Ekonomi pusingan untuk golongan marhaen

Adakalanya kita mendaki, adakalanya kita jatuh, namun kehidupan terus berputar seperti roda, tidak statik seperti garisan lurus.

Poster Terkini (6)

SEBAGAI seorang warga emas yang datang daripada keluarga sederhana dan yang pernah meniti kejayaan sebagai usahawan sebelum rebah disapa angin ahmar, saya menyaksikan sendiri betapa hidup ini adalah satu putaran.

Adakalanya kita mendaki, adakalanya kita jatuh, namun kehidupan terus berputar seperti roda, tidak statik seperti garisan lurus.

Falsafah inilah yang saya temui kembali dalam gagasan global yang semakin mendapat perhatian dunia hari ini, ekonomi pusingan atau circular economy.\

Ekonomi pusingan bukan sekadar istilah dalam wacana dasar kerajaan atau bahan ceramah korporat. Ia adalah satu falsafah ekonomi dan ekologi yang mengangkat semula nilai pada sesuatu yang telah dianggap sampah, sisa yang selama ini dibuang begitu sahaja.

Dalam sistem ini, barangan direka untuk tahan lama, bahan dikitar semula dan pembaziran dikurangkan seminimum mungkin. Ia satu jawapan kepada kerakusan ekonomi linear yang telah merosakkan bumi ini selama berdekad-dekad.

Namun, sebagai seseorang yang pernah membesar dalam kesederhanaan, saya tahu bahawa falsafah ini bukan sesuatu yang baharu bagi golongan miskin.

Mereka telah lama mengamalkan ekonomi pusingan, bukan kerana kesedaran hijau atau dasar kerajaan tetapi kerana keterpaksaan hidup.

Di sinilah letaknya keunikan, ketika dunia baharu menyedari nilai ekonomi pusingan, masyarakat marhaen sudah lama menghidupkan semangat ini dalam bentuk yang paling tulen dan jujur.

Warisan Kitaran dalam Kehidupan Marhaen

Ketika saya masih kecil, ibu saya tidak pernah membuang kain yang koyak. Dia akan menjahitnya menjadi alas kaki atau cebisan kain pengelap. Tin susu menjadi pasu bunga, kotak menjadi rak buku buatan tangan.

Itu bukan kerana mahu menjadi ‘hijau’, tetapi kerana setiap benda masih punya nilai. Di banyak kampung dan kota kecil, kitar semula bukanlah dasar, ia adalah cara hidup.

Hari ini, di seluruh benua Asia, Afrika dan Amerika Latin, terdapat jutaan pengutip sampah tidak rasmi yang menjadikan sisa sebagai sumber rezeki. Mereka mengutip botol plastik, logam, kertas sebelum dijual kepada pengilang untuk dikitar semula.

Ada juga yang lebih kreatif seperti tukang seni yang menukar tayar lama menjadi perabot atau wanita desa yang menghasilkan beg tangan daripada bungkusan plastik.

Dalam semua ini, jelas bahawa ‘sampah’ adalah sumber kekayaan jika dimanfaatkan dengan sistem yang adil dan lestari.

Antara Penderitaan dan Potensi

Namun, tidak dapat dinafikan bahawa dalam dunia yang masih berpaksikan keuntungan dan kasta sosial ini, golongan miskin yang menjalankan kerja ekonomi pusingan secara tidak rasmi sering dipinggirkan.

Mereka bekerja dalam keadaan bahaya, tanpa perlindungan sosial atau pengiktirafan. Sungai yang tercemar, tapak pelupusan yang menimbun dan udara beracun adalah sebahagian daripada realiti mereka.

Ironinya, mereka menyumbang besar kepada kelestarian alam tetapi menanggung beban pencemaran paling berat. Maka sudah sampai waktunya kita menstruktur semula sistem, bukan untuk mengambil alih usaha mereka tetapi untuk menyokong dan memperkukuhnya dengan adil dan bermaruah.

Membina Sistem yang Inklusif dan Bermaruah

Bandar-bandar seperti Pune di India telah memulakan langkah bijak dengan mengiktiraf para pemungut sampah melalui sistem koperasi. Mereka diberikan latihan, lesen dan pembayaran yang adil.

Kini, para pemungut sampah itu menjadi profesional yang diiktiraf dan menikmati pendapatan lebih stabil serta suasana kerja yang lebih selamat. Model ini patut diteladani oleh negara-negara membangun lain, termasuk Malaysia.

