Presiden Ramos-Horta dilantik Profesor Adjung Kehormat di Taylor’s University
Seorang tokoh perjuangan keamanan, demokrasi dan hak asasi manusia, membawa pengalaman luas dalam kepimpinan politik, diplomasi serta hal ehwal antarabangsa.

SUBANG JAYA, 19 Jun 2025 — Taylor’s University dengan penuh hormat menyambut Penerima Hadiah Nobel Keamanan dan Presiden Republik Demokratik Timor-Leste, José Ramos-Horta sebagai Profesor Adjung Kehormat bagi program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi (Kepujian) (PPE).
Presiden Ramos-Horta, seorang tokoh perjuangan keamanan, demokrasi dan hak asasi manusia, membawa pengalaman luas dalam kepimpinan politik, diplomasi serta hal ehwal antarabangsa.
Penglibatan beliau dalam program PPE ini menandakan satu langkah penting dalam usaha Taylor’s untuk menerapkan elemen kepimpinan dunia sebenar dan perspektif global ke dalam kurikulum akademik.
“Di Taylor’s, pendidikan bukan sekadar di dalam bilik kuliah. Ia berasaskan pembelajaran dunia sebenar yang memberi impak nyata. Kehadiran Yang Berhormat Presiden Ramos-Horta memberikan pelajar kami peluang luar biasa untuk mendalami ilmu daripada individu yang membawa perubahan positif kepada dunia.
“Hubungan bermakna seperti inilah yang membezakan Taylor’s daripada yang lain,” kata Naib Canselor dan Presiden Taylor’s University, Profesor Barry Winn.
Sebagai Profesor Adjung Kehormat, Presiden Ramos-Horta akan berinteraksi bersama para pelajar melalui syarahan khas yang menyentuh isu serantau dan global semasa, berdasarkan pengalamannya sebagai Presiden Timor-Leste.
Sumbangan beliau akan tertumpu kepada bidang kepimpinan, tadbir urus dan pembangunan ekonomi, sekali gus memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar PPE dengan perspektif dunia nyata.
Di luar kuliah, beliau turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik, penyelidikan dan profesional melalui hubungan luasnya di peringkat serantau dan antarabangsa.
Ketika menerima pelantikan tersebut, Presiden Ramos-Horta berkata, “Pendidikan merupakan kunci utama dalam usaha membina sebuah dunia yang lebih adil, berperikemanusiaan dan harmoni. Saya berbesar hati menyertai Taylor’s University sebagai Profesor Adjung Kehormat dan amat menghargai peluang untuk berkongsi pengalaman saya bersama para pelajar program PPE.
“Tatkala dunia berdepan pelbagai krisis kemanusiaan, usaha memupuk pemikiran kritis, kepimpinan yang beretika dan pandangan bersifat global menjadi tuntutan yang tidak boleh diketepikan. Bersama-sama, kita mampu memperkasa generasi baharu untuk memimpin dengan kebijaksanaan, keberanian dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap sesama manusia.”
Seiring dengan pelantikan yang bermakna ini, Taylor’s University turut memperkenalkan Biasiswa Presiden J. Ramos-Horta untuk menyokong pelajar dari Timor-Leste yang menunjukkan pencapaian akademik cemerlang dan komitmen terhadap impak global.
Taylor’s University juga menawarkan lebih RM30 juta dalam bentuk biasiswa dan anugerah untuk pengambilan pelajar baharu sesi September 2025, selari dengan komitmennya untuk menyediakan pendidikan berkualiti tinggi yang mudah diakses.
Program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi (Kepujian) Taylor’s kini dibuka untuk permohonan bagi pengambilan September 2025, diikuti dengan pengambilan seterusnya pada April dan September setiap tahun.
Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://bit.ly/TaylorsPhilosophyPoliticsEconomics