Demi sebuah jaringan masa depan
Universiti Malaya dan Universiti Peking perkukuh kerjasama inovasi Malaysia-China.

DALAM usaha memperkukuh hubungan akademik dan memperluaskan kerjasama inovasi teknologi antara Malaysia dan China, 28 pelajar dari Persatuan Kejuruteraan Universiti Malaya mengadakan lawatan akademik ke Fakulti Kejuruteraan Bahan, Universiti Peking, China.
Lawatan yang diketuai Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Prof. Madya Dr. Lai Khin Wee ini turut merangkumi kunjungan ke beberapa syarikat utama China serta perbincangan mengenai penubuhan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan + Bahan China-Malaysia.
“Lawatan ini bukan sekadar pertukaran akademik tetapi juga satu platform bagi pelajar Universiti Malaya untuk merasai sendiri keunggulan pendidikan tinggi di China.
“Kami berpeluang berinteraksi dengan tenaga akademik Universiti Peking serta menyaksikan sendiri fasiliti penyelidikan bertaraf dunia.
“Lebih penting, ia membuka laluan kepada kerjasama strategik yang berpotensi memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara,” kata Khin Wee.
Lawatan ini melibatkan pelajar tahun dua hingga tahun empat dari lima jurusan kejuruteraan di Universiti Malaya iaitu Kejuruteraan Bioperubatan, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Awam dan Kejuruteraan Mekanikal.
Sepanjang program, peserta berpeluang meneroka makmal canggih di Fakulti Kejuruteraan Bahan Universiti Peking, menyertai sesi perkongsian bersama pensyarah dan pelajar tempatan serta mendalami teknologi terkini yang sedang dibangunkan di institusi tersebut.
Naib Canselor Universiti Peking, Prof. Zhang Jin berkata hubungan akademik antara Universiti Malaya dan Universiti Peking berpotensi untuk berkembang lebih jauh menerusi kolaborasi penyelidikan.
“Kami sangat menghargai pertukaran ilmu antara kedua-dua institusi. Penubuhan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan + Bahan ini akan menyediakan platform lebih luas bagi saintis dan penyelidik untuk bekerjasama dalam menyelesaikan cabaran global menerusi inovasi teknologi,” katanya.
Selain eksplorasi akademik, lawatan ini turut memperkenalkan pelajar kepada ekosistem industri China. Mereka melawat beberapa syarikat teknologi terkemuka, termasuk Oriental Yuhong dan BOE Technology, bagi memahami budaya korporat dan inovasi teknologi yang sedang berkembang pesat di negara tersebut.
Tambahan pula, sesi ramah mesra bersama Persatuan Pelajar Malaysia di Universiti Peking memberikan peluang kepada pelajar untuk bertukar pengalaman mengenai kehidupan sebagai mahasiswa antarabangsa di China.
“Kami bukan sahaja mendapat pendedahan akademik tetapi juga memahami bagaimana industri di China bergerak selari dengan kemajuan penyelidikan universiti.
“Ini memberi perspektif baharu kepada kami tentang bagaimana akademik dan industri boleh berganding bahu dalam membangunkan inovasi yang berdaya saing,” kata salah seorang peserta lawatan.
Salah satu pencapaian utama dalam lawatan ini adalah perbincangan lanjut mengenai penubuhan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan + Bahan China-Malaysia.
Projek ini akan dikendalikan oleh Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya dan Fakulti Kejuruteraan Bahan Universiti Peking, dengan pemantauan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UM, Profesor Dr. Kaharudin Dimyati dan pihak Universiti Peking yang diwakili oleh Prof. Zhao Xiaoxu.
“Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan inovasi antara Malaysia dan China. Dengan sumber dan kepakaran dari kedua-dua universiti, makmal ini bakal menjadi model rujukan bagi inisiatif Belt and Road dalam bidang kecerdasan buatan dan sains bahan.
“Kami percaya makmal ini akan membuka ruang kepada lebih banyak projek penyelidikan bertaraf antarabangsa yang mampu memberi impak besar kepada pembangunan teknologi global,” kata Kaharudin.
Sebagai sebahagian daripada Pelan Tindakan Inovasi Sains dan Teknologi Belt and Road, kerjasama ini juga selari dengan usaha Kementerian Sains dan Teknologi China, yang telah meluluskan lebih 50 makmal bersama di seluruh dunia.
Dengan Malaysia dan China terus memperkukuh hubungan dalam bidang pendidikan tinggi dan penyelidikan, inisiatif ini diyakini akan memberikan manfaat jangka panjang bukan sahaja kepada institusi pengajian tinggi tetapi juga kepada sektor industri yang memerlukan kepakaran dalam sains bahan dan kecerdasan buatan.
Menutup tirai lawatan ini, para peserta turut berpeluang menikmati keindahan kampus Universiti Peking serta budaya Beijing, termasuk suasana musim sejuk di Menara Boya dan Tasik Weiming.
Dengan pengalaman akademik dan budaya yang diperoleh, pelajar Universiti Malaya pulang dengan aspirasi baharu untuk terus meneroka peluang kolaborasi global dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.