Pengurusan dana yang bijak atau berisiko, pilihan di tangan usahawan

SETIAP sen yang dilaburkan dalam perniagaan membawa harapan dan risiko tersendiri.

Cara pemilik perniagaan menguruskan dana ini menentukan sejauh mana mereka mampu bertahan dalam jangka masa panjang.

Semangat dan keyakinan kadang-kadang membawa usahawan untuk melabur besar dalam pemasaran atau teknologi.

Namun, tanpa pengurusan kewangan yang teliti, impian ini boleh berubah menjadi beban kewangan.

Dalam landskap perniagaan yang penuh cabaran, kita sering menilai sama ada usahawan mengurus dana mereka dengan bijak atau meletakkan perniagaan di ambang risiko.

Kerajaan Malaysia telah menyediakan pelbagai bantuan kewangan untuk merangsang sektor perniagaan, termasuk Geran Khas Prihatin (GKP) yang menyediakan RM1.5 bilion untuk 800,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro, Pembiayaan Digitalisasi PKS berjumlah RM200 juta serta program MySMELady dan iTEKAD yang menawarkan RM100 juta untuk usahawan wanita dan golongan B40.

Sektor pelancongan juga menerima RM500 juta untuk memulihkan operasi selepas pandemik.

Walaupun pelbagai bantuan kewangan tersedia, kejayaan perniagaan tetap bergantung kepada kebijaksanaan usahawan dalam menguruskan dana tersebut.

Banyak perniagaan, terutama yang baru berkembang, sering teruja untuk melabur tanpa mempertimbangkan pulangan yang mungkin diperoleh, mengakibatkan perbelanjaan berlebihan dan kekurangan modal untuk operasi harian.

Tanda-tanda Pengurusan Dana Berisiko

Pengurusan dana yang berisiko biasanya disebabkan oleh beberapa faktor termasuk:

1. Perbelanjaan tidak seimbang – Utama perbelanjaan untuk perkara kurang penting seperti pemasaran berlebihan.

2. Tiada perancangan aliran tunai – Kekurangan perancangan yang baik dalam aliran tunai menyebabkan kesukaran membayar perbelanjaan bulanan.

3. Pelaburan dalam aset tetap yang berat – Aset mahal sukar dilupuskan apabila tunai diperlukan segera.

4. Keputusan berisiko untuk memuaskan pelabur – Usahawan mungkin mengambil risiko besar untuk memenuhi kehendak pelabur yang boleh menyebabkan kerugian.

5. Kekurangan analisis kewangan – Tanpa analisis mendalam, masalah kewangan mungkin tidak dikenal pasti.

6.Bergantung pada pembiayaan luar – Terlalu bergantung pada pinjaman boleh meningkatkan risiko jika masalah timbul.

7. Kurangnya diversifikasi pendapatan – Ketergantungan pada satu sumber pendapatan meningkatkan risiko.

8. Perbelanjaan berulang yang tidak dikenal pasti – Mengabaikan kos berulang boleh menyebabkan kekurangan modal.

9.Tidak mengambil kira kos operasi – Mengabaikan peningkatan kos operasi harian boleh mengakibatkan masalah kewangan.

10. Mengabaikan teknologi kewangan – Tidak menggunakan sistem pengurusan aliran tunai boleh menyebabkan ketidakcekapan dalam operasi perniagaan.

Sebaliknya, pengurusan dana yang bijak melibatkan aliran tunai yang stabil, pelaburan dalam bidang yang menguntungkan, strategi pengurangan risiko dan komunikasi terbuka dengan pelabur.

Syarikat perlu mengutamakan perbelanjaan yang mendatangkan pulangan serta bersedia menghadapi cabaran dengan menyimpan dana kecemasan untuk menangani kejutan ekonomi.

Hubungan yang baik dengan pelabur juga penting untuk memastikan sokongan berterusan.

Kejayaan atau kegagalan dalam pengurusan dana dapat dilihat melalui contoh perniagaan yang terkenal, yang pernah mengalami masalah kewangan disebabkan pengurusan dana yang kurang cekap.

Kes kegagalan ini mengingatkan kita semua tentang pentingnya pengurusan kewangan yang teliti, terutama dalam mengimbangi pelaburan dan pengeluaran.

Usahawan perlu belajar daripada pengalaman ini dan menekankan kepentingan pengurusan kewangan sebagai asas kepada kejayaan perniagaan.

Oleh itu, pengurusan dana yang bijak adalah kunci kepada kelangsungan dan kejayaan perniagaan.

Dengan pelan kewangan yang mantap dan strategi pengurangan risiko yang jelas, usahawan dapat mengurangkan risiko kewangan yang mungkin timbul.

Dalam dunia perniagaan yang sentiasa berubah, pilihan di tangan usahawan sama ada untuk mengurus dana dengan bijak atau berisiko, yang akan menentukan masa depan perniagaan mereka.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.