BSS bina sahsiah mahasiswa UM bersama komuniti Kampung Telaga Nenas

Bakti Siswa Secholian 2024/2025 inisiatif anjuran Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah, Universiti Malaya dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.

Poster Terkini (3)

MENGGALAKKAN belia untuk terlibat dalam program khidmat masyarakat bukan sahaja memperkaya pengalaman mereka tetapi juga membentuk sahsiah diri yang lebih prihatin dan bertanggungjawab.

Melalui program sebegini, mahasiswa dapat memahami realiti kehidupan luar bandar, mempelajari nilai bekerjasama dan bertimbang rasa dan mengasah kemahiran kepimpinan serta komunikasi.

Pengalaman bekerja bersama komuniti tempatan membuka ruang kepada mereka untuk mengenali cabaran sebenar yang dihadapi oleh masyarakat dan mencari penyelesaian yang praktikal serta berkesan.

Semangat kesukarelawanan dan kepedulian sosial kembali mekar melalui Bakti Siswa Secholian (BSS) 2024/2025, sebuah inisiatif anjuran Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah, Universiti Malaya dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.

Bertempat di Kampung Telaga Nenas, Lumut, Perak, program yang berlangsung dari 18 hingga 22 Februari 2025 itu berjaya mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan penduduk tempatan melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

“Sebagai seorang peserta, pengalaman bersama keluarga angkat sepanjang program ini begitu bermakna. Saya berharap ikatan yang terjalin akan kekal sepanjang hayat,” kata Pengarah Projek BSS, Afrina Ayu Binti Mohd Irwan yang turut melahirkan rasa bangga atas kejayaan program ini dalam membina hubungan erat antara komuniti dan mahasiswa.

BSS 2024/2025 dirangka dengan objektif utama untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat.

Seramai 34 mahasiswa dari Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah berpeluang untuk bekerja bersama penduduk kampung dalam pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sesi pengajaran di SK Telaga Nenas serta ceramah keselamatan siber yang diadakan dengan kerjasama IPD Manjung.

Melalui program ini, mahasiswa bukan sahaja menyumbang ilmu dan tenaga tetapi juga memperoleh pemahaman mendalam mengenai budaya dan nilai kehidupan luar bandar.

Ketua Kampung Telaga Nenas, Mohammad Isa Hussain yang menyambut baik penganjuran program ini, mengakui manfaat besar yang diterima oleh penduduk kampung.

“Kami amat berbesar hati menerima kehadiran mahasiswa Universiti Malaya. Mereka bukan sahaja membawa ilmu dan tenaga muda, tetapi juga mewujudkan jalinan silaturahim yang erat dengan penduduk.

“Kami berharap lebih banyak program seperti ini dapat dijalankan di kampung kami pada masa akan datang,” katanya.

Salah satu aspek paling unik dalam BSS 2024/2025 adalah konsep penginapan bersama keluarga angkat. Sebanyak 11 keluarga terlibat, memberikan pengalaman hidup yang lebih mendalam kepada para peserta.

Hubungan yang terjalin ini bukan sahaja membentuk keakraban antara mahasiswa dan komuniti tetapi juga memberi perspektif baharu tentang nilai kekeluargaan dan kepentingan hidup bermasyarakat.

Selain itu, program ini juga menampilkan pelbagai aktiviti menarik yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Sesi gotong-royong menyaksikan mahasiswa dan penduduk bekerjasama membersihkan kawasan kampung, manakala Malam Wayang Pacak menjadi acara hiburan yang menghidupkan suasana desa.

Program ini juga memberikan pendedahan kepada keselamatan digital melalui ceramah dan bengkel keselamatan siber, membekalkan penduduk dengan pengetahuan penting dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin kompleks.

Lebih menarik lagi, peserta program turut menikmati lawatan tajaan ke beberapa lokasi ikonik seperti Taman Paya Bakau Lumut dan Muzium KD Hang Tuah, hasil tajaan oleh TLDM dan Majlis Perbandaran Manjung.

Tajaan utama program ini datang daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Asyraf Integra Resources, yang menunjukkan sokongan besar terhadap inisiatif pembangunan masyarakat seperti BSS.

Dengan pelbagai pengisian bermakna, Bakti Siswa Secholian 2024/2025 bukan sahaja memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa, tetapi juga memperkaya kehidupan masyarakat setempat.

Kejayaan program ini membuktikan bahawa apabila universiti dan komuniti berganding bahu, impak yang dihasilkan mampu memberikan manfaat yang berkekalan kepada semua pihak.