PETALING JAYA, 20 Jun 2024 – Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan DKSH, rakan kongsi terkemuka untuk syarikat-syarikat yang ingin mengembangkan perniagaan penjagaan kesihatan mereka di Asia menjalin kerjasama strategik baharu dengan PeopleBio, sebuah syarikat bioteknologi Korea yang berdedikasi untuk mencipta teknologi berkaitan penyakit Alzheimer yang menyumbang kepada kesejahteraan individu.
Di bawah perjanjian ini, DKSH Malaysia akan menawarkan perkhidmatan Pengembangan Pasaran sepenuhnya termasuk pengimportan dan pelepasan kastam, pendaftaran Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (MDA), pemasaran dan jualan, pengedaran serta pengebilan dan kutipan tunai.
Dengan memanfaatkan pengetahuan pasaran mendalam dan rangkaian pengedaran capilari DKSH Malaysia, kerjasama ini akan memastikan ketersediaan produk-produk PeopleBio untuk manfaat pesakit di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden di PeopleBio, Sungmin Kang menyuarakan rasa teruja mengenai kerjasama terbaru ini.
“Kami sangat gembira dengan kerjasama baru ini dan kekuatan yang dibawa oleh DKSH Management Malaysia Sdn. Bhd. Kami yakin dengan kehadiran kukuh DKSH Management Malaysia Sdn. Bhd., dalam saluran peranti perubatan akan memperkuatkan jejak komersial produk kami dan memupuk pertumbuhan yang berterusan dalam pasaran ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengurusan Negara dan Naib Presiden, Penjagaan Kesihatan, DKSH Malaysia, Sandeep Tewari menambah: “Di DKSH, komitmen kami berakar pada memperkaya kehidupan masyarakat. Kerjasama ini merupakan pencapaian penting dalam misi kami untuk memudahkan pengesanan awal dan intervensi penyakit Alzheimer, selari dengan dedikasi kami untuk menyediakan penjagaan kesihatan untuk semua.”