Libatkan industri sebelum laksana peraturan vape – Rizani Zakaria

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2024 – Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan baru-baru ini bahawa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya pada bulan Oktober ini.

Namun, sehingga kini, pihak industri masih belum menerima maklumat terperinci mengenai perkara itu.

Seperti pengumuman-pengumuman terdahulu, pihak industri sering kali menjadi barisan terakhir diberitahu tentang sebarang perkembangan Akta 852 dan masih keliru mengenai implikasi sebenar akta ini apabila dikuatkuasakan.

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria memberitahu, kekurangan maklumat ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak industri.

Katanya, mereka berasa terabai dan tidak mendapat panduan yang mencukupi untuk menghadapi sebarang perubahan yang akan datang.

“Peraturan yang jelas amat diperlukan untuk membimbing industri ke arah yang betul. Ini akan membantu menjana ekonomi yang lebih besar serta memberikan manfaat kepada semua kepada pihak industri dan juga kepada pendapatan negara.

“Tanpa peraturan yang munasabah, industri berisiko menghadapi pelbagai cabaran yang tidak diingini. Namun, peraturan yang bakal diperkenalkan perlu seimbang.

“Sebagai contoh, cadangan melarang pameran produk mungkin bukan penyelesaian terbaik kerana ia boleh mendatangkan kesan negatif yang lebih besar kepada industri,” katanya.

Undang-undang yang munasabah tanpa larangan keras seperti larangan mempamer mampu mendorong industri menjadi satu entiti ekonomi yang berdaya saing dan dapat mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku sebagai contoh penyalahgunaan bahan terlarang di dalam produk vape.

Rizani berkata, kejadian seperti “magic mushroom” menunjukkan keperluan mendesak perlunya satu peraturan yang jelas dan menyeluruh.

Peraturan yang dirancang dengan baik bukan sahaja dapat membimbing industri tetapi juga mencegah isu-isu seumpama ini daripada berlaku pada masa hadapan.

Oleh yang demikian, Rizani memberitahu, kerajaan harus menerima pakai saranan, pandangan dan situasi ekonomi pemain industri sebelum membuat keputusan muktamad berkaitan undang-undang.

”Masih ada masa lagi untuk kerajaan mengumpulkan semua pemain industri dalam satu sesi libat urus dan mendengar pandangan mereka tentang mekanisme terbaik untuk melaksanakan undang-undang kawal selia agar membawa manfaat kepada semua pihak.

”Undang-undang ketat seperti larangan pameran produk yang dicadangkan mungkin tidak akan mengatasi masalah penjualan haram atau menghalang pemilikan produk di kalangan remaja.

“Sebaliknya, ia hanya akan menjejaskan industri yang kini bernilai RM3.48 juta dan turut menyumbang kepada hasil kerajaan.

“Jika ramai pengguna beralih ke pasaran gelap, mengawal capaian kepada produk yang mengandungi bahan terlarang akan menjadi lebih sukar,” katanya.


Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Malaya Newsroom.