Mata Helang: PRN Sabah – Drama politik lama, janji baharu

Jika pemimpin yang dicalonkan gagal menyatakan pendirian jelas atau hanya mengikuti rentak kuasa nasional, maka hak Sabah berpotensi terus dilupakan seperti dalam pilihan raya sebelumnya.

Feature Image (2)

PILIHANRAYA Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 semakin panas selepas selesai penamaan calon pada 15 November lalu. Di sebalik semangat ‘Sabah for Sabahans’ dan naratif pemulihan hak negeri, realitinya lebih kelam dan kacau, seolah-olah semua parti sedang berlumba-lumba menabur janji manis sambil menyembunyikan pelbagai taktik politik kotor.

Semangat Tempatan atau Kuasa Nasional Kembali Berkuasa?

Salah satu isu besar ialah kerjasama parti tempatan Sabah dengan parti nasional. PH dan GRS kelihatan rapat dalam rundingan pembahagian kerusi. Pada masa sama, BN menegaskan tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam PRN ini tetapi apakah ini benar-benar soal ideal atau hanya strategi kuasa jangka pendek?

Sikap ‘tempatan dahulu’ sering dipakejkan sebagai slogan manis tetapi bila tiba bab penamaan calon, banyak parti nasional tetap masuk campur menabur calon di banyak kerusi. Parti tempatan yang kononnya ingin mempertahankan identiti Sabah pun terjebak dalam tiket dan kompromi pragmatik.

Pengundian Satu ‘Ujian Kebijaksanaan Rakyat Sabah’

Menurut laporan, penamaan calon di Sabah menyaksikan persaingan yang sangat padat dengan ada tempat-tempat mendapat 4 hingga 5 calon, malah ada kerusi panas yang boleh mencecah 10 hingga 12 penjuru. Ini bukan petanda demokrasi matang tetapi petanda kekacauan. Rakyat Sabah mungkin ‘lelap kekenyangan pilihan raya’, terlalu banyak pihak berjanji tanpa hala tuju jelas.

Bukan itu sahaja, segelintir penyelidik politik menilai bahawa ramai pengundi sudah lelah dan keliru dengan siapa sebenarnya mewakili aspirasi mereka: ‘Confusion over who’s allied with whom, or frustrations that ‘they’re all the same’.

Pemimpin Yang Tersisih Atau Dihentikan?

Ada juga drama ‘pemimpin sedia ada tetapi diabaikan’. Contohnya jurutera politik tempatan yang tidak dicalonkan oleh parti mereka, walaupun digembar-gemburkan sebagai tokoh berpengalaman. Menurut laporan, sesetengah pemimpin lama dipinggirkan, ada yang berlagak tenang dan setia tetapi ada pula yang memilih untuk bertanding atas tiket bebas.

Tindakan ini menimbulkan persoalan, adakah parti-parti utama benar-benar memberi ruang kepada suara lokal atau sekadar menggunakan nama besar lama sebagai alat tarikan pengundi? Politik Sabah kelihatan seperti pusingan roda lama, pemimpin lama diangkat semula tetapi pengaruh tulen tempatan dan sukar disahkan.

Kelahiran Politik Baharu – Harapan atau Silap?

Tidak semua berita tentang calon baharu adalah negatif. Parti Sabah tempatan seperti KDM (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat) mencalonkan pemimpin muda seperti Priscella Peter, satu isyarat bahawa sebahagian rakyat mahukan pembaharuan dan pemimpin generasi baharu tetapi apakah calon baharu benar-benar membawa agenda perubahan atau hanya menjadi ‘alat politik’ untuk kuasa lama mengekalkan pengaruh dalam wadah baru? Masa akan menilai sama ada mereka akan tampil sebagai pembawa perubahan sebenar atau sekadar boneka dalam permainan kuasa besar.

Realiti Ekonomi dan 40 peratus — Isu Tetap Membayangi

Sementara calon-calon diumumkan, isu hak Sabah 40 peratus perolehan negeri daripada minyak dan hasil negeri masih menghantui. Ramai rakyat melihat PRN ini sebagai medan menegakkan hak negeri yang selama ini dilaung tetapi belum jelas siapa yang akan benar-benar menuntut dan bukan sekadar menabur omongan.

Jika pemimpin yang dicalonkan gagal menyatakan pendirian jelas atau hanya mengikuti rentak kuasa nasional, maka hak Sabah berpotensi terus dilupakan seperti dalam pilihan raya sebelumnya.

Daripada penamaan calon PRN Sabah ini, Mata Helang melihat satu perkara menonjol iaitu politik tempatan tetap bermain dalam gelanggang kuasa nasional. Parti lokal mungkin mendapat lebih banyak kerusi tetapi mereka masih bergantung kepada strategi, sokongan dan duit daripada entiti nasional.

Rakyat Sabah wajar waspada. Terlalu banyak calon, terlalu banyak janji dan terlalu banyak ‘politik lama dalam baju baharu’. Pengundi perlu bijak menilai bukan siapa paling kuat bercakap tetapi siapa paling konsisten dengan aspirasi Sabah sebenar.

Kerjasama PH-GRS mungkin dilihat sebagai satu strategi stabiliti tetapi kalau ia hanya strategi kuasa, bukan kemenangan rakyat, maka apa bezanya dengan pentadbiran sebelum ini?

Jika pemimpin muda Sabah seperti Priscella benar-benar mahu memperjuangkan hak Sabahan, mereka mesti membuktikan komitmen, bukan hanya mencuri perhatian semasa penamaan calon tetapi berani menuntut hak rakyat selepas kemenangan.

Mata Helang tidak menolak kerjasama dan kompromi tetapi menolak kata manis politikus yang hanya pandai menari pada masa penamaan calon. Sabah mahukan pemimpin yang dapat menyanyi lagu perubahan, bukan sekadar syair kuasa kosong.