SETIAP pelajar sekolah yang menyimpan impian untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tentunya akan lebih teruja dalam usaha mereka apabila merasai sendiri pengalaman menjejakkan kaki ke sebuah universiti.
Menyedari hakikat ini, Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) menganjurkan Program Lawatan Sambil Belajar bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perak, Parit Buntar, Perak baru-baru ini.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan dalam usaha menjalinkan hubungan sosial dengan pihak sekolah, selaras dengan visi Universiti Malaya untuk melangkaui batasan ilmu dan membentuk pemimpin beraspirasi.
Selain itu, program ini juga mencerminkan nilai-nilai teras Universiti Malaya seperti kesungguhan, perpaduan, integriti, keikhlasan, dan empati.
Ketua, Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Dr. Kamal Solhaimi Fadzil berkata, program ini antara lainnya bertujuan untuk memberikan peluang kepada pensyarah dan mahasiswa Jabatan meluangkan masa bersama pelajar-pelajar sekolah.
“Secara tidak langsung, program ini membuka ruang bagi pertukaran pandangan berkaitan kemasukan ke UM khususnya dan pengalaman menyambung pengajian di peringkat universiti, amnya.
“Ia juga mampu meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya lagi.
Idea untuk menganjurkan program ini tercetus daripada inisiatif Jabatan Antropologi dan Sosiologi untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat, khususnya SMK Sri Perak.
Pensyarah Kanan Jabatan dan Pengarah Program, Dr. Asbah Razali berkata, “Aktiviti-aktiviti yang disusun dalam program ini bukan sahaja membolehkan pelajar sekolah mengenali potensi diri mereka tetapi memberikan mereka peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pensyarah dan mahasiswa UM.”
Sesi perkongsian pengalaman oleh pensyarah dan mahasiswa adalah antara perkara menarik pada program ini terutamanya sebuah sesi perkongsian khusus bertajuk
Meniti Masa Depan yang Gemilang disampaikan oleh wakil pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Dr. Syed Abdul Razak Sayed Mahadi.
Antara intipati perkongsian itu ialah untuk tidak memandang rendah terhadap kekurangan yang ada kerana berbekalkan usaha yang tidak mengenal jemu, pelajar sebenarnya mampu menggapai apa jua cita-cita yang kita impikan.
Aktiviti ini diadakan bagi memberi suntikan motivasi kepada pelajar untuk yakin dalam mengejar cita-cita melanjutkan pengajian mereka ke peringkat tertinggi.
Dengan pengalaman yang dikongsikan, pelajar SMK Sri Perak diharap mampu lebih berkeyakinan untuk berusaha sehabis baik dan menempa kejayaan dalam setiap bidang yang diceburi.
Dr. Asbah berharap, program ini dapat meningkatkan motivasi dan semangat pelajar SMK Sri Perak untuk mencapai cita-cita masing-masing dengan melanjutkan pengajian ke menara gading.
“Tiada yang mustahil untuk dicapai dalam hidup ini, asal sahaja kita berilmu dalam mengejarnya. Diharapkan dengan lawatan yang singkat ini mampu menyuntik sedikit lonjakan dalam diri pelajar yang terlibat untuk bersemangat dalam usaha masing-masing mendekati impian yang terbina,” katanya penuh semangat.
Ketua Guru Pengiring SMK Sri Perak, Hamzah Sauti berharap agar program seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat mengukuhkan lagi ikatan dan jaringan sosial antara Universiti Malaya dan SMK Sri Perak.
Manakala Dr. Kamal pula menyimpulkan bahawa program ini penting untuk membuka minda pelajar tentang kepentingan menuntut ilmu sehingga ke peringkat tertinggi menurut keupayaan kita.
“Program seperti ini dapat membantu pelajar sekolah membangunkan diri mereka dan menjadi lebih berkeyakinan dalam mendepani sebarang cabaran yang mendatang.
“Saya juga mendoakan agar pensyarah dan mahasiswa UM yang terlibat dalam program ini menyedari peranan kita yang lebih besar dalam membantu menyemarakkan cinta masyarakat kepada ilmu pengetahuan,” katanya.