Di negara-negara tertentu, projek kitar semula komuniti berkembang pesat. Contohnya, di Kenya, selipar yang dibuang di pantai ditukar menjadi patung berwarna-warni, permainan kanak-kanak dan barangan rumah oleh para seniman tempatan.

Di Brazil, mikrokompos yang diusahakan komuniti miskin menghasilkan baja untuk kebun bandar, sekali gus membekalkan makanan dan pendapatan.

Potensi ekonomi pusingan tidak berhenti di situ. Sistem biogas dari sisa organik boleh menjana tenaga untuk memasak dan elektrik di kawasan luar bandar, mengurangkan kebergantungan kepada kayu api dan arang batu.

Ia bukan sahaja mesra alam, malah menyelamatkan wanita dan kanak-kanak daripada bahaya asap rumah tertutup.

Namun, untuk menjadikan ini satu realiti arus perdana, beberapa prasyarat mesti dilaksanakan:
1. Pengiktirafan dan pelesenan kepada pekerja sisa tidak formal
2. Pemberian mikro-pembiayaan dan geran untuk perusahaan berasaskan sisa
3. Latihan dalam pemprosesan tambah nilai sisa
4. Jaringan pasaran antara sektor tidak formal dan industri formal

Dimensi Malaysia: Potensi dan Harapan

Sebagai seorang yang pernah membina perniagaan dari bawah, saya melihat potensi besar dalam sektor sawit Malaysia melalui pendekatan ekonomi pusingan.

Bayangkan jika sisa kelapa sawit seperti tandan kosong (empty fruit bunches) tidak dibuang begitu sahaja tetapi ditukar menjadi tenaga atau produk nilai tambah lain. Ini bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah dapat memberi pendapatan tambahan kepada pekebun kecil.

Malangnya, di Malaysia, usaha ini masih teragak-agak. Tiada pasaran jelas untuk hasil kitar semula biomass dan tiada dasar kukuh yang memacu nilai tambah kepada petani kecil.

Kerajaan perlu campur tangan, bukan sekadar dengan insentif kewangan, tetapi juga dengan merangka dasar pasaran dan membina jaringan ekosistem ekonomi pusingan. Ini bukan sekadar peluang ekonomi, tetapi suatu transformasi sistemik yang mampu mengangkat nasib ribuan keluarga desa.

Ekonomi Pusingan: Jalan Menuju Keadilan Sosial

Ekonomi pusingan tidak harus dilihat semata-mata sebagai projek alam sekitar. Ia adalah wadah keadilan sosial. Ia memberi suara kepada yang diam, tempat kepada yang terpinggir, dan harapan kepada yang diuji.

Ketika dunia bercakap tentang inovasi teknologi dan pelaburan jutaan dolar, kita jangan lupa pada rakyat yang telah memulakan perjalanan ini lebih awal – dengan tangan yang berlumur peluh dan jiwa yang tidak pernah menyerah.

Sebagai seorang warga emas yang pernah berjuang dalam dunia perniagaan dan kini bertarung dengan kesan strok, saya belajar bahawa segala sesuatu, termasuk manusia yang masih punya nilai, meskipun tampak lemah atau usang.

Sama seperti ekonomi pusingan menghidupkan semula bahan buangan, kita juga harus menghidupkan kembali nilai-nilai kemanusiaan, keadilan dan ihsan dalam struktur ekonomi dunia.

Moga ekonomi pusingan tidak sekadar menjadi wacana elit, tetapi menjadi jalan keluar bagi yang tertindas dari lorong-lorong kota ke ladang-ladang desa, dari sisa menjadi sumber, daripada kehinaan menjadi kemuliaan.

Moga Malaysia tidak sekadar menjadi pengikut tetapi pelopor kepada ekonomi pusingan yang inklusif, adil dan lestari demi generasi akan datang.

Itulah harapan pada sisa-siha kehidupan yang tidak tahu bila akan pergi. Amin.


* Penulis pernah bekerja selama 18 tahun di Riyadh, Arab Saudi dan Dubai, UAE sebelum balik ke Kelana Jaya, Selangor akibat diserang strok dan menjadi warga OKU. Beliau merupakan pemenang 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 11 kali Hadiah Sastera Utusan, Anugerah Sastera Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan 30 hadiah sastera lain. Beliau juga bekas CEO empat buah syarikat di Dubai, pengarah, pengurus besar di syarikat antarabangsa. Menulis 44 buah buku dan 30 e-buku di clicks4book dan e-sentral.com.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.