Kehijauan landskap: Patuhi garis panduan elakkan musibah
Kes pokok tumbang akan terus berlaku dan boleh merugikan banyak pihak.

PEMANDANGAN serba kehijauan di kiri dan kanan jalan-jalan utama di Malaysia amat indah dan menarik. Suasana ini memberikan rasa yang lebih menarik semasa memandu menempuhi jalan-jalan ini.
Pada umumnya, seni bina landskap mencakupi aspek analisis, perancangan, reka bentuk, pembinaan, pengurusan dan tanggungjawab ke atas persekitaran semula jadi dan buatan dengan memberi keutamaan terhadap pengekalan keseimbangan antara alam sekitar, manusia dan pembangunan.
Walaupun tampak cantik apabila di pandang, hakikat yang perlu diketahui bahawa keindahan ini tidak mampu kekal lama jika tidak dijaga dengan teliti. Selain penjagaan rapi, pelaksanaan penguatkuasaan juga perlu seiring dibuat agar tiada insan yang tercedera serta tidak mengakibatkan kerugian harta benda.
Mengikut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kes pokok tumbang seluruh negara adalah sebanyak 3,081 kes pada 2021, seterusnya 3,358 kes pada 2022, manakala pada 2023, jumlahnya meningkat kepada 4,825 kes dengan 10 kematian dan 47 cedera. Peningkatan angka kes-kes ini amat merisaukan kepada banyak pihak, termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang secara terus menjadi peneraju daerah dan bandar.
Setiap agensi sentiasa memainkan peranan dengan teratur dan sempurna. Namun, adakah semua pihak melaksanakan pelan tindakan dan penguatkuasaan yang berkesan dalam mengawasi keadaan pokok-pokok agar kejadian buruk ini tidak meningkat lagi, seterusnya makin berkurang.
Jika sudah dilaksanakan, adakah keadaannya menjadi berkurangan. Sudah pasti kenyataan sebegini amat tidak digemari oleh mana-mana pihak yang terlibat, namun jika peraturan yang telah dibuat sebegitu, haruslah patuh dan usahakan jalan penyelesaiannya.
Garis panduan bagi penanaman pokok-pokok sebagai landskap jalan-jalan di negara ini telah disediakan dengan baik. Semasa penyediaan garis panduan ini, sudah tentu pelbagai pihak berkepentingan telah di ajak duduk semeja agar hasilnya nanti memberikan manfaat besar kepada negara, terutamanya aspek keindahan, kesesuaian dan keselamatan.
Sekarang ini jika kita menggunakan jalan raya sedia ada, masih wujud pokok-pokok yang di tanam di tepi jalan raya tidak menepati kriteria seperti di dalam garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Landskap Negara (JLN).
Jika terus diabaikan, pastinya kes pokok tumbang akan terus berlaku dan boleh merugikan banyak pihak. Janganlah sibuk menyalahkan perubahan iklim semata-mata tanpa meneliti faktor utama lain yang mungkin berlaku diakibatkan oleh kelalaian manusia.
Secara umumnya, ciri-ciri iklim Malaysia yang berada di kawasan Khatulistiwa ialah mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak.
Sementara keadaan tiupan angin pada amnya lemah. Walaupun ketika musim kemarau teruk, jarang sekali cuaca Malaysia mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung. Situasi sebegini telah menjadi satu kebiasaan. Maka alasan hujan yang lebat menjadi punca pokok tumbang, sangatlah tidak masuk akal.
Bagi pihak berkaitan, amat penting memastikan pekerjanya mempunyai kemahiran yang tepat dalam melaksanakan tugas-tugas yang spesifik. Tugasan memastikan setiap pokok diselenggara dengan baik memerlukan kakitangan yang kompeten di dalam bidang tertentu.
Dengan cara ini, hanya mereka yang mahir dan diperakui sahaja dibenar mengendalikan pokok awam bagi memastikan langkah mitigasi yang betul dilaksanakan dengan tepat. Banyak pihak mendapat manfaatnya.
Sebagai panduan, JLN adalah pusat akreditasi landskap negara yang menyediakan kepakaran teknikal serta merancang, menyelaras dan mengawal selia pembangunan landskap, keperluan kawasan lapang, kawasan hijau serta kemudahan rekreasi negara. Justeru itu, perlulah digunakan kepakaran JLN ini sepenuhnya agar kehijauan tumbuhan kekal cantik, di samping keselamatan awam terpelihara.
Patuhilah setiap garis panduan yang telah wujud berkaitan landskap kawasan terbabit. Setiap peraturan yang ada memastikan negara dan rakyat dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan selamat. Sekiranya peraturan mensyaratkan sesuatu jarak bagi penanaman pokok yang tinggi, patuhilah syarat tersebut.
Lebih baik jika dilebihkan jarak agar lebih selamat dan mungkin cara tersebut lebih baik. Pasti ada sebabnya kenapa syarat tersebut dinyatakan dengan jelas.
Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025 amat baik sekali. Namun, penanaman sepanjang jalan raya atau lebuh raya bukanlah aktiviti yang mendokong kempen ini.
Lebih sesuai jika ada kawasan lapang atau rekreasi yang di tanam dengan pokok-pokok yang rendang dan mudah untuk di jaga dan diawasi keadaannya. Secara tidak langsung menggalakkan pengunjung datang untuk riadah sambil menikmati kehijauan landskapnya.
Buatlah keputusan yang terbaik untuk negara agar generasi akan datang menikmatinya secara menyeluruh dengan aman tenteram. Usahakan agar bila kita tutup mata nanti, banyak manfaat baik yang ditinggalkan kepada generasi selepas ini.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.