Jom sertai Minggu Latihan Kebangsaan 2025 secara percuma!

Bertujuan untuk mengukuhkan budaya pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia.

Poster Terkini


TIDAK keterlaluan jika dikatakan bulan Mei dan Jun 2025 ini untuk para pekerja. Masakan tidak, tarikh 1 Mei 2025 seperti tahun-tahun sebelum ini diangkat sebagai Hari Pekerja.

Kemudian tarikh 16 Mei 2025, sambutan Hari Guru yang disambut meriah merupakan salah satu pekerjaan. Seterusnya, tarikh 7 Jun 2025 yang merupakan tarikh Hari Raya Aidiladha, selain disambut meriah turut menghadirkan ibrah peri pentingnya pengorbanan oleh pekerja dalam memacu organisasi tempat seseorang itu mencari rezeki.

Satu lagi perkara menarik melibatkan pekerja pada bulan Jun 2025 ini ialah pelaksanaan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025. Ia merupakan salah satu inisiatif oleh Kementerian Sumber Manusia dan diuruskan HRD Corp sejak tahun 2023.

Minggu Latihan Kebangsaan ini bertujuan untuk mengukuhkan budaya pembelajaran sepanjang hayat serta pembangunan berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia. Apa yang menariknya, semua kursus dan latihan sepanjang NTW 2025 adalah percuma.

Minggu Latihan Kebangsaan direka bagi memenuhi beberapa objektif. Pertama, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kelangan rakyat Malaysia. Kedua, meningkatkan kerjasama strategik antara kerajaan untuk pembangunan dan latihan. Ketiga, melengkapkan rakyat Malaysia dengan ilmu dan kemahiran kerja masa hadapan.

Untuk NTW 2025, ia berlangsung dari 14 Jun 2025 hingga 21 Jun 2025. Bagaimanapun, ada beberapa kursus dan latihan yang bermula lebih awal dan ada juga yang akan dijalankan lebih lewat.

Jika pada tahun 2024 penganjur menyasarkan sebanyak 150,000 pendaftaran, untuk NTW 2025 penganjur menyasarkan sebanyak 2,427,083 penyertaan.

Menarik tentang NTW 2025

NTW 2025 pada tahun ini dianjurkan lebih besar berbanding NTW yang lepas. Sebanyak 72,217 kursus tersedia sepanjang NTW 2025. Kursus-kursus ini akan diberikan oleh 1,465 penyedia kursus yang telah dilantik merangkumi sebanyak 39 bidang kemahiran.

Ini selaras dengan tekad penganjur untuk memacu latihan kemahiran dan pembangunan Malaysia untuk masa depan yang lebih cerah.

Terdapat 5 tumpuan dan bidang utama di dalam NTW 2025. Pertama, Kemahiran Hidup yang merangkumi pembangunan peribadi dan pencapaian diri. Kedua, Kemahiran Masa Depan yang merangkumi STEM, TVET, digitalisasi, kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan mesin. Ketiga, Pembangunan Mapan merangkumi alam sekitar, pembangunan, kesamarataan dan kemakmuran. Keempat, Kewangan merangkumi bank, insurans, pelaburan dan teknologi kewangan. Kelima, Kreativiti Dan Inovasi merangkumi muzik, seni, budaya dan pendidikan kreatif.

Walaupun menyasarkan seluruh masyarakat Malaysia secara umum, NTW 2025 disusun bagi memenuhi keperluan tiga kumpulan sasaran. Pertama, Individu merangkumi kanak-kanak prasekolah, remaja, pelajar universiti dan golongan belia, graduan, golongan profesional dan warga emas. Kedua, Pemain Industri merangkumi majikan, persatuan industri dan dewan perniagaan. Ketiga, Rakan Latihan Dan Penyampaian merangkumi pembekal platform dalam talian, jurulatih dan penyedia latihan, institusi akademik, institusi berasaskan kemahiran, pusat pembelajaran fizikal serta tadika dan pusat tuisyen.

Pengalaman menyeronokkan dengan NTW 2025

NTW 2025 mampu menghadirkan pengalaman menyeronokkan kepada para peserta. Ini disebabkan peserta tidak terikat dengan sesebuah cara penyampaian kursus dan latihan NTW semata-mata. NTW 2025 menawarkan pelaksanaan kursus secara bersemuka di dalam kelas.

