UPSI perkukuh kesiapsiagaan komunikasi krisis, hargai peranan media
UPSI menekankan kepentingan kesiapsiagaan komunikasi strategik dalam menghadapi krisis bagi melindungi reputasi organisasi, memastikan ketepatan maklumat dan memperkukuh hubungan profesional dengan media.
RAJA NOR SAFINAS RAJA HARUN (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama lebih 50 pengamal media dan peserta SiSMED 2.0 pada Malam Pesona Media sempena SiSMED 2.0 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Oleh: BAZLI RAZAK
KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menekankan kepentingan membina naratif komunikasi yang strategik sebelum krisis berlaku bagi melindungi reputasi organisasi serta memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI Prof Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata krisis boleh berlaku tanpa diduga, justeru organisasi perlu mempunyai kesiapsiagaan komunikasi yang kukuh, selain bertindak pantas dan profesional dalam menguruskan sesuatu isu.
Beliau berkata perkara itu antara penekanan dalam penganjuran Simposium Strategik Pengurusan Krisis dan Media (SiSMED 2.0) Peringkat Kebangsaan 2026 yang menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam memperkukuh komunikasi strategik serta pengurusan reputasi organisasi.

“Sesungguhnya krisis itu selalunya tidak dapat kita jangka dan boleh berlaku pada bila-bila masa. Namun, naratif kesiapsiagaan perlu dibina sebelum krisis berlaku,” katanya ketika berucap pada Malam Pesona Media sempena SiSMED 2.0 di Hotel Seri Pacific malama tadi.
Beliau mewakili Naib Canselor UPSI pada majlis yang turut menjadi ruang penghargaan universiti kepada pengamal media serta rakan strategiknya daripada institusi pendidikan tinggi dan agensi berkaitan.
Raja Nor Safinas berkata dalam era digital, sesuatu isu boleh mencetuskan krisis dan menjejaskan reputasi organisasi dalam tempoh singkat, terutama apabila persepsi masyarakat lebih mendapat perhatian berbanding fakta sebenar.
Justeru, beliau menegaskan kepentingan integriti dalam pengurusan komunikasi krisis bagi memastikan maklumat yang disampaikan berasaskan fakta serta mengelakkan salah faham yang boleh memburukkan keadaan.
Beliau berkata pengalaman yang dilalui UPSI susulan tragedi kemalangan di Gerik pada tahun lepas turut memberi pengajaran mengenai kepentingan tindakan pantas, pemikiran strategik dan hubungan berkesan dengan media ketika berhadapan situasi krisis.
“Hubungan profesional yang baik antara universiti dengan pengamal media perlu terus diperkukuh bagi memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat dapat dilaksanakan secara berkesan dan bertanggungjawab,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI Prof. Dr. Mohd Izwan Shahril berkata sokongan pengamal media ketika tragedi yang mengorbankan 15 pelajar UPSI di Gerik banyak membantu universiti menyampaikan maklumat yang tepat serta meningkatkan semangat warga institusi itu ketika berdepan krisis.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas kerjasama dan sokongan yang diberikan, khususnya dalam membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat ketika perhatian umum tertumpu kepada universiti berikutan tragedi berkenaan.
Katanya, Malam Pesona Media turut menjadi platform untuk pengamal media dan peserta SiSMED 2.0 berinteraksi, bertukar pandangan serta membina jaringan profesional bagi memudahkan kerjasama pada masa hadapan.
“Kita mahu mengambil peluang ini untuk saling mengenali, bertukar nombor telefon dan membina hubungan yang boleh dimanfaatkan apabila timbul perkara penting yang memerlukan kerjasama antara universiti dengan media,” katanya.
Malam Pesona Media menghimpunkan wakil daripada 24 agensi media dengan kehadiran kira-kira lebih 50 pengamal media, manakala SiSMED 2.0 disertai 120 peserta dari pelbagai agensi.
