Daya tahan tekanan kewangan sebagai persediaan utama ke IPT

Terdapat pelbagai perkara yang perlu diambil kira berkenaan isu kos sara hidup pelajar di IPT dengan cabaran ekonomi masa kini.

Poster Terkini (1)


KEPUTUSAN kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam telah pun diumumkan baru-baru ini. Pendidikan tinggi adalah fasa penting dalam kehidupan seseorang dan menyambung pendidikan ke IPT merupakan langkah yang berani dan bermakna. 

Dengan adanya pendidikan yang baik, ia dapat melahirkan generasi modal insan yang berpengetahuan daripada aspek akhlak, pemikiran dan perilakunya. Persediaan yang baik adalah kunci kejayaan dalam menghadapi cabaran di alam pendidikan tinggi. Memilih IPT yang sesuai juga merupakan persediaan awal yang perlu diperhalusi sebaiknya.

Pemilihan untuk setuju terima tawaran yang diberikan oleh IPT juga perlu diteliti dengan baik. Salah pilih, keadaan boleh jadi rumit jika kos kehidupan di sana lebih tinggi daripada jangkaan. Ketika ada hak untuk memilih, pilihlah IPT yang terbaik untuk kebaikan para pelajar ini.

Terdapat pelbagai perkara yang perlu diambil kira berkenaan isu kos sara hidup pelajar di IPT dengan cabaran ekonomi masa kini. Perbelanjaan untuk perkara asas dalam kehidupan seperti makan dan minum, sewa rumah atau kolej dan pengangkutan untuk ke kuliah merupakan antara perbelanjaan yang besar jumlahnya sepanjang pengajian.

Bagi pelajar-pelajar baru, kos sara hidup mereka tidak lah terlalu besar berbanding pelajar tahun kedua dan ke atas. Kos yang besar adalah untuk keperluan makan, minum dan barang harian lain. Sepanjang tempoh setahun pengajian, ibubapa masih ada ruang untuk menabung bagi keperluan masa depan anak-anak apabila kos-kos lain mula muncul.

Dinyatakan sedikit maklumat keperluan makanan harian pelajar sebagai panduan bakal pelajar sahaja. Contohnya belanja sarapan ialah RM6, merarau RM8 dan makan malam RM8. Setiap pelajar memerlukan minima RM22 bagi menampung kos makanan mereka sehari. Jumlah ini memadai disediakan agar para pelajar mempunyai cukup tenaga untuk aktiviti pembelajaran.

Ibu bapa perlu ingat, jika keperluan belanja seharian pelajar ini tidak mencukupi, kemungkinan mereka akan mengurangkan pembelian makanan dan kekalkan belanja internet. Ada kemungkinan mereka tidak mengambil sarapan dan hadir kuliah dengan perut kosong. Tindakan sebegini boleh mengurangkan sedikit tumpuan pembelajaran dalam kelas.

Selain penyediaan sumber kewangan, ibu bapa juga perlu sediakan bakal-bakal pelajar IPT ini dengan ilmu pengurusan kewangan yang cekap. Ilmu ini penting bagi memastikan daya tahan mereka terhadap tekanan kewangan adalah stabil.

Secara umumnya, suasana kehidupan dalam dunia pendidikan tinggi merupakan satu fasa penting yang bukan sahaja membentuk ilmu akademik tetapi juga kemahiran hidup yang penting untuk masa depan.

Ketidakstabilan kewangan dalam kalangan pelajar IPT semakin membimbangkan, terutama ketika kos sara hidup terus meningkat.

Situasi begini akan memberikan tekanan kewangan kerana wang saku para pelajar yang diberikan oleh keluarga mereka tetap tidak berubah jumlahnya. Apabila kos sara hidup seharian meningkat, ramai pelajar mengalami kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan dengan berkesan.

Selain itu, ilmu pengurusan kewangan juga mampu melatih pelajar mengawal emosi dan kemahuan diri. Dengan ilmu yang baik, para pelajar mudah membezakan antara keperluan pembelajaran dan kehendak nafsu untuk hidup bergaya.

Para pelajar ini sebenarnya terlalu mengikut gaya hidup mewah para pempengaruh media sosial yang dijadikan sebagai sumber inspirasi. Ekoran tidak di kawal dengan baik, tindakan ini mendorong mereka untuk berbelanja secara impulsif. Perbelanjaan ini demi menyesuaikan diri mereka dengan norma sosial semasa yang tidak mencerminkan kemampuan kewangan sebenar mereka.

Isu ini berlaku ekoran tiada pendidikan kewangan formal yang mereka terima sebelum memasuki pengajian di IPT. Ibubapalah perlu berperanan memastikan anak-anak ini mendapat pendedahan sistematik terhadap ilmu dan kemahiran pengurusan kewangan yang sepatutnya sebelum melangkah ke alam pengajian tinggi.

Tanpa ilmu kewangan, ia akan menjejaskan daya tahan kewangan pelajar dan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan kewangan individu serta masyarakat. Oleh demikian, literasi kewangan menjadi antara faktor utama dalam membantu pelajar mengurus kewangan dengan lebih bijak serta membantu mereka merancang kewangan untuk jangka masa panjang.

Penerapan ilmu kewangan lebih awal mampu memberikan kesedaran, pendedahan dan galakan kepada para pelajar betapa pentingya pengurusan kewangan yang berkesan. Selanjutnya, ini membolehkan mereka mengurus pendapatan, perbelanjaan dan pinjaman pendidikan dengan cekap. Sudah pasti mencegah itu lebih baik dari mengubati.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.