Bagi peserta yang tidak dapat hadir secara bersemuka di atas kekangan lokasi atau masa, boleh mengikuti kursus secara dalam talian. Selain itu, kursus e-pembelajaran turut disediakan.

Selain itu, laman sesawang NTW adalah mesra pengguna. Sekiranya anda pernah mendaftar dan mengikuti kursus pada NTW 2024, anda masih boleh menggunakan pendaftaran yang sama untuk mengikuti kursus NTW 2025 tanpa perlu melakukan pendaftaran baharu.

Universiti Teknologi MARA (UiTM), seperti NTW 2024 turut terlibat dengan NTW 2025 melalui ILD UiTM sebagai salah satu penyedia kursus bagi NTW 2025.

Pada tahun ini, melalui Webinar Sumber Manusia Sektor Awam @ILD UiTM, kursus Kreativiti Dalam HR: Bagaimana Menjemput Idea Di Tempat Kerja? akan disampaikan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Fakulti Alam Bina UiTM, Datin Noor Asyikin Md. Nor pada 19 Jun 2025.

Selain itu, kursus Peningkatan Kompetensi Pentadbir Melalui Pendekatan Tematik Al-Qawiyy Al-Amin: Pengalaman Hal Ehwal Islam UiTM akan dikongsikan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Islam UiTM, Ustaz Mohd Azri Aripin pada 20 Jun 2025.

Kelainan NTW 2025

Berbanding NTW 2024, NTW 2025 pada tahun ini menghadirkan kelainan yang menjadikan kursus ini lebih segar. Tahun ini, sempena berlangsungnya Kepengerusian ASEAN-MALAYSIA 2025 selama setahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025, melalui ASEAN Year Of Skills 2025, sebanyak 70,000 kursus percuma yang ditawarkan NTW turut boleh diakses ke seluruh negara-negara ASEAN.

Selain itu, NTW 2025 turut memperkasakan e-pembelajaran di mana para peserta boleh melakukan akses dan seterusnya mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. Masakan tidak, apabila Udemy menawarkan sehingga 24,000 kursus, Awantec Systems menawarkan sehingga 22,000 kursus, Microsoft menawarkan sebanyak 4,500 kursus, ReSkills Edtech menawarkan sebanyak 4,000 kursus, Outclass menawarkan sebanyak 2,500 kursus dan banyak lagi penyedia dengan kursus masing-masing.

Kepentingan NTW 2025

NTW 2025 walaupun dijalankan secara percuma, namun manfaatnya banyak dan ia tidak kurang penting kepada masyarakat Malaysia dan negara-negara ASEAN. Kepada individu, kursus dan latihan yang terkandung dalam NTW 2025 penting dalam pembangunan diri.

Selain itu, ia turut meningkatkan motivasi, produktiviti dan keyakinan diri. Ia juga meningkatkan peluang pekerjaan dan kemajuan kerjaya menerusi ilmu dan kemahiran baharu serta terkini yang diberikan oleh NTW.

Kepada industri, NTW 2025 membolehkan penyedia latihan menawarkan kursus yang relevan berdasarkan agenda ekonomi negara. Selain itu, ia meningkatkan kesedaran majikan tentang kursus kemahiran yang sesuai dengan pekerja dan bakal pekerja.

NTW juga penting dalam menangani isu jurang kemahiran dan dalam masa yang sama dapat membantu merekrut pekerja yang tepat.

NTW 2025 juga penting kepada negara. Ia membantu kerajaan mencapai sasaran 35 peratus pekerja mahir menjelang tahun 2030.

Selain itu, ia dapat menyemai kerjasama erat diantara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri ke arah memperkasakan inisiatif pembangunan modal insan.

Ia turut berpotensi menarik lebih banyak pelaburan asing hasil daripada gabungan tenaga kerja dinamik dan serba mahir sebagai implikasi daripada pelaksanaan NTW.

Kesimpulan

Sebagai penutup, menjadi satu keperluan dan keutamaan agar NTW 2025 ini dapat dihebahkan kepada golongan sasaran supaya semua generasi masyarakat Malaysia tahu, cakna dan dapat mengambil manfaat daripadanya.

Orang perseorangan dan kumpulan masyarakat boleh membantu kerajaan dalam menghebahkan NTW 2025 yang sungguh menarik dan bermanfaat ini.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.