Langkah berani digenggam takut, identiti membaluti filem seram
Filem berpotensi besar menjadi pemacu pertumbuhan intelektual, perkembangan budaya, pembentukan nilai dan memberikan mesej positif kepada masyarakat.

PENULIS tertarik dengan jangkaan beberapa buah filem yang dijadualkan bakal menerjah ke pawagam tahun ini. Sudah pasti terdapat banyak genre yang ditawarkan dan bakal mewarnai industri perfileman tempatan dalam berusaha bersama menelusuri kejayaan menggamit hati penonton.
Tuntasnya, filem berpotensi besar untuk menjadi salah satu pemacu pada pertumbuhan intelektual, perkembangan budaya, pembentukan nilai dan memberikan mesej positif kepada masyarakat. Industri perfileman memerlukan dukungan masyarakat untuk terus berkembang dan harus giat dibangunkan seiring dengan perkembangan teknologi serta mencipta hala tuju yang jelas dalam peredarannya.
Salah satu genre yang menarik perhatian adalah filem seram. Mungkin juga tak ramai yang menantikan filem seram tiba dipawagam seperti filem-filem bergenre lain. Namun tatkala kita menghadirkan diri dipawagam untuk menonton filem pilihan, tanpa diduga melalui tayangan trailer filem seram di layar skrin berhampiran kaunter tiket bagi tujuan promosi dengan mudah pandangan akan tertumpu dan menjengah minat kita untuk menonton filem seram berkenaan.
Manakan tidak, elemen yang menyelubungi filem seram mampu menuangkan segala daya tarikan dan ternyata menarik minat untuk menonton.
Menyingkap kenangan ketika sekitar tahun 80-an dahulu, ternyata filem seram banyak melingkari atau mempengaruhi aktiviti kanak-kanak pada waktu itu. Banyak pesanan dititipkan kepada anak seperti pulang rumah sebelum senja, tidur malam basuh kaki, jangan bermain di luar waktu senja dan bermacam lagi dan yang lazim kuat pengaruhnya ialah aktiviti ke rumah tok guru untuk mengaji pada waktu malam.
Sememangnya rasa takut melingkari diri tatkala pulang berjalan kaki atau menaiki basikal. Apatah lagi selepas menonton filem seram walaupun agak jarang dipapar di kaca televisyen pada ketika itu. Namun ingatan pada setiap babak yang menakutkan sememangnya tak mudah untuk dilupakan.
Mungkin ketika itu keadaan tidak seperti hari ini dimana keadaan jalan raya yang selesa dengan deretan lampu jalan berfungi untuk mengimbangi suasana sunyi malam. Begitu juga jarak antara sebuah rumah ke rumah yang lain agak jauh tidak seperti taman perumahan kini dan kemampuan ibu bapa memiliki kenderaan untuk menjemput pulang.
Semua ini kenangan yang muncul secara spontan apabila memperkatakan tentang pengalaman menonton dan kesan tontonan filem seram terutamanya zaman kanak-kanak.
Kini, filem seram boleh dikatakan mempunyai potensi besar dan bersaing hebat dengan filem-filem bergenre lain kerana keistimewaan yang sentiasa di adaptasi mengikut selera penonton. Ada juga langkah percubaan untuk mempelbagaikan persembahan malah menerima sambutan positif masyarakat antaranya ialah dengan menggabungkan genre komedi dalam penyampaian yang sudah tentu dapat memberikan pengalaman yang berbeza.
Namun yang jelas, keunikan yang mendasari filem seram banyak disokong dengan kekuatan gabungan komponen kreatif yang memastikan penonton dibaluti dengan emosi seram dan mendebarkan. Rangkuman seni yang baik bakal memberikan pengalaman berbeza kepada penonton dalam mengamati suasana seram di layar skrin.
Jalur penceritaan merupakan nadi dalam filem seram. Seperti mana penceritaan filem cinta, perkembangan jalan cerita harus membawa suatu dimensi yang diluar jangkaan penonton. Pengolahan harus tidak terikat dengan kisah seram yang biasa dibicarakan tetapi harus dilihat disisi lain.
Pengkisahan yang berbeza bakal menjelmakan kelainan penerimaan sudut pandangan seperti contoh rangkuman kepercayaan tradisional, konteks agama dan kerangka logik berteraskan pemikiran semasa.
