Bila rasa peduli kian terhakis
Sikap apati bukanlah muncul secara tiba-tiba. Ia berkembang perlahan-lahan dalam budaya yang terlalu mementingkan diri dan keselesaan peribadi.

DALAM masyarakat moden hari ini, sikap tidak peduli terhadap isu sekeliling semakin ketara. Fenomena ini, yang dikenali sebagai apati sosial, merujuk kepada keadaan apabila individu atau kumpulan masyarakat menunjukkan tahap keprihatinan yang rendah terhadap persekitaran sosial mereka. Isu kemanusiaan, keselamatan, kebersihan, mahupun kebajikan sering dipandang remeh, seolah-olah tidak memberi kesan langsung kepada kehidupan sendiri.
Gejala ini semakin jelas apabila masyarakat lebih memilih untuk memerhati daripada bertindak. Dalam banyak kejadian sama ada kes kemalangan, penderaan kanak-kanak atau kecemasan awam, ramai yang hanya merakam dan memuat naik di media sosial tanpa mengambil inisiatif untuk membantu. Situasi ini menunjukkan wujud jurang besar antara kesedaran dan tindakan.
Sikap apati bukanlah muncul secara tiba-tiba. Ia berkembang perlahan-lahan dalam budaya yang terlalu mementingkan diri dan keselesaan peribadi. Dalam dunia serba digital, kita lebih peka kepada notifikasi media sosial berbanding jeritan manusia di depan mata. Seseorang boleh menulis panjang lebar tentang simpati di ruang maya tetapi tetap melangkah pantas apabila melihat orang tua menjual tisu di tepi jalan. Apati sosial menjadikan manusia kian terasing, walaupun dikelilingi ribuan ‘rakan’ dalam talian.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan apati sosial. Antaranya gaya hidup individualistik yang menekankan kepentingan diri melebihi kepentingan bersama. Setelah seharian bekerja, memandu dalam kesesakan dan menanggung beban ekonomi, ramai berasa mereka tidak punya tenaga untuk memikirkan hal orang lain. Ditambah pula dengan budaya ‘asal bukan aku’ yang semakin mengakar, masyarakat mudah menormalisasikan penderitaan di sekeliling. Kita menonton tragedi di skrin telefon, menggeleng kepala seketika, lalu terus melupakan.
Namun, bukan semua berpunca daripada kejahatan hati. Adakalanya, apati lahir daripada kelelahan empati iaitu keadaan apabila seseorang terlalu banyak terdedah kepada penderitaan hingga hilang kemampuan untuk merasa. Setiap hari media memaparkan tragedi, bencana dan konflik tanpa henti. Dalam jangka panjang, minda manusia belajar untuk menutup diri sebagai mekanisme pertahanan. Kita tidak mahu rasa sedih lagi, lalu memilih untuk tidak peduli dan akhirnya keadaan ini menyebabkan sensitiviti terhadap penderitaan dan ketidakadilan semakin menurun. Ironinya, inilah yang menjadikan masyarakat semakin dingin dan terputus hubungan emosinya.
Selain itu, pengaruh media sosial turut memainkan peranan besar. Masyarakat kini lebih banyak berinteraksi secara maya berbanding secara fizikal. Isu sosial sering menjadi bahan perbualan dan perdebatan dalam talian tetapi kesannya terhenti di ruang digital. Fenomena ‘keyboard warrior’ menjadikan ramai berasa sudah cukup peduli hanya dengan meninggalkan komen atau simbol simpati, tanpa tindakan susulan di dunia sebenar.
Kesan sikap apati sosial amat mendalam. Ia bukan sahaja melemahkan hubungan antara manusia, tetapi juga mengancam kesejahteraan sosial negara. Dalam konteks masyarakat Malaysia, nilai murni seperti gotong-royong, tolong-menolong dan semangat kejiranan yang dahulu menjadi kebanggaan kini semakin longgar. Bukan itu sahaja, apabila rakyat tidak lagi prihatin terhadap ketidakadilan, rasuah, pencemaran atau kes penderaan, pihak yang zalim akan terus bermaharajalela tanpa ditegur.
Apabila tiada siapa peduli terhadap nilai moral dan tanggungjawab sosial, masyarakat kehilangan kompas etika. Ini bukan sahaja melemahkan solidariti sosial, malah boleh menjejaskan usaha kerajaan dan organisasi dalam membina masyarakat yang penyayang dan berdaya tahan. Kita mungkin maju dari segi teknologi tetapi mundur dari segi kemanusiaan.
Sudah tiba masanya kita bertanya kepada diri sendiri sama ada kita benar-benar hidup bersama atau sekadar hidup bersebelahan? Nilai empati dan keprihatinan tidak dapat disemai melalui slogan semata-mata. Ia mesti dipupuk melalui tindakan kecil tetapi berterusan seperti menyapa jiran, membantu rakan sekerja yang murung, meluangkan masa untuk kerja sukarelawan atau sekurang-kurangnya tidak menutup mata terhadap kesusahan orang lain.
Institusi keluarga, pendidikan, media dan kepimpinan masyarakat juga memainkan peranan penting. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar memahami erti empati dan tanggungjawab sosial sejak kecil. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang mengutamakan kasih sayang dan saling membantu akan lebih peka terhadap keadaan sekeliling apabila dewasa kelak.
Sekolah boleh memperkukuh pendidikan sivik dan emosi manakala media harus berhenti menormalisasikan ketidakpedulian. Liputan yang membina, menonjolkan nilai kemanusiaan dan contoh individu prihatin, mampu menyalakan semula semangat empati dalam diri pembaca. Dalam pada itu, dasar kerajaan yang memberi ruang kepada penglibatan komuniti secara aktif seperti program kejiranan dan pusat komuniti boleh menjadi pemangkin kepada masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab.
Akhirnya, persoalan apati sosial bukan sekadar isu sikap tetapi juga cerminan sistem nilai kita. Masyarakat yang tidak peduli ialah masyarakat yang kehilangan jiwa. Jika kita mahu melihat bangsa yang kuat dan berdaya tahan, keprihatinan mesti kembali menjadi teras kehidupan bersama. Setiap daripada kita perlu bertanya, “Apa yang aku boleh buat untuk sekelilingku hari ini?”. Soalan ini wajar direnungkan agar nilai empati dan keprihatinan dapat kembali menjadi teras kehidupan bermasyarakat.
—
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi MALAYA NEWSROOM.
