajar bukan melalui pendengaran sahaja tetapi belajar melalui penciptaan, menerusi suara latar, visual, muzik dan juga cerita atau kisah untuk memahami sesuatu topik dalam kelas, sama ada di sekolah-sekolah rendah mahupun di institusi-institusi pendidikan tinggi.
Pada asalnya, pendekatan ini bermula dengan usaha uji kaji sahaja bagi menjana persekitaran bilik darjah yang lebih kreatif. Tidak disangka, ia mula berkembang menjadi satu kaedah pedagogi yang hebat, seni penyampaiannya mampu mempersembahkan maklumat yang rumit untuk difahami, bahkan pada masa yang sama boleh menghiburkan para penontonnya.
Penceritaan digital atau dalam bahasa Inggeris dipanggil ‘Digital Storytelling (DST)’ boleh didefinisikan sebagai satu kaedah hasil gabungan teknik penceritaan dan aplikasi digital seperti gambar, audio, video, animasi, grafik dan teks bagi tujuan memberitahu sesuatu cerita.
Kombinasi ini menjadikan para pelajar lebih aktif dalam proses pembelajaran, bukan sekadar pengguna ilmu pengetahuan yang mereka belajar, malah sebagai pencipta untuk menjana kisah-kisah yang menarik bagi mencerminkan kefahaman, identiti dan suara mereka sendiri.
Lebih daripada kisah penceritaan
Penceritaan digital boleh diterjemahkan juga sebagai satu kemahiran, seni dalam menghasilkan kisah multimedia yang pendek, yang selalunya merangkumi cerita, muzik, gambar dan video.
Para pendidik di Malaysia, bahkan seluruh dunia mengakui potensi pendekatan ini dalam meningkatkan komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis dan kreativiti di mana semua kemahiran ini sangat diperlukan oleh para pelajar dalam mengharungi dunia pendidikan abad ke-21.
Penyelidikan terhadap penceritaan digital dalam pembelajaran di negara kita telah membuktikan hasil yang memberangsangkan. Pada awal tahun ini, satu kajian diterbitkan dalam Jurnal Pendidikan Sains dan Matematik Malaysia berkenaan penceritaan digital untuk meningkatkan kemahiran numerasi yang berfokuskan kepada nombor dalam lingkungan 1000.
Seramai 35 orang murid darjah dua telah menyertai kajian ini dan dapatan mendedahkan perubahan besar pada markah purata ujian. Markah melompat naik daripada 44.11 kepada 65.17 selepas responden belajar konsep nombor dan prosedural melalui kisah digital. Kenaikan sebanyak 21 markah ini dalam pembelajaran Matematik boleh dianggap sebagai mengagumkan dan bermakna kepada para pendidiknya.
Di selatan tanah air, Pasir Gudang, Johor, sekumpulan guru bahasa Tamil yang mengajar murid-murid darjah dua melaporkan bahawa para murid yang menggunakan modul penceritaan digital merekodkan peningkatan dari segi elemen kefahaman, pembendaharaan kata dan kelancaran bagi kemahiran bertutur.
Dalam pada itu, pembelajaran kesusasteraan bahasa Inggeris di sekolah menengah turut mengetengahkan penceritaan digital bagi memahami puisi berkaitan perang. Hasilnya, pelajar-pelajar menjadi semakin aktif dalam kelas dan lebih memahami konsep dan bentuk kesusasteraan. Dalam aktiviti penulisan e-mel, mereka berasa lebih yakin menulis dengan perkataan bahasa Inggeris dan berasa seronok apabila mereka boleh menggunakan kreativiti masing-masing dalam memberi pendapat peribadi.
Dari bilik darjah ke dunia nyata
Di sebalik potensinya yang istimewa, penceritaan digital sebenarnya mempromosikan satu kesempatan yang bukan senang diperoleh kebanyakan pelajar di Malaysia, terutamanya yang berada di institusi-institusi awam iaitu peluang untuk dilihat dan didengari, kesempatan untuk menonjolkan bakat diri.
Contohnya, pelajar-pelajar sarjana muda di Universiti Malaysia Terengganu menyiapkan projek penceritaan digital berkenaan pengurusan warisan seni dan budaya di Malaysia. Hasilnya, mereka bukan sahaja terlibat aktif dengan kerja-kerja penyelidikan, bahkan kemahiran komunikasi mereka menunjukkan peningkatan serta mereka lebih mengetahui dan menghargai identiti budaya bangsa sendiri.
Dalam subjek bahasa Inggeris, pelajar-pelajar di Negeri di Bawah Bayu, Sabah juga menunjukkan kemajuan dalam kefahaman membaca, pemikiran kritis dan tahap kreativiti selepas mengubah kisah novel kepada penceritaan digital dalam kerja kumpulan mereka.
Ada yang menyatakan bahawa projek penceritaan digital ini membantu mereka memahami cerita novel tersebut dengan lebih baik. Ada juga yang memberitahu bahawa proses menganalisa kisah novel dapat meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis selain bersetuju projek penceritaan digital ini menarik dan interaktif.
Persepsi global dan tempatan
Walaupun secara beransur-ansur, penceritaan digital kelihatan semakin mendapat tempat dalam dunia pendidikan. Pakar pendidikan yang berasal dari New York City, Amerika Syarikat, Marc Prensky yang mencipta istilah ‘kaum digital’ atau dalam bahasa Inggerisnya ‘digital natives’ menjelaskan bahawa untuk menjana pengajaran yang berkesan dalam arus kemodenan semasa, ia memerlukan gabungan antara nilai-nilai tradisional dan aplikasi atau media yang terbaru.
