Seven Bank rancang pasang 100 mesin ATM di rangkaian 7-Eleven

Poster Terkini (1)

KUALA LUMPUR, 21 Januari 2024 – Seven Bank Ltd, cabang perniagaan perbankan kumpulan 7-Eleven dari Jepun, merancang untuk memasang 100 mesin ATM di bawah jenama Reachful di Malaysia pada tahun ini.

Presiden Seven Bank, Masaaki Matsuhashi berkata, semua ATM itu akan dipasang di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor terlebih dulu pada tahun ini sebelum ia diperluaskan ke negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak pada tahun depan.

Beliau berkata, Seven Bank menyasarkan kawasan pinggir bandar untuk membolehkan penduduk yang mempunyai akses terhad kepada fungsi perbankan meraih manfaat daripada pemasangan ini.

“Kami merancang memasang perkhidmatan ATM ini di bawah jenama Reachful sebagai permulaan yang kukuh di Malaysia dan pertumbuhan berterusan perniagaan kami di luar negara.

“Melalui kerjasama dengan syarikat rakan kongsi kami untuk menyediakan perkhidmatan ATM di rangkaian kedai 7-Eleven di Malaysia, kami berharap dapat mempermudahkan kehidupan rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran mesin ATM Reachful di sini hari ini.

Pemasangan ATM itu akan dilaksanakan oleh Abadi Tambah Mulia International Malaysia Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Seven Bank yang akan memegang 50.1 peratus kepentingan, 7-Eleven Services Sdn Bhd (24.9 peratus), HQZ Credit Sdn Bhd (20 peratus) dan SMRT Holdings Bhd sebanyak lima peratus.

Sejak pemasangan ATM pertama di luar negara di Amerika Syarikat (AS) pada 2017, Seven Bank sudah mengembangkan perniagaannya di Indonesia dan Filipina dengan lebih 21,000 pemasangan ATM pada 2024.

Malaysia akan menjadi pasaran keempat di luar negara asalnya, Jepun dan syarikat itu berhasrat untuk memberikan nilai tambah yang unik dengan menggabungkan perkhidmatan runcit dan kewangan pada masa hadapan.

Mesin ini bukan sahaja berfungsi sebagai ATM tetapi juga mesin kitar semula tunai (CRM) yang menggabungkan fungsi ATM dan mesin deposit tunai (CDM).

Ini membolehkan pelanggan melakukan pelbagai transaksi, misalnya pertanyaan baki, pengeluaran, deposit, pembayaran pembiayaan, pembayaran bil dan pemindahan dana.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Abadi Tambah Mulia International, Jin Sudo berkata, Malaysia adalah pasaran yang berpotensi untuk syarikat itu mengembangkan perniagaan.

“Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang ketara dalam populasi dan ekonominya. Dalam masyarakat tanpa tunai, mata wang dalam edaran juga berada pada tahap yang tinggi.

“Kami mendapati pasaran ini sangat berpotensi untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.