Program EduRia 3M perkasa kemahiran literasi murid pemulihan, Orang Asli

Program EduRia 3M ialah inisiatif kerjasama pendidikan antara Universiti Malaya dan SK Sungai Sampo sebagai satu program pemerkasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira dalam kalangan murid sekolah rendah.

Antara aktiviti literasi yang dilaksanakan (3)

Oleh: ZUWATI HASIM, SHANINA SHARATOL AHMAD SHAH DAN SIMAH MAMAT

JEMPOL, 17 Julai 2025 — Isu kemahiran literasi dalam kalangan murid pemulihan dan murid Orang Asli terus menjadi cabaran dalam landskap pendidikan negara, memerlukan perhatian serius serta pendekatan inovatif bagi memastikan tiada murid yang tercicir daripada arus pendidikan.

Seiring usaha memperkasa kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), pelbagai inisiatif telah diperkenalkan termasuk program kolaboratif EduRia 3M, hasil kerjasama Universiti Malaya dan Sekolah Kebangsaan Sungai Sampo, Negeri Sembilan.

Program ini diterajui Guru Besar SK Sungai Sampo, Mohd. Ahyaulumuddin Abd. Hamid menerusi inisiatif Inovasi Sosial di bawah Geran Transformasi Global (GTRG) dengan fokus kepada murid pemulihan dan murid dari Sekolah Murid Orang Asli (SMOA) di seluruh Negeri Sembilan.

EduRia 3M bertujuan menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna dengan memberi tumpuan kepada lima objektif utama iaitu meningkatkan motivasi murid pemulihan, memperkenalkan kaedah pembelajaran kreatif, mewujudkan suasana pembelajaran inklusif, memperkasakan peranan guru serta membina nilai sosial dalam kalangan murid.

Pelaksanaan program melibatkan 80 murid yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan menjalani aktiviti pembelajaran berstesen yang memberi tumpuan kepada dua komponen utama iaitu Membaca dan Menulis serta Mengira.

Mengulas lanjut, Mohd Ahyaulumuddin berkata, pendekatan pembelajaran yang berorientasikan pengalaman murid dan berasaskan interaksi secara menyeronokkan berjaya mengubah persepsi murid terhadap pembelajaran yang sebelum ini dianggap membebankan.

“Melalui pendekatan ini, murid bukan sahaja dibimbing meningkatkan kemahiran literasi asas, malah turut diberi ruang untuk membina keyakinan diri serta mengembangkan potensi mereka secara holistik,” katanya.

Antara elemen penting dalam kejayaan program ini ialah penglibatan aktif Universiti Malaya dalam aspek pembangunan modul, pelaksanaan serta penilaian impak program secara menyeluruh. Penyertaan pensyarah dan pelajar universiti turut memperkukuh pendekatan literasi berasaskan komuniti melalui pembangunan ekosistem pembelajaran yang menyeluruh di peringkat sekolah dan komuniti.

Selain itu, kajian tindakan yang dijalankan secara serentak membolehkan impak program dinilai secara berasaskan bukti serta memberi asas kukuh kepada cadangan penambahbaikan pada masa depan.

Kejayaan program EduRia 3M menunjukkan bahawa inovasi pendidikan bukan hanya terletak pada dasar di peringkat pusat, sebaliknya boleh digerakkan di peringkat akar umbi menerusi kolaborasi erat antara sekolah, pejabat pendidikan daerah dan institusi pengajian tinggi.

Malah, pendekatan bersifat one-size-fits-all tidak lagi relevan dalam konteks pendidikan inklusif masa kini, sebaliknya murid perlu diberi ruang dan peluang untuk belajar mengikut cara dan keperluan mereka.