UM bina cita-cita calon SPM SMK Raja Tun Uda

Para pelajar dan guru-guru SMK Raja Tun Uda disambut dengan mesra oleh wakil PPKSUM dan pensyarah di Kolej Kediaman 11, Universiti Malaya.

Poster Terkini (4)

DALAM menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sokongan holistik yang merangkumi aspek emosi, mental dan rohani amat diperlukan oleh para pelajar.

Menyedari keperluan ini, satu program motivasi yang signifikan telah dianjurkan oleh Pejabat Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang bersama Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial serta Persatuan Pentadbiran dan Keadilan Sosial Universiti Malaya (PPKSUM) pada 26 hingga 28 Mei 2025.

Penyertaan program ini melibatkan 40 orang pelajar SMK Raja Tun Uda, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan 21 fasilitator daripada PPKSUM dan telah berjaya dalam menjalinkan hubungan yang rapat antara kedua-dua belah pihak dalam usaha pihak PPKSUM untuk membimbing dan memberikan sokongan moral kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada November ini.

Program yang dianjurkan di Auditorium Anjung Ilmu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial itu telah memberi peluang kepada pelajar-pelajar SMK Raja Tun Uda untuk keluar dari suasana sekolah harian mereka bagi merasai kehidupan sebenar pelajar di kampus, sekali gus memberi mereka pendedahan awal terhadap realiti dunia institut pengajian tinggi.

Para pelajar dan guru-guru SMK Raja Tun Uda disambut dengan mesra oleh wakil PPKSUM dan pensyarah di Kolej Kediaman 11, Universiti Malaya, sebelum memulakan aktiviti pertama mereka, ‘Night Walk in UM’ yang diadakan pada malam 26 Mei.

Aktiviti ini memberi peluang kepada para peserta untuk merasai suasana sebenar kehidupan di kampus Universiti Malaya dengan cara yang santai dan mesra.

Keesokan paginya, program diteruskan dengan sesi suai kenal yang interaktif dan menyeronokkan. Aktiviti ice-breaking seperti ‘Know You, Know Me,’ ‘Radio Rosak Pictionary”’ dan ‘Charades’ telah dilaksanakan bagi menggalakkan komunikasi berkesan serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan pelajar dan fasilitator PPKSUM.

Dalam usaha untuk menyuntik semangat para pelajar SMK Raja Tun Uda, mereka turut dibawa untuk melawat beberapa lokasi ikonik di sekitar kampus seperti Muzium Perubatan dan Halaman Penerbit Universiti Malaya menerusi slot program yang bertajuk ‘Suatu Hari Nanti Aku Di Sini’.

Lawatan ini amat bermakna khususnya kepada pelajar-pelajar dari aliran Sains dan Perakaunan yang berpeluang melihat secara langsung suasana pembelajaran di peringkat universiti bagi menyemarakkan aspirasi pelajar untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

Sesi forum santai yang bertajuk ‘Pandulah Kami Untuk Berjaya’ menjadi kemuncak program apabila pelajar diberi ruang untuk berinteraksi bersama panel yang terdiri daripada alumni dan wakil pelajar yang berpengalaman dalam bidang akademik dan pembangunan sahsiah diri.

Dapat dilihat juga bahawa sesi forum ini membuka minda para pelajar dan memberi inspirasi yang membakar semangat juang dalam diri mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Yang Dipertua Persatuan Pentadbiran dan Keadilan Sosial Universiti Malaya, Wan Elliyana Natasha Wan Asrul ketika menjadi panel dalam forum santai berkata, ‘Until your dream doesn’t remain as a dream’ berusahalah sehingga impian kita bukan lagi sekadar impian tetapi realiti yang boleh dan perlu kita kecapi.”

Ini selari dengan objektif utama program ini yang bercita-cita untuk membentuk pelajar yang berdikari dan berdisiplin, memupuk potensi diri dan mendorong para pelajar untuk menguasai pelbagai kemahiran hidup.

Majlis penutupan rasmi diadakan dengan kehadiran Yang Berhormat Tuan Fahmi Bin Zainol, selaku Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang, yang turut menyampaikan sijil penyertaan dan cenderamata kepada pihak yang terlibat.

Wakil pelajar SMK Raja Tun Uda, Muhammad Adam Hakimi Mohd Norazlan juga diberi peluang untuk menyampaikan ucapan penghargaan yang menzahirkan keterujaan dan kesyukuran para pelajar atas pengalaman yang mereka perolehi melalui program ini.

Sementara itu, Fahmi dalam ucapan perasmian penutupnya berkata, “Program motivasi sebegini sangat penting dalam menyediakan sokongan yang meliputi kestabilan emosi, ketahanan mental, serta panduan kerohanian bagi membantu pelajar-pelajar SPM ini untuk push themselves to their limits.”

Dengan pendekatan menyeluruh, pelaksanaan Program Motivasi Pelajar SPM SMK Raja Tun Uda di Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya ini dilihat berjaya dalam memenuhi objektif program melalui perkongsian para pelajar PPKSUM dan para pensyarah Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial.

Diharapkan para pelajar juga merasa lebih bersedia menghadapi peperiksaan penting, sekali gus mempunyai pandangan yang lebih jelas tentang hala tuju masa depan mereka selepas SPM.

Inisiatif yang dibawakan oleh Pejabat Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Pulau Pinang ini amat penting dalam usaha untuk memperkasakan generasi muda.

Bimbingan dan pengalaman yang dikongsi membantu para pelajar dalam mempersiapkan diri untuk melangkah ke medan peperiksaan dengan hati yang yakin, minda yang terarah dan jiwa yang lebih bersemangat.