Sukan perkukuh jalinan komunikasi melalui media
Sukan berfungsi sebagai merangsang semangat perpaduan, laras keharmonian, jalinan komunikasi, tahap kebersamaan dan pembentukan pendapat umum dikalangan masyarakat.

TAHNIAH diucapkan kepada pasukan Harimau Malaya yang berjaya melakar kemenangan 4-0 ke atas Vietnam baru-baru ini. Kemenangan itu merupakan suatu kejayaan terindah buat rakyat Malaysia. Masih seakan-akan kedengaran lagi sorakan penonton yang hadir menggamatkan suasana sebagai tanda sokongan padu rakyat Malaysia.
Walaupun sudah hampir dua minggu perlawanan itu berlangsung, lakaran ini masih menjadi antara tajuk perbualan dikalangan warga.
Ia seolah-olah membawa suatu situasi yang memerlukan perbahasan dan lontaran pandangan serta persepsi yang terarah kepada kejayaan tersebut.
Mungkin masih segar dengan kunjungan pasukan Manchester United ke Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum ini yang juga menyaksikan pemain Malaysia turut beraksi mewakili ASEAN ALL-Stars.
Misi Jelajah Asia bagi pasukan The Red Devils dilihat sedikit sebanyak telah membawa naratif semangat buat Malaysia apabila selepas itu menerima kunjungan pasukan Vietnam bagi perlawanan kelayakan.
Apa yang pasti keterlibatan penyokong dalam memberi sokongan adalah suatu kekuatan dan sumber inspirasi buat pemain malah diungkap sebagai tahap semangat kesukanan yang dijelmakan oleh masyarakat melaluinya.
Umum mengetahui bahawa sukan mampu memartabatkan imej negara dipersada dunia melalui aspek kecemerlangan dan deretan kejayaan yang dikecapi.
Tidak dapat dinafikan bahawa sukan juga adalah aset yang berharga dalam meletakkan nama Malaysia harum di peta dunia sebaris dengan negara-negara lain yang terkenal dengan pencapaian cemerlang dalam bidang sukan.
Jalinan persahabatan antara negara juga terbina dengan pertandingan atau temasya sukan yang diadakan seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik atau perebutan piala kejohanan bagi acara sukan tertentu seperti Piala Thomas, Bola Sepak Piala Dunia, Formula 1 dan pelbagai lagi yang menarik perhatian.
Tidak terhad fungsinya di peringkat antarabangsa, sukan juga memberikan impak positif terhadap keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang bernaung dibawahnya.
Semangat kesukanan yang lahir telah berfungsi dalam mengeratkan perpaduan rakyat Malaysia melaluinya.
Keterlibatan penyokong dan kemeriahan suasana telah secara asasnya membentuk suatu pendapat umum bagi rakyat Malaysia.
Rata-rata perbualan adalah berkisarkan fokus dan tumpuan acara yang berlangsung. Ia seakan-akan mewarnai keharmonian masyarakat dengan ulasan berdasarkan sudut pandangan masing-masing secara sihat.
Rakyat secara langsung aktif melontarkan idea yang bernas dan ada juga berupa kritikan dalam membincangkan masa depan sukan di negara ini.
Komunikasi dapat berlangsung dengan jalinan yang membina antara anggota masyarakat tanpa mengira usia, jantina, pangkat dan kedudukan.
Ini merupakan kesan yang positif dalam menterjemahkan keharmonian apabila sukan berjaya dijadikan sandaran dalam membentuk pendapat umum berteraskan semangat kesukanan.
Perasaan ini mengingatkan tentang sebuah filem yang telah berjaya diterbitkan yang membawa naratif yang sama iaitu filem Ola Bola.
Filem ini memaparkan pengkisahan dalam arena sukan bola sepak yang boleh dikatakan sebagai cerminan perpaduan, keunikan dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya.
Susunan babak yang berkesan dalam menyampaikan mesej secara tersusun berdasarkan situasi sebenar telah mengungkapkan impak yang mendalam dalam konteks masyarakat majmuk.
Olahan idea dalam menyampaikan mesej yang kritis dirangkum dengan pelbagai elemen perpaduan seperti kasih sayang, setiakawan, kekeluargaan, perjuangan, kerja berpasukan, semangat cintakan negara dan pengorbanan demi sebuah kejayaan bersama diadun kemas dalam mencapai objektif penerbitannya.
Ia antara filem terbaik yang pernah dihasilkan yang mengangkat sukan sebagai naratif penceritaan. Dalam pengkisahan ini, masyarakat seakan menjadikan sukan bola sepak ini seperti segmen bual bicara apabila mereka saling berinteraksi dalam membincangkan segenap aspek gaya permainan mengikut pemerhatian dan tanggapan peribadi.
Masyarakat digambarkan turut sama menyatakan sokongan padu walaupun hanya mampu mendengar laporan dari corong radio sahaja.
Kini hampir 10 tahun terbitannya namun kesan emosi masih dapat dirasai seperti baharu semalam menonton dipawagam.
Tidak terkecuali seperti fungsi filem, media massa turut berperanan dalam mempopularkan aktiviti kesukanan.
Hebahan dan pelaporan sukan sangat membantu masyarakat memperolehi perkembangan berkaitan sukan. Matlamat media massa dalam menyampaikan berita sukan adalah sama seperti acara sukan iaitu memastikan kemenangan.
Kemenangan dalam menyalurkan maklumat terkini kepada golongan sasaran dengan plot yang berkesan. Bukan hanya sekadar melaporkan berita berkenaan keputusan sesuatu perlawanan, bahkan turut berkongsi maklumat diluar garisan pertandingan seperti perkembangan dari sudut prestasi, corak latihan, perancangan masa hadapan, kekangan yang dihadapi dan juga isu-isu yang dilihat perlu untuk dijadikan tatapan kepada masyarakat.
Dengan kata mudah, media massa tak kira media cetak mahupun media elektronik mampu menjalankan fungsinya dalam proses pembujukan iaitu untuk merangsang minat dan menarik perhatian masyarakat untuk turut sama merasakan kesan pengalaman acara sukan.
Apa yang pasti, media massa mempunyai kekuatan tersendiri untuk meletakkan sukan sebagai tumpuan penting dalam operasinya.
Melalui pelbagai format terbitan, media dilihat mampu menyokong arena sukan negara dengan corak tersendiri.
Dengan kehadiran teknologi terkini sebagai sandaran, kemampuan media massa untuk mempromosi dan menyokong pembangunan sukan negara dilihat semakin luas dari sudut rangkuman kandungan sukan.
Bukan sekadar laporan pertandingan malah untuk mempopularkan gaya hidup sihat dikalangan warga, mencipta ikon sukan sebagai galakan kepada golongan muda, tujuan komersial dan konteks hiburan serta banyak lagi manfaat yang mampu dihuraikan melaluinya.
Kesimpulannya, sukan tidak hanya terarah kepada keputusan menang atau kalah. Fungsinya lebih dari apa yang dijangkakan.
Asalkan ada perancangan teliti dengan sokongan media massa, sukan sememangnya membawa banyak manfaat kepada individu, kelompok masyarakat dan negara.
Sukan berfungsi sebagai merangsang semangat perpaduan, laras keharmonian, jalinan komunikasi, tahap kebersamaan dan pembentukan pendapat umum dikalangan masyarakat.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.