Peranan guru menangani krisis identiti STEM

Kejayaan pelajar dalam bidang STEM sangat bergantung kepada bimbingan guru sepanjang proses pembelajaran mereka.

Feature Image (1)

DALAM kelas fizik yang saya kendalikan, saya sering melihat wajah pelajar yang kelihatan keliru. Bukan kerana mereka tidak mempunyai kebolehan tetapi kerana mereka sukar membayangkan diri mereka sebagai sebahagian daripada dunia sains.

Ramai pelajar, khususnya di peringkat asasi, datang dengan semangat tinggi. Namun, semangat itu sedikit demi sedikit berkurangan apabila mereka berhadapan dengan topik-topik yang mencabar seperti hukum Newton, konsep gelombang dan prinsip elektromagnet.

Fenomena ini mungkin berpunca daripada pendekatan pengajaran yang secara tradisinya lebih menekankan aspek pencapaian akademik, berbanding memberi penekanan yang seimbang kepada usaha untuk memperkukuh pemahaman dan penghayatan terhadap ilmu yang dipelajari.

Tambahan juga, penekanan terhadap jawapan yang tepat sering kali menjadi keutamaan. Walau bagaimanapun, perkembangan ilmu sains sepatutnya didorong oleh keberanian untuk bertanya dan bersedia untuk salah kerana ia sebahagian daripada proses pembelajaran serta komitmen yang berterusan untuk memperkukuh kefahaman secara menyeluruh.

Krisis identiti STEM

Krisis dalam bidang STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, bukanlah semata-mata berkaitan dengan kurangnya minat dalam kalangan pelajar. Sebaliknya, ia berpunca daripada rasa kurang yakin dalam diri pelajar dan kurang penghayatan antara mereka dengan perkara yang dipelajari.

Pelajar yang kurang cemerlang dalam ujian awal mudah melabelkan diri mereka sendiri sebagai ‘bukan pelajar sains’. Malah, ada yang mula menjauhkan diri daripada subjek ini walaupun mereka sebenarnya mempunyai potensi yang besar.

Keadaan ini turut dipengaruhi oleh pendekatan pengajaran yang bersifat terlalu teknikal. Fizik misalnya, sering diajar dengan pendekatan yang menekankan hafalan rumus dan kaedah pengiraan semata-mata. Persamaan dianggap sebagai matlamat, bukan sebagai alat untuk memahami fenomena alam. Tanpa konteks yang jelas, pelajar berasa sukar untuk mengaitkan pembelajaran dengan dunia sebenar.

Pendidikan berasaskan pemahaman

Sebagai pendidik, saya percaya bahawa peranan guru bukan hanya menyampaikan isi kandungan atau melengkapkan silibus. Guru juga bertanggungjawab membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar. Kitalah antara insan terawal yang berpeluang menyalakan semula semangat belajar dalam diri pelajar atau tanpa sedar, mungkin juga yang memadamkannya.

Dalam kelas, terdapat pelajar yang takut untuk bertanya kerana bimbang dianggap lemah. Hal ini boleh menjejaskan proses pembelajaran. Dalam bidang sains, pertanyaan merupakan asas kepada penerokaan ilmu. Justeru, adalah sangat penting untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan selamat bagi menyokong perkembangan pelajar secara menyeluruh. Pelajar perlu diberikan ruang untuk membuat kesilapan, belajar daripadanya, dan terus berkembang.

STEM yang bersifat kemanusiaan

Pendidikan STEM perlu dilihat lebih daripada sekadar keperluan teknologi dan ekonomi. Ilmu tersebut wajar disampaikan dengan pendekatan yang sarat dengan nilai dan penghayatan. Dalam penyelidikan saya yang melibatkan pembangunan sensor berasaskan gentian optik untuk pengesanan awal penyakit, saya melihat sendiri bagaimana fizik dan teknologi boleh digunakan untuk memberi manfaat besar kepada masyarakat. Teknologi berfungsi sebagai penyelesaian kepada masalah, bukan sekadar hasil ciptaan.

Apabila pelajar menyedari bahawa ilmu yang mereka pelajari dapat digunakan untuk membantu masyarakat, mereka akan lebih bersemangat dan berasa lebih terlibat. Ini akan membuka peluang kepada pembentukan minat yang berterusan dalam bidang STEM.

Guru dan masa depan pendidikan

Masa depan negara yang berasaskan kemajuan teknologi dan inovasi tidak bergantung sepenuhnya kepada fasiliti atau kurikulum baharu semata-mata. Ia bergantung kepada kualiti guru yang mampu membimbing pelajar dengan penuh komitmen dan kesabaran. Guru yang memahami keperluan pelajar serta sentiasa mencari pendekatan yang sesuai untuk menggalakkan pertumbuhan potensi mereka.

Kita memerlukan lebih ramai guru yang bukan sekadar mengejar pencapaian dalam peperiksaan tetapi yang benar-benar membina hubungan bermakna dengan pelajar. Guru yang mampu menanamkan rasa ingin tahu dan yang tidak berputus asa dalam memberi peluang kedua kepada pelajar. Kejayaan pelajar dalam bidang STEM sangat bergantung kepada bimbingan guru sepanjang proses pembelajaran mereka.

Sudah tiba masanya kita memperhalusi semula pendekatan dalam pendidikan sains. Ilmu perlu disampaikan bukan sahaja dengan ketepatan tetapi juga dengan kefahaman dan keinsafan. Pendidikan yang baik ialah pendidikan yang membina hubungan antara ilmu, kehidupan dan nilai kemanusiaan.

Fizik bukan sekadar rumus dan formula tetapi merupakan cara untuk memahami alam dan dalam proses itu, membentuk kefahaman yang lebih mendalam tentang diri sendiri dan peranan kita dalam masyarakat.