Kita mampu bawa inovasi ke Eropah, jika dedikasi

Ia bukan sekadar satu penghormatan tetapi juga satu dorongan untuk memperkukuh misi dalam memperkenalkan pendekatan pembelajaran abad ke-21 yang berasaskan teknologi.

Feature Image (3)

Penulis membentangkan inovasinya di Budapest.

Oleh: WAN NURHIDAYAH A KARIM

KEJAYAAN tersenarai sebagai lima finalis terbaik Anugerah Khas Menteri Pendidikan Malaysia (Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif) untuk kategori pembelajaran Imersif Maya telah menjadi pemangkin utama untuk saya terus membawa inovasi pendidikan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.

Ia bukan sekadar satu penghormatan tetapi juga satu dorongan untuk memperkukuh misi dalam memperkenalkan pendekatan pembelajaran abad ke-21 yang berasaskan teknologi.

Pengiktirafan ini akhirnya membuka laluan kepada peluang antarabangsa apabila saya menerima jemputan melalui Young Research Scholarship Eurasia untuk membentangkan hasil penyelidikan dan inovasi ARChem di persidangan antarabangsa di Budapest, Hungary.

Membawa inovasi pendidikan ke pentas global adalah detik yang amat bermakna. ARChem, singkatan kepada Augmented Reality Chemistry, merupakan hasil usaha dalam mengintegrasikan teknologi realiti terimbuh (AR) ke dalam pengajaran dan pembelajaran kimia.

Inovasi ini dibangunkan bagi membantu pelajar memahami struktur dan bentuk orbital yang sukar diperhatikan dengan mata kasar, melalui paparan visual tiga dimensi interaktif yang boleh diakses menggunakan peranti pintar.

Dengan bantuan AR, pelajar boleh melihat dan berinteraksi dengan model kimia secara maya, menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan bermakna.

Universiti Malaya turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan impian ini dengan memberikan sokongan dana persidangan, yang membolehkan saya membawa nama institusi dan negara ke pentas antarabangsa.

Pembentangan di Eropah ini bukan sahaja memperkenalkan inovasi dari Malaysia tetapi juga menunjukkan kemampuan pendidik tempatan bersaing di peringkat global melalui penyelidikan dan inovasi pendidikan yang berpaksikan teknologi masa depan.

Melangkah ke bumi Eropah, khususnya di kota Budapest adalah pengalaman yang penuh makna dan berinspirasi. Bandar ini bukan sahaja indah dengan seni bina klasik seperti Parlimen Hungary, Jambatan Chain dan Buda Castle tetapi juga menjadi simbol penyatuan antara warisan ilmu dan kemajuan moden.

Melihat bagaimana masyarakat di sana menghargai pendidikan dan teknologi membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus memperkasa inovasi pendidikan di tanah air.

Penulis (empat dari kiri) ketika di Budapest.

ARChem bukan sahaja berfungsi sebagai alat bantu mengajar, tetapi juga sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Pendekatan ini amat berkesan untuk pelajar yang sering menghadapi kesukaran memahami konsep pembelajaran yang abstrak bukan sahaja subjek kimia. Dengan AR, pelajar dapat meneroka idea saintifik melalui interaksi visual dan pergerakan tangan secara langsung, menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan mendalam.

Lebih membanggakan, ARChem turut menerima pujian daripada para peserta persidangan antarabangsa yang kagum dengan pendekatan interaktif yang diperkenalkan. Mereka bersetuju bahawa teknik pengajaran berasaskan realiti terimbuh ini mampu menjadikan konsep kimia yang kompleks lebih mudah difahami dan menarik minat pelajar.

Saya benar-benar yakin bagaimana inovasi yang lahir di Malaysia mampu menarik perhatian dunia apabila dibangunkan dengan matlamat jelas untuk menjadikan pendidikan lebih interaktif, inklusif dan sejagat.

Melalui pengalaman berada di Budapest ini, saya semakin yakin bahawa inovasi pendidikan bukan lagi pilihan tetapi keperluan. Dunia kini bergerak pantas dengan kecerdasan buatan, realiti maya, dan analisis data yang semakin mempengaruhi cara manusia belajar.

ARChem hanyalah satu langkah kecil dalam perjalanan panjang membentuk ekosistem pembelajaran baharu di Malaysia namun ia membuktikan bahawa dengan dedikasi dan sokongan institusi seperti Universiti Malaya, hasil kerja anak tempatan mampu diiktiraf di peringkat dunia.

* Penulis adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Bahagian Kimia, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.