Kombinasi ini harus digabung dengan baik untuk menghasilkan filem seram yang berkesan. Hal ini kerana penonton sudah mempunyai kefahaman dalam kepercayaan tradisi dalam mengungkap kisah-kisah seram dan juga mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan hal sedemikian menurut pandangan agama. Makanya susunan logik dapat membantu tahap penerimaan penonton dalam membuat tafsiran terhadap naskah yang dihasilkan.
Dengan gabungan ketiga-tiga sudut pandangan ini dapat mengungkap perspektif masyarakat kepada sebuah dimensi cerita seram. Sebolehnya tidak terarah kepada filem tipikal seram yang biasa menghiasi panggung yang rata-rata penonton boleh menjangkakan penamatan cerita berdasarkan pengalaman terdahulu.
Prestasi lakonan juga penting dalam membawakan arah perhatian penonton. Kemampuan untuk menggalas watak yang dilakonkan harus diberi pertimbangan sewajarnya dalam mengangkat watak yang dicipta. Kebolehan menjelmakan emosi dan ekspresi wajah amat penting dalam mengolah suasana filem seram.
Intonasi suara dan lontaran dialog yang baik juga menjadi aset mantap pelakon untuk menggamit perhatian penonton. Malah solekan turut membantu untuk menjiwai watak mengikut kesesuaian. Tak perlu solekan yang keterlaluan untuk menimbulkan keseraman, cukup ia kelihatan realistik dari kaca mata penonton dan bakal meningkalkan pengalaman yang berbeza.
Sudut kreatif amat membantu dalam membentuk emosi yang menyeramkan terutamanya pergerakan kamera. Posisi kamera harus menyokong sudut pandangan penonton. Pergerakan kamera membantu arah perhatian penonton untuk turut merasa suasana yang dicipta kerana sudah pasti bahawa filem menyampaikan ceritanya dalam bentuk visual.
Makanya setiap pergerakan dapat memberikan gambaran adegan dengan berkesan seandainya setiap detik seram diperkemaskan dengan kedudukan jarak antara kamera dan subjek (watak atau sesuatu keadaan). Pertimbangan ini dapat membantu penonton memberikan fokus terhadap setiap perlakuan dan keadaan agar menyokong maksud seram yang dibawa.
Tidak ketinggalan kesan bunyi mampu menghidupkan suasana seram dan mendebarkan. Pemilihan muzik dan kesan bunyi harus lebih dititikberatkan bagi menjadi sandaran untuk menggoncang emosi penonton. Begitu juga dengan unsur kesenyapan (silent) turut diperlukan bagi menimbulkan darjah keseraman yang berbeza dalam babak tertentu.
Pengamatan penonton akan lebih terdorong untuk meneka segala kemungkinan seandainya kaedah ini diatur dengan baik disokong dengan pergerakan kamera secara seimbang.
Di sisi yang lain, aspek suntingan berfungsi menambahkan babak kejutan dan diselarikan dengan iringan kesan bunyi bagi menjelmakan suasana menakutkan. Perlu ada kesinambungan agar suntingan yang dilakukan tidak terlalu keterlaluan sehinggakan mesej yang cuba disampaikan melalui cerita tenggelam begitu sahaja.
Kekerapan penggunaannya dalam menimbulkan emosi seram bakal menumpulkan impak kepada penonton untuk menghayati objektif penerbitannya.
Secara asasnya, tanpa mengaitkan dengan mana-mana filem seram yang pernah terbit sebelum ini, persoalan yang mendasari adalah apa yang cuba dibawa oleh filem seram kepada masyarakat? Apakah kewajaran yang diambil pertimbangan dalam pembikinannya?
Sudah pasti jawapan mudah adalah filem seram merupakan karya kupasan seni yang dinamik dan menjejak naratif masyarakat. Suntikan elemen tradisional, kepercayaan, representasi budaya dan falsafah serta isu semasa yang terkait diangkat untuk menyingkap makna.
Kebiasaannya dimestikan dengan nasihat, amaran, nilai pegangan dan pengajaran serta kesedaran untuk membimbing masyarakat ke arah kebaikan dunia dan akhirat.
Maka penerbitannya adalah suatu usaha baik bagi memperjelaskan sesuatu kepercayaan, pegangan dan sudut pemikiran masyarakat serta turut mewarnai kepelbagaian genre dalam industri perfileman.

