Bila dosa peribadi menjadi kesalahan undang-undang menurut syariah

Isu-isu moral dibincangkan secara terbuka di media sosial tanpa memahami kerangka syariah dan perundangan yang sebenar.

Feature Image (2)

PERBINCANGAN tentang kesalahan moral dalam Islam sering menimbulkan persoalan besar dalam masyarakat iaitu sejauh mana sesuatu perbuatan yang berdosa secara agama boleh dianggap sebagai kesalahan undang-undang.

Kekeliruan ini menjadi lebih ketara apabila isu-isu moral dibincangkan secara terbuka di media sosial tanpa memahami kerangka syariah dan perundangan yang sebenar.

Islam sememangnya mengiktiraf perbezaan antara dosa peribadi dan kesalahan yang memerlukan campur tangan undang-undang. Tidak semua perbuatan yang bercanggah dengan ajaran agama secara automatik menjadi kesalahan yang boleh dihukum oleh negara. Pemisahan ini penting bagi memastikan keadilan, kebijaksanaan dan tujuan syariah dapat dilaksanakan secara seimbang.

Dosa peribadi dan prinsip menutup aib

Dalam ajaran Islam, banyak perbuatan berdosa berlaku dalam ruang peribadi dan tidak memberi kesan langsung kepada masyarakat. Dalam keadaan sebegini, Islam menekankan taubat, nasihat dan pembaikan diri, bukan pendedahan atau penghukuman terbuka.

Prinsip sitr atau menutup aib menunjukkan bahawa Islam tidak menggalakkan pengintipan terhadap kesalahan peribadi selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam.

Pendekatan ini mencerminkan bahawa tujuan utama syariah bukan untuk menghukum semata-mata, tetapi untuk membimbing manusia ke arah kebaikan dan menjaga keharmonian sosial.

Namun, terdapat keadaan di mana perbuatan moral tidak lagi bersifat peribadi kerana ia dilakukan secara terbuka atau memberi kesan kepada kepentingan awam. Dalam konteks inilah undang-undang Syariah berperanan sebagai mekanisme kawalan dan pencegahan.

Sebagai contoh, di kebanyakan negeri di Malaysia, perbuatan lelaki berpakaian atau berlagak seperti perempuan di tempat awam dikategorikan sebagai kesalahan di bawah undang-undang jenayah Syariah negeri.

Pelaku-pelaku ini boleh didakwa sekiranya mencukupi elemen pendakwaan mengikut peruntukan seksyen berkenaan. Dari sudut perundangan, kesalahan ini tidak dilihat semata-mata sebagai dosa peribadi, tetapi sebagai perbuatan yang dilakukan secara terbuka dan dianggap bertentangan dengan norma agama yang dianuti oleh masyarakat Islam setempat.

Begitu juga dengan kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan, seperti makan atau minum secara terbuka pada siang hari oleh orang Islam. Walaupun makan dan minum itu sendiri adalah perbuatan harus, perbuatan melakukannya secara terbuka pada bulan Ramadan dianggap mencabar sensitiviti agama dan ketertiban awam umat Islam, lalu diletakkan di bawah bidang kuasa undang-undang Syariah.

Contoh-contoh ini menunjukkan bahawa faktor utama yang membezakan dosa peribadi dan kesalahan undang-undang ialah sifat keterbukaan perbuatan dan kesannya terhadap masyarakat, bukan semata-mata aspek moral individu.

Kerangka undang-undang syariah di Malaysia

Dalam sistem perundangan Malaysia, undang-undang Syariah berada di bawah bidang kuasa negeri dan tertakluk kepada had yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, hanya kesalahan tertentu sahaja yang boleh digubal dan dikuatkuasakan, dengan bentuk hukuman yang juga terhad.

Kesalahan moral yang dijadikan kesalahan undang-undang biasanya termasuk dalam kategori jenayah ta‘zir, iaitu kesalahan yang hukumannya ditentukan oleh pihak berkuasa berdasarkan keperluan semasa dan maslahah masyarakat. Pendekatan ini memberi ruang kepada kebijaksanaan pemerintah dan mahkamah untuk menilai kesesuaian penguatkuasaan, bukannya melaksanakan hukuman secara kaku.

Namun begitu, penguatkuasaan undang-undang ini sering disalah tafsir sebagai campur tangan berlebihan terhadap kehidupan peribadi, sedangkan hakikatnya ia beroperasi mengikut tatacara dalam ruang yang sangat terhad dan bersyarat.

Walaupun undang-undang disediakan untuk menangani kesalahan moral tertentu, Islam tidak meletakkan penguatkuasaan sebagai satu-satunya penyelesaian. Pendidikan, dakwah dan sokongan sosial kekal sebagai pendekatan utama dalam membentuk akhlak masyarakat.

Undang-undang seharusnya berfungsi sebagai langkah terakhir, bukan alat untuk memalukan atau menghukum tanpa pertimbangan. Penguatkuasaan yang terlalu keras tanpa pendekatan mendidik berisiko menimbulkan stigma dan penolakan, sedangkan matlamat syariah adalah untuk memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Kesalahan moral dalam Islam perlu difahami melalui lensa yang seimbang antara dosa peribadi dan kesalahan undang-undang. Tidak semua dosa wajar dihukum oleh negara, dan tidak semua isu moral boleh diselesaikan melalui perundangan.

Dengan memahami konteks syariah dan kerangka undang-undang di Malaysia, masyarakat dapat melihat bahawa penguatkuasaan undang-undang Syariah bukan bertujuan mengawal kehidupan peribadi secara mutlak tetapi untuk menjaga kepentingan awam dan nilai agama secara berhemah.

Pada akhirnya, kekuatan Islam terletak pada kebijaksanaan dalam menentukan bila untuk menasihati dan bila untuk menguatkuasakan undang-undang.