Dalam era kata lain, ia merupakan gabungan antara kaedah pengajaran dahulu dan teknologi digital sekarang. Sudah tiba masanya, para pentadbir dan pendidik menyemak semula dan mengguna pakai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan pada masa kini.
Sementara itu, seorang pakar dalam bidang media, Profesor David Gauntlett dari Bumi Ratu Britain turut menyokong pandangan Marc Prensky. Dalam buku beliau yang bertajuk ‘Making is Connecting: The Social Meaning of Creativity, from DIY and knitting to YouTube and Web 2.0’, beliau menekankan bahawa budaya media kontemporari sedang berubah, daripada penggunaan pasif kepada penghasilan aktif di mana kreativiti, kolaborasi, penciptaan identiti dan hubungan sosial merupakan empat tonggak utama dalam evolusi media dewasa ini.
Di Malaysia, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan tujuh domain atau teras dalam kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 iaitu perkembangan diri, komunikasi, tanggungjawab, fasih digital, literasi pelbagai, kemahiran berfikir dan pembelajaran sepanjang hayat.
Justeru, penceritaan digital dilihat selari dengan penekanan kurikulum terbaru di mana kaedah ini memberi jalan atau idea untuk menajamkan kemahiran, lebih daripada duduk belajar dalam kelas dan menduduki peperiksaan.
Ada lagi yang perlu ditempuh
Di sebalik pencapaian yang dikongsikan, masih ada cabaran yang perlu diatasi dalam mengetengahkan penceritaan digital supaya boleh digunakan oleh semua pelajar dan pendidik. Antaranya jurang kemudahan yang masih lagi menjadi salah satu isu yang berterusan, terutamanya di kawasan luar bandar dan komuniti yang kekurangan perkhidmatan. Seperti yang kita sedia maklum, bukan semua sekolah di Malaysia mempunyai capaian internet yang baik dan peralatan yang cukup untuk membantu penghasilan projek multimedia.
Selain itu, masa juga merupakan halangan dalam pelaksanaan penceritaan digital di sekolah. Saban tahun, guru-guru diingatkan untuk menyampaikan semua silibus, ini bermakna jadual pengajaran di sekolah telah ditentukan, sarat dengan kandungan yang perlu diajar.
Situasi ini menyebabkan para guru berasa susah untuk mengaplikasikan kaedah baharu dalam rutin pengajaran mereka. Sesetengah guru juga berasa kurang yakin dalam menggunakan perisian suntingan audio dan video, apatah lagi apabila mereka tidak dibekalkan dengan latihan teknologi digital yang mencukupi.
Perancangan kini dan masa depan
Pakar-pakar mencadangkan beberapa strategi untuk merealisasikan pelaksanaan penceritaan digital sepenuhnya dalam pendidikan di Malaysia, antaranya adalah seperti:
1. Latihan kepada para guru: Pembangunan profesional amat diperlukan oleh para pendidik untuk menggabungkan teknologi dan strategi pedagogi dalam melaksanakan kaedah penceritaan digital.
2. Integrasi dalam kurikulum: Penceritaan digital boleh dimasukkan ke dalam subjek-subjek seperti bahasa, sejarah, sains dan matematik di mana ia dapat menjadikan konsep yang bersifat abstrak lebih jelas untuk difahami dan dikuasai.
3. Sokongan kemudahan: Bagi memastikan semua pelajar terlibat dalam penceritaan digital, sekolah-sekolah diberi capaian kepada peralatan atau alat multimedia yang asas seperti tablet dan aplikasi suntingan.
4. Pentaksiran alternatif: Penceritaan digital boleh dijadikan salah satu pentaksiran dan rubriknya boleh dibentuk untuk menilai kefahaman tentang isi kandungan, kreativiti, komunikasi dan kerjasama di mana komponen-komponen ini dapat membentuk gambaran holistik terhadap tahap penguasaan pembelajaran.
Berdasarkan dapatan penyelidikan yang ditemui, projek-projek rintis penceritaan digital di beberapa tempat di Malaysia telah membuktikan kemampuan pendekatan ini. Dengan sokongan yang berterusan daripada pihak-pihak yang terlibat dalam pendidikan di negara kita, penceritaan digital boleh dijadikan satu kaedah utama pembelajaran dalam bilik darjah abad ke-21.
Cerita baharu bagi pendidikan negara
Penceritaan digital ternyata memperkasa para pelajar untuk meneroka dunia di sekeliling mereka, malah dalam diri mereka sendiri. Ia terbukti bukan sekadar aktiviti yang kreatif, bahkan ia boleh mendorong empati, memupuk identiti dan membuatkan sesuatu sesi pembelajaran itu bermakna.
Ada pendapat mengatakan, apabila pelajar-pelajar menulis dan bercerita kisah mereka sendiri, mereka bukan sahaja belajar tatabahasa atau struktur karangan, bahkan mereka belajar tentang diri mereka sendiri, belajar tentang bakat dan kekuatan mereka sebenarnya.
Tuntasnya, bagi negara kita, Malaysia, pelaburan dalam pelaksanaan penceritaan digital di sekolah-sekolah bukan setakat untuk mengikut trend pendidikan semasa mahupun global.
Ia sebenarnya satu bentuk penghormatan kepada suara anak-anak muda dan persiapan masa depan mereka di mana komunikasi, kreativiti dan pemikiran kritis merupakan kunci kepada kejayaan pada abad ke-21.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.