MARDI bakal perkenal tiga varieti baharu durian

Capture

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani (tengah) meraikan pengamal media dengan pelbagai varieti durian di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar, Perak.

KUALA KANGSAR, 20 Julai 2025 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan mengeluarkan tiga varieti baharu durian dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Pengarahnya, Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, pihaknya dalam proses mengetengahkan varieti baharu itu, namun perlu melihat kepada kesesuaian beberapa lokasi di Malaysia.

“Kita perlu melihat kesesuaian (penanaman) dengan tempat lain kerana selain di MARDI Kuala Kangsar, kita ada sebahagian (penanaman durian) di MARDI Jerangau (Terengganu) yang kita cuba ketengahkan untuk varieti baharu nanti.

“Sekarang ada lagi penilaian terhadap beberapa hibrid baharu, tetapi kita belum yakin untuk keluarkan sebab kena tengok kesesuaian tempat-tempat lain di Malaysia.

“Saya ingat dalam setahun dua ini kita boleh dapat varieti baharu daripada MARDI. Jadi kod nombor itu (kod varieti) masih tak tentu lagi, nanti selepas kita lancarkan, baru kita dapatkan kod atau nama yang sesuai untuk varieti terbabit,” katanya pada program meraikan pengamal media melawat Duriotourism MARDI Kuala Kangsar di Taman Agroteknologi MARDI Kuala Kangsar, di sini.

Beliau tidak menolak kemungkinan menjenamakan semula beberapa varieti durian, termasuk durian hibrid MDUR88 yang baru dijenamakan Mardi Super 88 (MS88), kepada nama lain yang bersifat lebih menarik perhatian seperti varieti Musang King dan Tupai King.

“Jadi kita nak cuba, mungkin suatu hari kita akan tukar nama yang nampak lebih komersial macam Tupai King walaupun sebenarnya itu durian varieti lama yang dinamakan semula. Begitu juga Musang King yang juga durian varieti D197.

“Penamaan semula yang nampak lebih komersial dan menarik itu bagi menarik orang mencuba, jadi kita juga cuba cari nama yang agak catchy untuk MS88 itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabawi berkata, setakat kini 13,000 pokok durian variety MS88 sudah ditanam di seluruh negara dengan pemantauan MARDI, membabitkan pokok yang baru ditanam tahun ini sehingga empat tahun kebelakangan.

Menurutnya, tanaman itu dijangka dapat mengeluarkan hasil untuk dipasarkan secara meluas dalam tempoh antara lima hingga enam tahun akan datang.

Mohamad Zabawi berkata, sebanyak 13,000 pokok durian varieti MS88 ditanam di seluruh negara dengan dipantau sepenuhnya oleh MARDI.
“Setakat ini, ada pokok sudah berusia antara dua dan tiga tahun. Jadi, dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang, ia boleh dipasarkan secara meluas,” katanya.